DEKAT-DEKAT nak bersara, seorang rakan buat keputusan beli sebuah kebun seluas hampir tiga hektar di sebuah kampung di Perak.

Tujuannya, mahu memberi tumpuan kepada kerja tanam pokok buah-buahan yang memang menjadi minatnya sejak muda.

Bertaraf duda, dia percaya kebun itu, di samping mendatangkan hasil, dapat memberi peluang untuk dia mengeluarkan peluh dan mampu memberikannya ketenangan hidup.

Kawasan itu memang mempesonakan; ada bukit diseliputi pohon menghijau, air sungai yang jernih yang menyejukkan mata memandang dan air terjun yang memikat hati pengunjung dari jauh dan dekat.

Pada awal-awal pembabitannya kira-kira 20 tahun lalu, dia cukup tenang di kebun itu.

Macam-macam jenis pokok buah dia tanam, Semua menjadi.

Pendek cerita, walaupun dia sendiri ada banyak simpanan hasil kerjaya sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak, banyaklah juga wang yang dia kumpul daripada hasil tanamannya.

Tetapi lama kelamaan tanamannya diserang babi hutan dan monyet. Habis durian, cempedak, rambutan, dan lain-lain dibaham atau dirosakkan makhluk perosak itu.

Hari ini, keadaan lebih menyakitkan hati. Segelintir manusia di situ jadi lebih teruk daripada babi hutan dan monyet. Habis mereka rembat hasil tanamannya.

Ketika saya melawatnya di rumahnya kelmarin, rakan yang sudah lebih tujuh siri itu mengeluh, mengenang nasibnya. Dia ingat ada kebun boleh dapat sedikit wang dan memberi ketenangan. Rupa-rupanya, habis semua, tiada wang, tiada ketenangan!

“Dulu masa durian murah, tiada yang curi. Kebun saya hasilkan 5,000 biji durian. Saya jual RM1 sahaja sebiji. Dapatlah RM5,000 semusim.

Ada lebih, dia bawa balik untuk adik-beradik, sanak-saudara, jiran-jiran dan kawan-kawan.

“Hari ini buah dah kurang. Durian naik harga. Sekilo RM20 dan saya boleh jual borong RM5 sebiji. Tapi itu pun tak sempat,” katanya penuh kecewa.

Dia hampir pasti yang mencuri duriannya adalah bekas pekerjanya sendiri yang sebelum ini sudah dikesan membuat ‘kerja’ yang sama. Bekas pekerja itu dipercayai bersekongkol dengan dua tiga orang kaki dadah untuk curi dan jual duriannya.

“Dia orang datang lepas tengah malam dan kebas semuanya, masukkan dalam guni dan bawa keluar dengan kereta,” katanya.

Bukan setakat durian, tong gas, parang dan alat timbang yang disimpan dalam stor pun habis mereka rembat.

Duit punyai pasal, kubur yang berjiran dengan kebun itu tidak sedikit pun menyeramkan mereka.

“Mereka tak peduli. Mereka datang tiga empat orang. Umur saya dah 72 tahun. Kalau saya ada di situ pun saya tak kan boleh buat apa-apa. Salah-salah saya yang kena belasah,” dia cuba berseloroh.

Apa nak dihairankan. Itulah hakikat hari ini. Dunia ini menghasilkan ramai penyamun dan penyangak. Wallahuaklam!

Ini cerita lain. Ketika pergi ke terminal bas sementara Shah Alam si Seksyen 13 untuk ke utara empat hari lalu, saya dapati tidak kurang daripada 300 motosikal kapcai diletakkan di satu kawasan sebelah terminal bas yang hodoh itu.

Menurut seorang penjual tiket bas yang rajin bercerita dan menjawab soalan-soalan saya, memang setiap hari beratus motosikal diletakkan di situ.

Pemilik-pemilik motosikal itu adalah anak-anak muda yang letakkan motosikal di situ untuk balik kampung di hujung minggu.

Tentu mereka sudah tanya rakan-rakan dan yakin selamat letak motosikal di situ.

“Peliknya, ada beberapa motosikal yang kami tengok ada di situ berbulan-bulan. Ada sebuah dua yang sudah tiada roda. Entah siapa punya dan kenapa mereka tinggalkan di situ sampai lama begitu,” katanya.

Sebenarnya, perkara yang serupa pernah saya lihat di beberapa terminal bas, apa lagi di Puduraya, Kuala Lumpur.

Di Puduraya lagilah banyak motosikal diletakkan di kawasan terminal bas, apa lagi kawasan itu pula berbumbung.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini dengan anak-anak muda terpaksa mengikat perut, kemudahan yang boleh menolong mereka berjimat patut diperluaskan.

Bayangkan bayaran parkir di banyak tempat sekarang. Kalau di pusat bandar, pemilik motosikal bayar RM1 sekali masuk, sementara pemandu kereta bayar ikut waktu; RM3 sejam atau lebih. Cuba parkir di setengah kawasan komersial atau hotel. Untuk tiga jam, anda bayarlah RM25.

Apa nak dikatakan. Suka atau tidak, itulah harga pembangunan yang perlu dibayar oleh semua orang.

Hanya mereka yang bijak merancang dan berjimat mampu mengawal perbelanjaan untuk kurangkan beban kos hidup.