BALIK ke ibu pejabat The New Straits Times di Kuala Lumpur pada 1993 selepas dua dekad bertugas di hampir semua negeri di Semenanjung, saya diberi tanggungjawab mengawasi liputan dan laporan wartawan dari semua negeri.

Sebagai penolong pengarang berita, saya tidak lagi buat liputan berita ikut suka saya sahaja seperti ketika menjadi ketua biro di negeri-negeri; pergi ke mahkamah, balai polis, majlis menteri, tulis isu masyarakat, buat berita sukan, hiburan dan rencana.

Di ibu pejabat saya tidak bebas lagi buat apa sahaja saya mahu, bukan kerana dilarang oleh editor, tetapi kerana masa saya terhad dan skop tugasan pun sudah berubah.

Tumpuan saya di ibu pejabat adalah meneliti dan menyunting berpuluh-puluh berita yang dihantar melalui ketua-ketua biro dari semua negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, setiap hari.

Saya hanya keluar pejabat apabila dikehendaki membuat liputan program-program yang dianggap besar dan penting, seperti siri lawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri ke negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak atau ke luar negara.

Sekali sekala, saya diperlukan untuk program-program yang dianjurkan syarikat seperti penulisan dan penjualan akhbar, majalah dan buku, serta pameran foto, yang ada kalanya membawa saya hingga ke seminar peringkat dunia di luar negara.

Paling banyak liputan yang saya buat ketika berada di ibu pejabat selama lapan tahun sebelum berpindah pula ke Selangor adalah program dan lawatan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun pergerakan saya terhad kepada meliputi program perdana menteri dan timbalan perdana menteri sahaja ketika itu, saya masih tidak melepaskan peluang untuk membuat liputan kes-kes yang saya rasa sangat menarik dan perlu saya buat liputan sendiri kerana, pada saya, ia penting untuk menjadi bahan rujukan dalam lipatan sejarah.

Saya tidak mahu satu pun fakta tercicir, apa lagi apabila melibatkan kes-kes besar.

Satu daripada beberapa kes seperti itu adalah perbicaraan kes pembunuhan luar biasa melibatkan Mona Fandey dan dua orang lagi, iaitu suaminya, Mohd Nor Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka, Juraimi Hussein.

Kes pembunuhan itu menggemparkan seluruh negara ketika itu hingga menarik perhatian media luar negara.

Mona Fandey, atau nama sebenarnya Maznah Ismail, anak kelahiran Kangar, Perlis, awalnya dikenali sebagai seorang penyanyi.

Dia pernah mengeluarkan album pertama bertajuk Diana I pada tahun 1987.

Dia juga terkenal menerusi lagu Ku Nyanyikan Lagu Ini.

Bagaimanapun, difahamkan akibat tidak upaya menyanyi dengan baik, dia beralih arah ke bidang perubatan tradisional.

Bersama Mohd Nor Affandi dan Juraimi, Mona Fandey dihukum gantung sampai mati pada pagi 2 November 2001 pada usia 45, di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi Temerloh, pada 1995, memutuskan mereka bersalah membunuh Adun Batu Talam, Raub, Pahang, Datuk Mazlan Idris, di sebuah rumah di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, pada 1993.

Allahyarham Mazlan sebenarnya saya kenal baik sejak saya jadi ketua biro di Pahang antara 1981 dan 1983. Pada saya, beliau seorang yang tampan dan mesra.

Jadi apabila mendapat tahu tentang perbicaraan kes itu, saya awal-awal lagi memberitahu editor bahawa saya sendiri akan buat liputan kes tersebut.

Jenuh jugalah saya bersoal jawab dengan editor sebelum mencapai kata sepakat bahawa saya yang akan membuat liputan kes itu. Maklumkan, kami mempunyai wartawan-wartawan khas dan berpengalaman untuk membuat liputan kes-kes mahkamah.

Kes itu dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Raub, Pahang, di peringkat awal dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh mulai 12 September 1994, melibatkan tujuh orang juri.

Sejak menceburi bidang kewartawanan 43 tahun lalu, saya telah membuat liputan beratus-ratus perbicaraan kes di mahkamah trafik, mahkamah majistret, mahkamah sesyen, mahkamah tinggi dan juga mahkamah syariah.

Banyak kes yang besar dan menarik yang melibatkan pelbagai pertuduhan, termasuk rompakan, rogol, rasuah, bahkan kes pembunuhan, tetapi saya dapati, dalam banyak-banyak perbicaraan mahkamah yang pernah saya ikuti dan buat liputan, kes melibatkan Mona Fandey inilah yang paling ngeri, menonjol dan menggemparkan.