PASAL bab kos hidup ini saya makin pening apabila mengikuti penjelasan pelbagai pihak.

Yang ini kata naik, yang itu kata turun. Yang pro kerajaan kata kos hidup rakyat tidak terjejas, yang pro pembangkang pula dakwa hidup rakyat semakin tertekan.

Saya bukan pakar ekonomi atau ahli politik. Jadi saya terima apa yang saya rasa betul berdasarkan fakta.

Yang penting, saya tahu buat apa yang betul dan sesuai untuk diri sendiri supaya saya tidak terjebak dengan kekusutan perbelanjaan dan terpaksa jadi mangsa ah long atau yang segolongan dengannya.

Baru-baru ini, beberapa pihak mendakwa pendapatan purata isi rumah Malaysia berada dalam keadaan statik. Bagaimanapun, kerajaan segera menafikannya.

Berdasarkan pandangan pakar ekonomi seperti Dr Mohammed Abdul Khalid, sementara ekonomi berkembang, kenaikan gaji adalah sangat rendah, iaitu 0.9 peratus atau RM17 sahaja.

Keadaan begini membuatkan rakyat rasa tertekan, apa lagi melihat kes-kes pembaziran dan rasuah.

Menurutnya gaji graduan baharu dari 2007 hingga 2016 tidak naik langsung dan golongan tidak bekerja tahun lalu naik 13 peratus.

Kos hidup rakyat terkesan akibat kenaikan harga barang disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), khidmat pengangkutan, penarikan subsidi barang dan kejatuhan harga ringgit.

Semalam Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib pula menegaskan, laporan penyiasatan pendapatan isi rumah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara itu menunjukkan pendapatan isi rumah pada 2016 telah meningkat pada kadar 6.2 peratus.

Maksudnya, pendapatan purata isi rumah Malaysia tidak berada dalam keadaan statik seperti yang didakwa setengah pihak.

“Secara purata pendapatan isi rumah RM6,989 sebulan pada 2016 berbanding RM6,141 sebulan pada 2014," katanya.

Maknanya tidaklah timbul pendapatan negara ini statik.

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang menarik perhatian umum apabila meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan II tahun lalu dan beberapa jawatan dalam Umno, berkata baru-baru ini kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan pendapatan rakyat kepada 42 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),  selari dengan negara-negara maju.

“Saya bersama Bank Negara membuat kajian pada 2009 dan kita dapati kenaikan harga barang sebelum tahun itu cukup tinggi tetapi kenaikan gaji kita cukup rendah. Jadi dengan inisiatif seperti terkandung dalam bajet ini hasratnya adalah untuk menaikkan gaji rakyat.

“Dulu gaji kita berbanding KDNK adalah 33 peratus dan naik kepada 35 peratus dan hasrat kita adalah untuk tingkatkannya kepada 42 peratus supaya sama dengan negara-negara maju,” katanya.

Ahmad Husni, yang masih menjadi Ahli Parlimen Tambun, menyatakan keyakinannya bahawa pendapatan rakyat akan meningkat menerusi Bajet 2018 dan bajet-bajet akan datang.

“Bajet 2018 adalah yang terbaik yang diperkenalkan di negara ini sebab kita berdepan dengan gelombang ekonomi dunia yang persaingannya begitu tinggi tetapi kita berjaya menghasilkan bajet yang begitu holistik,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula kata kerajaan sentiasa cari jalan untuk memastikan pendapatan rakyat meningkat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

Katanya baru-baru ini, usaha kerajaan mula menampakkan hasil apabila pendapatan rakyat dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 dan pertengahan M40 meningkat dengan begitu ketara.

“Malah, kadar kemiskinan terus menurun,” kata Najib dalam catatan terbaru di blog NajibRazak.com.

Najib berkata, menurut Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan seisi rumah kumpulan B40 meningkat 76 peratus pada tahun 2014 sejak tahun 2009 manakala untuk golongan M40 pula, purata pendapatan seisi rumah meningkat hampir 60 peratus untuk tempoh yang sama.

Dari segi purata pendapatan pekerja dalam setiap sektor, kaji selidik Jabatan Perangkaan menunjukkan peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus pada 2016 dalam tempoh tiga tahun sebelumnya, katanya.

“Ini antara tanda yang kedudukan kewangan pekerja secara keseluruhannya semakin baik,” katanya.

Baru dua hari lepas, seorang rakan yang sudah lama berkhidmat dengan syarikat swasta bisik kepada saya: “Kau tahu tak, gaji aku kena potong RM2,000.”

Pengakuannya bukan sahaja mengejutkan, bahkan menambahkan lagi kecelaruan fikiran saya. Wallahuaklam!