DALAM dunia ini, kalau anda ingin buat sesuatu yang anda percaya baik, pejam mata dan buat sahajalah.

Tidak perlu fikir sama ada perbuatan anda itu akan dipuji atau dikeji. Kalau tidak, sampai bila pun anda tak boleh buat apa-apa.

Jangan terkejut jika perbuatan baik yang anda lakukan masih diperlekehkan. Sebagai contoh, cuba anda ikuti tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sabtu lalu.

Sama ada itu ideanya sendiri atau meniru penyokong-penyokong pasukan bola sepak Jepun, menteri termuda itu  mengutip sampah selepas perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Video berdurasi 28 saat menunjukkan Bro Saddiq mengutip dan memasukkan tin-tin kosong dan cawan kertas ke dalam plastik yang ditularkan di laman sosial mendapat pelbagai reaksi netizen.

Ada yang ucapkan tahniah dan mengibaratkan tindakan beliau itu sebagai ‘kepimpinan melalui teladan’. Namun, macam biasalah, ada yang menganggap beliau mencari publisiti murahan dan menunjuk-nunjuk.

Turut memuji tindakan beliau termasuk bekas menteri kanan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

“Dulu saya kutip sampah di Perak, ada yang maki dan kutuk saya, kononnya mencari publisiti murahan,” Zambry berkata dalam Twitternya.

Syed Saddiq menegaskan beliau pantang kalau nampak orang buang sampah merata-rata. “Bagi mereka yang mengenali saya, ini bukan one-off (sekali sahaja). Kalau kawan buang puntung rokok pun saya pergi kutip. Biar dia malu dan tak buat lagi,” katanya.

Masalahnya, apakah tindakannya itu akan diteladani?

Dalam ramai-ramai tentulah ada yang mengikutinya, tetapi yang suka buruk sangka ramai juga.

Begitulah budaya sebahagian daripada kita; melihat tindak-tanduk orang lain dengan pandangan negatif dan syak wasangka, seolah-olah kita boleh baca hati orang.

Dalam perkara begini, saya selalu teringat kisah Lokman al-Hakim mengajar anaknya tentang realiti kehidupan. Lokman membawa anaknya dan seekor keldai ke beberapa tempat.

Di tempat pertama, sekumpulan orang yang melihat anaknya menunggang keldai, sementara dia berjalan, menganggap anaknya tiada beradab.

Di tempat kedua, Lokman pula menunggang keldai, sambil anaknya berjalan. “Bengap betullah lelaki ini. Dia naik keldai, anaknya dibiarkan berjalan,” kata orang di situ.

Di tempat ketiga, kedua ayah dan anak menunggang keldai. “Mereka tidak kasihan langsung kepada haiwan kecil ini,” kata orang di situ.

Lokman bersama anaknya turun dan berjalan di sisi keldai itu.

Sampai ke tempat keempat, mereka terdengar orang berkata: “Bodoh betullah bapa dan anak ini. Ada kenderaan, tapi tidak digunakan.”

Di kampung terakhir, Lokman mengikat keempat-empat kaki keldai itu, meletakkan pengandar dan mengusung binatang itu. “Gila agaknya orang ini. Keldai itu kan boleh berjalan sendiri!,” kata orang di situ sambil ketawa terbahak-bahak.

“Wahai anakku, tentu kamu sudah dapat pengajaran daripada apa yang berlaku kan?. Adalah jelas jika kita mahu ikut setiap pendapat orang, akan ada sahaja yang tidak betul kepada mereka.

“Oleh itu wahai anakku, apabila engkau lakukan sesuatu, lakukanlah berdasarkan apa yang diredai ALLAH,” kata Lokman.

Sebenarnya, mengutip sampah sambil beriadah sudah pun menjadi trend dalam kalangan rakyat negara seperti Sweden dan negara-negara Scandinavia, malah Thailand pun sudah bergerak ke arah itu. Jepun tidak payah cerita lagilah.

Tetapi sebahagian masyarakat kita bukan sahaja tidak bersedia membantu melakukan perkara-perkara baik seperti itu, malah memperlekehkan mereka yang cuba melakukannya. Kalau beginilah sikap dan tabiat mereka, entah bila kita dapat wujudkan masyarakat mentaliti kelas pertama.

Sebenarnya, amalan mengutip sampah seperti ini boleh dibawa jauh kalau benar-benar dipraktikkan. Satu dari kawasan yang sesuai adalah flat, apartmen dan kondo serta perumahan berkawal.

Hari ini, semua penduduk di kawasan demikian perlu membayar yuran penyelenggaraan. Ada yang RM20 sebulan, tetapi ada tempat di mana yuran penyelenggaraan menjangkau hingga RM250 sebulan atau lebih.

Sekiranya penghuni kawasan-kawasan ini sanggup bekerjasama mengutip sampah di kawasan masing-masing, tiada alasan yuran penyelenggaraan mereka tidak boleh dikurangkan.

Akhir kalam, komen saya begini sahajalah. Kalau kita boleh beri sumbangan kepada perkara-perkara yang baik, silakanlah. Kalau tidak, diam sahajalah. Tak payahlah menyindir Syed Saddiq atau sesiapa sahaja kononnya umpama 'new broom sweeps clean'.

Beliau sapu sampah sahaja pun, bukan sapu duit orang!