SEMAKIN hampir hari buang undi, semakin kencang degupan jantung calon-calon yang bertanding dalam PRU14.Namun, bagi kebanyakan rakyat, PRU bagaikan pesta dan perayaan. Langkawi tidak terkecuali, bahkan lebih meriah.

Sejak hari penamaan calon pada 28 April lalu, pulau bebas cukai itu menarik perhatian luar biasa bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan, malah dari luar negara.

Berpuluh wartawan dan jurugambar dari merata pelosok dunia datang untuk mengikuti kempen dan keputusan PRU14 yang berlangsung pada 9 Mei depan.

“Kemeriahan Langkawi kali ini luar biasa. Beribu-ribu bilik hotel dan homestay habis ditempah,” kata seorang pemandu kereta sewa.

Katanya, kerana ramai sangat pengunjung ada penduduk yang buat bisnes kereta sewa secara bidan terjun.

Seorang peniaga di pulau itu memberitahu kumpulan-kumpulan dari luar turut datang.

“Mereka bawa duit berkepuk-kepuk, belanja orang tempatan makan,” katanya.

Kedai-kedai makanan penuh setiap hari dan kebanyakan pelanggan bercakap pasal politik, terutama isu-isu yang berkaitan dengan keputusan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi calon untuk merebut kerusi Parlimen Langkawi.

Walaupun PRU hanya akan berlangsung empat hari lagi, cakap-cakap di warung-warung itu seolah-olah satu keputusan tentang siapa yang akan menang.

Sebahagian penduduk melihat Dr Mahathir sebagai pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan Langkawi, sementara sebahagian berpendapat sumbangan Dr Mahathir adalah atas kapasiti pemimpin kerajaan BN.

Dalam kempen memenangi hati pengundi, ada pihak dalam tempoh sehari dua ini mengagihkan benih durian Musang King dalam kalangan 1,500 penduduk.

Ada yang sumbang RM500 kepada setiap peniaga kecil. Ada kumpulan NGO bayar untuk 9 pelanggan di kedai-kedai dan ada membiayai khemah untuk peniaga.

Semalam, ada pihak datang  edarkan 1,000 helmet, cermin mata, jamu durian, sumbangan untuk anak yatim dan ibu tunggal. Kemuncaknya hadiah dua motosikal BMW melalui cabutan nombor bertuah.

“Begitulah rezeki orang Langkawi nampaknya kali ni. Dulu-dulu tak pernah meriah macam ni,” kata Husni Ali.

Husni, 48, lahir di Jitra, Kedah dan berhijrah ke Pulau Mahsuri 25 tahun yang lalu. Rezeki yang datang seminggu dua ini, bagaimanapun, tidak membantu peniaga seperti Husni. Dia jual kasut dan lain-lain barang.

“Untung  masa itu Alhamdu-lillah. Tapi sejak ada GST tiga tahun lalu, perniagaan merosot. Kalau dulu jualan boleh mencecah RM600 sehari, hari ini kalau dapat RM60 sehari dah kira baiklah,” katanya.

Seorang lagi peniaga makanan, Ismail, turut mengeluh dengan kos hidup yang semakin meningkat.

“Harap kerajaan faham kesusahan kami dan ambil tindakan untuk ringankan bebanan kami,” katanya.

Beberapa penduduk senada bahawa mereka tidak berharap kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana ia tidak banyak membantu.

“Kami nak kerajaan tolong kurangkan kos hidup yang makin tinggi,” kata seorang jurucakap mereka.

Pemimpin dan petugas parti politik di Langkawi tidak putus-putus sejak Dr Mahathir dilaporkan akan bertanding di situ. Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak sendiri turun beberapa kali dan mengumumkan beberapa projek.

Dr Mahathir, selaku Pengerusi Pakatan Harapan, sudah beberapa kali beri ceramah di Langkawi dan kini dalam siri jelajah di seluruh negara untuk calon-calon Harapan.

Pada malam sebelum hari mengundi, Dr Mahathir dijadualkan menyampaikan ceramah terakhir di Langkawi yang akan disebarkan secara langsung bukan menerusi televisyen, tetapi skrin gergasi ke seluruh negara.

Tidak pula diketahui setakat ini apakah Najib juga mempunyai kejutan untuk pengundi pada saat-saat terakhir kempen 11 hari itu.

Dalam PRU ini, Dr Mahathir berhadapan dengan penyandang Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN) dan Zubir Ahmad (Pas). Kerusi Dun Ayer Hangat melibatkan calon BN, Pas dan Harapan, manakala kerusi Dun Kuah, melibatkan BN, Pas, Harapan dan bebas.

Pada PRU13, Nawawi menewaskan calon PKR dan bebas dengan 11,861 undi majoriti.