SEJAK mula jadi wartawan 44 tahun lalu, saya tidak pernah elak, malah sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan berita-berita besar lagi menarik, apa lagi kalau dapat temuramah orang-orang ternama dari dalam dan luar negara.

Saya kira, begitulah juga dengan kecenderungan ramai lagi wartawan yang saya kenali.

Seingat saya, ramai jugalah orang ternama, termasuk pemimpin parti dan pertubuhan, serta ketua-ketua negara yang saya temuramah hingga ke hari ini.

Pada saya, pengalaman menemuramah tokoh-tokoh dan personaliti serta maklumat yang didapati untuk menulis perkara-perkara besar atau berkaitan personaliti adalah sesuatu yang sangat bermakna kerana ia bukan sekadar menjadi kenangan, bahkan boleh dijadikan bahan untuk mencatat sejarah apabila tiba masanya nanti.

Seorang daripada ramai tokoh yang saya berpeluang temuramah adalah Allahyarham Prof Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali seantero dunia dengan nama singkatannya, Hamka.

Masa di bangku sekolah, saya baca buku-buku penulis dan ulama besar Indonesia itu, termasuk Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaa’bah, Tuan Direktor dan Lembaga Hidup.

Jadi, apabila saya dapat tahu Pak Hamka dijadualkan berada di Kuala Terengganu pada awal 1981, langkah pertama saya ambil adalah ‘menangkap’ penganjurnya dan meminta izin untuk saya temuramah Pak Hamka.

Pak Hamka saya rasa mudah didekati, tetapi apabila melalui pihak lain, banyak pula kerenahnya, bukan kerana mereka tidak kerjasama, tetapi terpaksa menyusun jadual ketat.

Beliau diberi penghormatan memberi ceramah di beberapa tempat, termasuk masjid-masjid di Kuala Terengganu dan di sekitarnya.

Walaupun tidak diberi kata putus, saya tetap pergi ke rumah rehat di pusat bandar dan menunggu di luar bilik Pak Hamka, dan menyatakan hasrat saya kepada sesiapa sahaja yang menuju ke arah biliknya.

Akhirnya kedegilan saya itu membuahkan hasil apabila orang yang ditugaskan mengiringi beliau memberitahu saya dibenarkan menemuramah Pak Hamka.

Itulah kali pertama saya bertentang mata dengan Hamka, pendakwah, penulis, ahli falsafah, sasterawan, sejarawan, aktivis politik dan ulama yang tulisan dan kisah hidupnya sudah banyak saya baca.

Hamka memang Hamka seperti yang saya faham; sentiasa tersenyum ketika berbicara dan melayani soalan dengan mesra. Bahasanya sopan dan tersusun rapi, penuh dengan kata-kata yang membuka minda pendengarnya.

Saya tidak melepaskan peluang bertanya sebanyak mungkin dalam tempoh hanya 30 minit yang saya diberikan itu.

Hamka jelas seorang individu mulia yang suka bersangka baik.

Saya ingat lagi soalan saya mengenai perasaannya apabila dihukum penjara dua tahun empat bulan pada 1964 kerana dituduh pro-Malaysia.

Saya kira beliau boleh sahaja menyalahkan pendakwanya, tetapi Hamka memilih untuk melihat dari sudut positif apabila beliau menjawab: “Syukur (kerana masuk penjara), saya boleh siapkan tafsir al-Quran (iaitu Tafsir al-Azhar, karya ilmiah terbesarnya).”

Ketika berceramah dalam Masjid Putih di bandar Kuala Terengganu, seorang pemuda bertanya beliau mengenai kegiatan mungkar di negara itu.

Kata pemuda itu: “Bapak adalah ulama besar di Indonesia, tetapi maksiat berleluasa di negara itu. Jadi, apa bapak buat?”.

Soalan pemuda itu jelas menimbulkan kemarahan para hadirin. Kedengaran suara-suara yang menegurnya.

Saya berada hanya dua depa di hadapan Hamka ketika itu dan terfikir, sebagai ulama, pendakwah, pemidato dan penulis terkenal dunia, tentu mudah bagi Hamka mematahkan hujah pemuda itu.

Tetapi rupa-rupanya Hamka memilih hanya untuk berkata: “Alhamdulillah, hari ini saya belajar perkara baru daripada tuan”. Senyap sunyi suasana masjid dengan jawapannya itu.

Saya teringat cerita kisah bagaimana Nabi Muhammad SAW luka dibaling batu apabila Baginda berdakwah di Taif.

Tetapi apabila Baginda ditawarkan Jibrail untuk memusnahkan mereka yang mencedera dan menghinanya, Baginda menolak dan sebaliknya berdoa, antaranya berbunyi: “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kaum ku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Hamka meninggal dunia pada 24 Julai 1981 pada usia 73 tahun di Jakarta, enam bulan selepas temuramah itu.