MALAM Ahad lalu, saya menyertai majlis pertemuan semula kakitangan Jabatan Keselamatan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) buat kali keempat sejak jabatan itu diwujudkan 47 tahun lalu.

Diadakan di sebuah hotel di Klang, Selangor, majlis itu dihadiri lebih 100 bekas kakitangan, sebahagian mereka membawa bersama anak dan isteri.

Atur cara majlis tidak banyak berbeza daripada yang diadakan sebelum itu...bacaan doa, ucapan pengerusi penganjur, tayangan video, tazkirah ringkas dan penyampaian cenderamata.

Kalau ada pun,  seri majlis kali ini ditambah dengan persembahan lagu-lagu lama oleh Kassim, Alif Nasir dan Mohd Nor daripada Band LPK, yang mencipta nama setelah  menjadi juara Bakat TV 1980/81.

Tetapi, seperti di kebanyakan majlis pertemuan semula, ucapan-ucapan yang dibuat hampir-hampir tenggelam dalam keriuhan.

Yang jadi tumpuan adalah cerita-cerita lama yang berlaku dalam kalangan rakan sekerja; peristiwa-peristiwa lucu dan menarik dan perkongsian maklumat tentang ke mana perginya sahabat-sahabat yang lama tidak ditemui.

Jabatan Keselamatan LPK diwujudkan pada 1970 dan kakitangan diambil dalam tiga atau empat kumpulan. Kesemuanya, dari pangkat paling atas, iaitu ketua pegawai keselamatan hingga ke pembantu keselamatan muda adalah seramai kira-kira 500 orang.

Saya jadi  pembantu keselamatan berpangkat sarjan antara 1970 dan 1973. Ada yang berhenti selepas hanya sebulan lapor tugas dan ada yang kekal hingga bersara, tetapi alhamdulillah, silaturahim kami tetap mekar hingga ke hari ini.

Beberapa orang masih ingat bagaimana mereka membonceng motosikal kapcai bersama saya antara Pelabuhan Kelang dan Pulau Pinang sejauh lebih 400 kilometer.

“Dua kali motosikal terbalik,” kata Baharudin, seorang daripada sahabat yang ikut saya pada 1971. Sekarang Baharudin adalah tim-balan dekan di Universiti Malaysia Sabah.    

Ramai daripada sahabat saya dari LPK menyambung pelajaran, meninggalkan LPK dan berkhidmat di tempat lain. Ada yang jadi hakim, peguam, pegawai polis, pegawai tentera, pegawai kanan di jabatan/agensi kerajaan dan swasta. Ada yang berniaga, Ramai juga yang jadi imam dan bilal.

Ada juga, seperti Zahaluddin (dalam gambar, kanan) menjadi pengamal perubatan tradisional yang sedia merawat sahabat-sahabat yang memerlukannya, termasuk perkhidmatan bekam dan akupunktur.

Dalam kalangan mereka yang kekal dalam LPK, ramai juga naik pangkat. Hari ini, kebanyakan daripada kami telah masuk ke usia enam siri dan majoriti sudah pun bersara. Yang belum bersara hanya segelintir, kebanyakan menjalankan perniagaan.

Yang masih makan gaji, seperti saya, boleh dikira dengan jari. Sebab itu tidak hairan apabila berjumpa dengan rakan-rakan lama, saya kerap ditanya: “Awak bila lagi nak jadi YB?”. Maksud mereka “yang bersara”, bukan “yang berhormat”!

“Entahlah bila aku boleh jadi YB. Masalahnya, aku tak reti duduk diam. Tunggu aku kena buang atau mati!”.  Demikian jawapan saya.

Sama ada sudah bersara atau masih bekerja, saya bersyukur kerana dapat luangkan masa untuk menziarahi sahabat-sahabat.

Sejak tiga tahun lalu, bersama enam sahabat, saya menjelajah seluruh semenanjung, menaiki MPV untuk menziarahi rakan-rakan, tak kira yang sihat atau kurang sihat.

Diizinkan ALLAH, Kembara Ziarah kami yang ke-lapan dan seterusnya akan menyusuli.

Kembara mengajar kita erti kehidupan dan nilai persahabatan. Kembara membuat kita menyedari persahabatan sejati adalah memberi bukan meminta, berkongsi ke arah kebaikan, bukan bersubahat mempertahankan kebatilan.

Kata orang, bukanlah sahabat mereka yang mencari kesilapan kawan untuk diaibkan, tetapi sahabat adalah mereka yang mencari kebaikan sahabat untuk disebar dan diamalkan. Wallahuaklam!