TIADA ramai tahu di mana letaknya Liman Kati, apa lagi sejarahnya.

Ia sebenarnya berkongsi kawasan dengan 15 kampung tradisional di bawah mukim Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak.

Kota Lama Kiri mempunyai keluasan 7,940.1 hektar dengan penduduk hampir 8,000.

Bagi penduduk kawasan itu, yang pada asalnya terdiri daripada penoreh, Liman Kati banyak dikaitkan dengan penemuan beberapa ekor harimau dan pengganas komunis masa darurat.

Tetapi kalau tiada aral melintang, tiga hari lagi - pada 25 Mac - kawasan kecil yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar diraja Kuala Kangsar itu akan menempa sejarah dan menarik tumpuan ramai dari dalam dan luar negara.

Pada tarikh itu, jam 3 petang, satu dialog antara dua tokoh, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sangat dikenali dunia dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dijadualkan  berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara,  yang merupakan mercu tanda kawasan itu.

Dialog yang dirancang untuk diadakan di dewan MRSM muat untuk kira-kira 600 orang sahaja, tetapi impak pertemuan Tun Mahathir, yang kini menjadi Pengerusi Bersatu dengan Mohamed Nazri, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan juga Ahli Parlimen Padang Rengas, yang Kota lama Kiri duduk di bawahnya, pasti terasa di seluruh negara.

Masakan tidak. Ini adalah julung-julung kali satu dialog melibatkan dua tokoh; seorang negarawan yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan seorang menteri kanan yang menjadi Ahli Parlimen Padang Rengas selama 22 tahun juga, sedia berhadapan dan berbahas mengenai perkara-perkara besar lagi kontroversi seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan isu RM2.6 bilion yang ramai lagi tidak mampu ulas.

Tapi apabila semalam polis menolak permohonan penganjuran itu atas beberapa alasan, tak tahulah saya apa akan jadi dengan dialog yang dinanti-nanti selama ini.

Antara faktor permohonan itu ditolak ialah kelewatan mengemukakan borang pembe-ritahuan, tempat perhimpunan adalah kawasan sekolah dan beberapa laporan orang awam dan penduduk yang menyatakan kebimbangan dengan keselamatan diri serta keluarga.

Sejurus selepas penolakan permohonan itu diketahui pagi semalam, Dr Mahathir memberitahu sidang media:

“Saya mahu teruskan debat itu, tidak seperti forum Nothing to Hide dan saya bersedia berdebat mengenai apa-apa isu yang dibangkitkan oleh mereka, termasuk skandal BMF.”

Bekas perdana menteri itu memberi Nazri sehingga tengah hari ini untuk menguruskan perjalanan dialog kerana ‘beliau yang telah aturkan’ itu.

“Saya tidak ke sana semata-mata berjumpa beliau tetapi untuk berdebat. Jika beliau mahu berjumpa dengan saya, beliau boleh membuat temu janji,” tegas Dr Mahathir.

Nazri tidak kurang lantang dalam responsnya kepada penolakan itu.

Pada waktu yang lebih kurang sama dengan sidang media Dr Mahathir, Nazri menegaskan di lobi Parlimen semalam bahawa tidak ada alasan bagi polis untuk menolak permohonan itu kerana perbahasan itu bukan perhimpunan awam.

Ia adalah wacana, katanya.

“Sejak bila kita jadi police state? Sejak bila hak individu boleh dihalang oleh orang lain?

“Ini bukan negara polis, ini Malaysia,” katanya kepada pemberita yang mengerumuninya.

Masalahnya, sementara kedua tokoh itu mempamerkan ketegasan dan kesungguhan untuk menjayakan dialog itu, sana sini, dalam laman sosial dan sebagainya, orang membuat andaian.

Biasalah, seperti dalam banyak kes dan isu, terdapat persepsi dan sangkaan. Tak tahulah dari mana mereka dapat, yang mana tepat dan yang mana tidak.

Yang penting, saya percaya apa yang mahu didengar rakyat adalah kebenaran dalam kes-kes besar  yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kehidupan mereka.

Dan kebenaran boleh didapati daripada pertemuan dua tokoh seperti Dr Mahathir dan Nazri, tidak kira siapa mewakili siapa.

Apakah dialog yang dinanti-nantikan ini akan menjadi kenyataan atau tinggal sebagai mimpi?

Apakah ia tetap akan berlang-sung di Liman Kati Sabtu ini atau di tempat lain?

Mungkinkah ia akan diadakan di negeri lain pada suatu tarikh yang dipersetujui semua pihak berkaitan?

Jadikah dialog yang dinanti-nanti ini?  Sama-samalah kita yang di luar gelanggang tunggu dan lihat.

Dalam perkara seperti ini, apa pun boleh berlaku di saat terakhir.

Entah-entah belum pun pembaca budiman selesai membaca artikel saya ini, suatu keputusan muktamad sudah dibuat. Wallahuaklam!