SEJAK isterinya meninggal setahun lalu, Jamil hilang tempat bermanja.

Dia mengeluh, harinya sugul sentiasa. Ke mana sahaja dia pergi, gambar arwah isterinya yang baginya ‘tiada tandingan di dunia’ itu dibawa penuh setia dalam dompetnya.

Bandingkan dia dengan saya, Jamil jelas seorang suami misali. Tetapi ketika bersama kami melancong ke Makassar selama empat hari baru-baru ini, Jamil berubah sakan; bukan dari segi cinta sebatinya terhadap isteri yang bersamanya masa susah dan senang selama lebih 40 tahun itu, tetapi dari segi perasaan.

“Aku tak pernah seronok seperti ini,” Jamil membuat pengakuan. Masakan tidak, antara kami bersembilan, macam-macam latar belakang; ada imam, ada bilal, ada pegawai bersara dan ada ahli perniagaan.

Di kawasan kediaman, masing-masing sibuk. Bertegur bersapa, berjemaah di surau dan sekali-sekala bersarapan bersama. Tiadalah masa yang panjang untuk berkumpul bagi mengenal hati budi sesama kita.

Tetapi, apabila bersama hampir setiap masa sepanjang empat hari dalam satu rombongan begitu, barulah diketahui rupa-rupanya masing-masing memiliki bakat terpendam.

Ada yang mengaji dan menyanyi lagu-lagu berunsur agama dan patriotik dengan suara merdu, ada yang pandai dengan cerita-cerita sejarah, dan tidak kurang juga yang boleh jadi penglipur lara.

Dalam keriuhan dan keghairahan kami melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah, Jamil, atas inisiatif rakan-rakan, hampir-hampir menemui jodohnya, seorang janda dari tanah Jawa.

Bagi kami, mereka sangat secocok; Jamil berumur 60-an tetapi masih nampak tampan. Wanita itu dalam 40-an, dan tidak kurang penampilannya. Dipendekkan cerita, mereka macam pinang dibelah dua.

Sedihnya, tentunya atas kelemahan kami sendiri, kami gagal dalam usaha ‘membina sebuah masjid’. Kalau dalam filem, bolehlah dianggap sad ending; teruna sekadar membawa balik hati yang rindu.

Kami anggap Jamil tolak tuah. Dia tidak sempat bertukar nombor telefon dengan si dia; nama pun tidak ditanya. Itu kata dia. Wallahuaklam!

Usop pula lain cerita. Ketika melawat muzium di luar kota itu, dia diberi penghargaan mengenakan persalinan lengkap seorang pembesar zaman silam.

Walaupun pakaian diraja yang merah menyala itu hanya di badannya tidak sampai sejam, Usop jelas sangat teruja, meminta gambarnya dirakamkan untuk diabadikan sebagai kenangan manis.

Makassar, yang dipanggil Ujung Pandang antara 1971 dan 1999, adalah ibu negeri wilayah Sulawesi Selatan dan kota kelima terbesar di Indonesia.

Ia mempunyai banyak destinasi pelancong, walaupun ada di antaranya bagaikan kurang dijaga dari segi kebersihan dan kemudahan; antaranya, Fort Rotterdam, benteng bersejarah dari negara Gowa-Tallo, yang dibina pada 1545, Pelabuhan Paotere, Pantai Kodingareng Keke, Air Terjun Ketemu Jodoh dan beberapa muzium.

Hari ini Makassar adalah sebuah bandar raya pesat membangun dan sentiasa macet (sesak) dengan penduduk pelbagai etnik yang datang dari merata tempat.

Bahasa dominannya adalah Makassar dan Bugis, di samping Jawa, Batak, Minangkabau dan Banjar.

Dari segi destinasi pelancong, tempat bersejarah dan makanan di kota ini, saya kira tak boleh lawan negara kita.

Kita ada banyak tempat menarik dan pilihan makanan yang berbagai.

Tetapi apa yang penting bagi saya, melancong berkumpulan, apa lagi dengan yang serasi dari segi sikap dan penampilan, membuatkan kita lebih mengenali dan menghargai hati budi sahabat.

Kata pendeta, carilah kawan seperti cermin; kita ketawa dia ketawa, kita menangis dia turut menangis.

Jangan berkawan dengan duit syiling; depan lain, belakang lain! Wallahuaklam!