JANGAN hairan sekiranya ramai mencemburui calon kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dalam PRU14.

Bukan kerana sudah diramalkan akan berjaya menjadi giant killer, tetapi kerana beliau mendapat sokongan dan kata-kata semangat daripada bukan calang-calang orang.

Pengacara dan pelakon Wardina Safiyah mengibaratkan Maszlee sebagai permata yang tidak ternilai.

Dalam Facebooknya baru-baru ini, Wardina berkata, beliau mengenali bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan keluarganya.

Menurutnya, Maszlee dengan keluarganya mengagumkan dan Islamik, sementara Maszlee sendiri adalah seorang yang kota apa yang dikatakan.

“Jadi, buat pengundi Simpang Renggam, Anda ada permata! Insan berhati mulia, Ikhlas, baik, jujur, beretika, bijak, dan sudah lama melakukan kerja amal”.

Maszlee, 44, anak jati Johor Bahru, yang juga dikenali sebagai seorang pemidato dan moderator yang dihormati, menyertai Bersatu Mac lalu.

Bagi Wardina, calon-calon seperti Maszlee patut diberi peluang untuk berkhidmat bagi menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.

Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad telah umumkan calon bagi kerusi Parlimen dan Dun.

Bersatu yang dibatalkan pendaftarannya buat sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan kerana didakwa tidak mematuhi syarat, bertanding di 10 kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dun pada PRU14.

Bercakap kepada Sinar Harian semalam, Maszlee berkata, PRU adalah untuk rakyat memilih parti yang layak membentuk kerajaan.

“Tapi pilihan mestilah dengan maklumat yang adil, telus dan saksama daripada semua parti yang bertanding.

Bertanding di Simpang Renggam adalah satu cabaran besar kepada Maszlee. Beliau berhadapan dengan Setiausaha Gerakan, Datuk Liang Teck Meng, Ahli Parlimen Simpang Renggam selama dua penggal.

Apakah alasan Maszlee BN/Umno mesti dikalahkan dalam PRU kali ini?

“BN/umno adalah parti yang kuat kerana sudah lama memerintah.

“Apabila Pakatan Harapan pula diberi mandat untuk memerintah, BN/Umno boleh jadi pembangkang yang berkesan untuk check dan balance. Rakyat akan untung. insya-ALLAH,” katanya.

Maszlee menjelaskan beliau menceburi politik untuk laksanakan prinsip tegakkan keadilan, tunai amanah dan amalkan amal makruf nahi mungkar.

Beliau memilih untuk menjadi ahli Bersatu kerana percaya parti yang dipimpin oleh bekas perdana menteri ke empat itu mampu menjadi pemangkin kepada tsunami Melayu pada PRU14 yang akan berlangsung pada 9 Mei depan.

“Saya tak harap apa-apa habuan dari penceburan saya.

“Parti juga tidak janjikan apa-apa kepada saya, kecuali risiko dan ujian besar apabila menyertai parti itu dan Pakatan Harapan,” katanya.

Apa yang penting kepadanya adalah rakyat Malaysia mendapatkan kerajaan baharu ‘yang lebih adil, demokratik dan bebas rasuah’, bukan yang membebankan rakyat dan negara.

Pada PRU13, calon BN menang kerusi Parlimen Simpang Renggam, dengan mengalahkan Suhaizan Kaiat yang ketika itu calon Pas.

Kubu kuat BN itu mempunyai 57 peratus pengundi Melayu, 33 peratus Cina, 9 peratus India dan 1 peratus lain-lain kaum.