TIDAK lama dahulu seorang pemimpin gerakan pendesak meminta pengundi menolak calon wakil rakyat yang berpoligami pada PRU14.

Alasannya ialah, kebanyakan wakil rakyat yang berpoligami lebih banyak tertumpu kepada soal peribadi daripada memikirkan kepentingan masyarakat.

Baginya, mereka yang hendak dipilih mestilah yang memberi perhatian dan mengorbankan masa serta tenaga untuk rakyat.

Kalau pengundi mengikut cadangan beliau, tentunya ramai juga mereka yang beristeri lebih daripada seorang sudah dicantas awal-awal, sedangkan tidak semestinya wakil rakyat yang berpoligami tidak berkorban masa untuk rakyat.

Tiga hari sudah, Pas pula menyuarakan mengenai kualiti wakil rakyat yang menjadi pilihannya.

Malah ia mendakwa proses penelitiannya terhadap pemilihan calon wakil rakyat lebih halus daripada yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti Islam itu tidak perlu SPRM menapis calonnya yang akan bertanding pada PRU14.

“Majlis Syura Ulama Pas jauh lebih halus penelitiannya berbanding SPRM. SPRM hanya menapis dari sudut rasuah, Syura menapis dari segi syarak, akhlaknya, amalan hariannya dan keluarganya,” katanya.

Saya kira, kalau betul seperti apa yang dikatakan, penelitian Pas terhadap wakil rakyat dari sudut amalan harian tentunya mengambil kira sejauh mana seseorang calon wakil rakyat itu bakal memberi tumpuan kepada rakyat, khususnya pengundi di kawasan di bawah tanggungjawabnya.

Tentu juga ia perlu teliti apakah tugas dan tanggungjawab seseorang YB itu akan terbantut sekiranya beliau berpoligami.

Sebenarnya, ada tiga fungsi utama wakil rakyat secara umumnya iaitu sebagai mekanisme penyampai pendapat dan kehendak rakyat.

Kedua, sebagai pembuat atau penggubal undang-undang dan terakhir, sebagai mekanisme semak dan imbang ke atas kuasa eksekutif.

Seseorang yang dipilih sebagai wakil rakyat, salah satu peranan utamanya ialah mewakili rakyat dalam kawasan pilihan rayanya.

Wakil rakyat menggalas amanah besar yang hendaklah ditunaikan dengan jujur dan bijaksana seperti kehendak mereka yang megundinya.

Wakil rakyat itu bukan sahaja mewakili rakyat yang memilih mereka ketika pilihan raya, malah mereka yang tidak menyokong atau tidak mengundi mereka.

Dalam perkhidmatan wakil rakyat, hendaklah wujud ruang untuk rakyat berhubung bagi mendapatkan maklumat dan bantuan.

Amanah lain yang digalas oleh seorang wakil rakyat ialah membuat undang-undang.

Apabila seseorang itu dipilih sebagai wakil rakyat, maka secara automatik beliau menjadi ahli badan legislatif.

Maknanyanya, wakil rakyat juga seorang ahli Dewan Perundangan dan merangka undang-undang bagi negeri atau negara.

Perlu diingati, tugas wakil rakyat tidak hanya terhad kepada memotong reben perasmian, hadir majlis kenduri, upacara kematian atau berswafoto dengan rakyat.

Tetapi yang paling penting adalah berani menggunakan hak dan kuasa sebagai wakil rakyat di dalam dewan untuk membahaskan dan menjalankan peranan semak dan imbang badan legislatif.

Apa pun, pengundi sendiri perlu ingat bahawa ciri-ciri wakil rakyat mestilah yang boleh diterima, yang bukan sahaja seperti Khalid ibni Walid, panglima perang di zaman Khalifah Al-Rasyidin, yang sanggup terus berjuang di bawah panji-panji Islam walaupun jawatannya sebagai kepala perang digugurkan, atau Usamah bin Zaid yang sanggup memimpin pasukan perang walaupun masih muda.

Barangkali mereka mahu wakil rakyat menjadi seperti Khalifah ketiga, Saidina Osman ibni Affan, yang memberi sepertiga daripada hartanya untuk Islam, atau seperti Khalifah kedua, Saidina Omar al-Khattab yang memberi separuh daripada hartanya atau Khalifah pertama, Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang mengorbankan seluruh hartanya pada jalan ALLAH.

Tentunya pengundi tidak mahu wakil rakyat, yang ketika diperkenalkan sebagai calon atau ketika baru menang pilihan raya, nampak rendah diri, amanah, warak, komited dan senang didekati, tetapi tidak lama lepas menjadi Yang Berhormat sudah mula nampak perubahan; hidup sudah mewah melampau dan berubah menjadi sombong.

Tidak ada sesiapa, kecuali yang mahu ambil kesempatan, inginkan wakil rakyat yang terlalu dikongkong oleh protokol dan dikelilingi pengampu, isteri atau anak-anak yang bukan membantu demi rakyat, tetapi untuk temolok sendiri.

Wakil rakyat perlu ada kesedaran. Tidak guna menjadi wakil rakyat yang banyak wang, harta dan jawatan, tapi dicemoh dan disisih orang?

Wakil rakyat patut selesa bergaul dengan masyarakat, tidur rumah ketua kampung, solat bersama penduduk, bukan sewa bilik hotel, walaupun hanya sekadar hendak mandi dan tukar pakaian.

Perlu disebut, rakyat mempunyai tanggungjawab besar kepada negara untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk rakyat.

Jika tersalah pilih rakyat juga yang akan menanggung kesannya.

Keluarlah mengundi, buatlah pilihan terbaik apabila tiba masanya nanti kerana keputusan adalah di tangan rakyat sepenuhnya. Jangan silap memilih wakil rakyat.