MELIHAT kegigihan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan operasi demi operasi bagi mengheret perasuah dan yang bersekongkol dengan mereka ke muka pengadilan, saya kira tidaklah keterlaluan sekiranya ia dianggap sebagai sebuah badan yang paling menonjol masa kini.

Malah, kalau ada pertandingan memilih pihak berkuasa paling dteropong orang ramai di negara ini, barangkali suruhanjaya itu, dengan mudahnya, menjadi juara.

Mengikut statistik, SPRM telah menahan 932 individu kerana terbabit dengan salah laku rasuah sepanjang 2016.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, daripada jumlah itu, SPRM membuka 982 kertas siasatan dan 258 daripadanya dibawa ke mahkamah setakat 15 Disember lalu.

“Tahun 2016 boleh dianggap sebagai pencapaian terbaik buat SPRM, berbanding tahun sebelumnya. Pada 2013, SPRM menahan 509 individu, 2014 seramai 552 individu dan pada 2015, seramai 841 individu,” katanya baru-baru ini.

Tahniah SPRM, tetapi apa pun, masih banyak ranjau dan duri yang perlu direntas dalam perjalanan yang jauh dan berliku-liku itu.

Kita perlu sedar  Malaysia berada di tangga ke-55 dari 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 dan tiga negara teratas di kalangan 10 negara Asean.

Adalah sangat menyakitkan hati membaca hampir setiap hari betapa segelintir pegawai tinggi kerajaan, ketua-ketua agensi serta syarikat kaitan kerajaan (GLC) yang sepatutnya menunaikan amanah rakyat, terlibat dengan rasuah dan penyelewengan.

Apabila dibawa masuk dan keluar mahkamah, mereka tutup muka kononnya malu, tetapi apabila mereka kaut wang berbilion ringgit, kereta, tanah, jam-jam mewah, barang hiasan dan apa sahaja habuan yang boleh mereka kebas, mereka buat seperti nenek mereka punya.

Melihat kepada kadar rasuah yang dilaporkan, tidak lagi termasuk yang belum atau tidak dapat dikesan, dikhuatiri ketirisan berlaku di banyak lagi agensi kerajaan dan GLC pada kadar yang membimbangkan.

Shamsun Baharin juga bimbangan dengan penglibatan golongan muda dalam gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, 54 peratus iaitu 1,267 daripada 2,346 individu yang ditahan dari 2014 hingga 2016 berusia di bawah 40 tahun.

Ini sangat membimbangkan kerana mereka adalah kumpulan pelapis kepimpinan negara.

Sementara masyarakat menghargai tindakan tegas SPRM menangkap pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam dan GLC, saya percaya rakyat juga menanti tindakan tegas diambil ke atas orang politik pula yang terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tidak kira di peringkat mana pun mereka berada, supaya kebejatan rasuah di akar umbi dapat ditangani.

Barangkali ada yang cenderung untuk menganggap SPRM tidak berani bertindak terhadap jerung daripada kalangan orang politik, tetapi kata orang, berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Saya percaya SPRM sendiri mahu terus bertindak tanpa takut dan gentar.

Malah, amaran dan tindakan diambil selama ini pun rasanya sudah memadai untuk membuat ramai yang terlibat dengan rasuah secara kecil atau besar menggelupur  ibarat cacing kepanasan. Biarkan!

Ikutilah ucapan-ucapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, kita boleh rasa kesungguhan SPRM bertindak tegas.

Dalam temu bual melalui Astro Awani malam Jumaat lalu, beliau menegaskan pihaknya hanya menunggu masa bertindak ke atas ahli-ahli politik yang terlibat rasuah.

“Saya hanya mempunyai satu perkataan; tunggulah,” katanya.

SPRM, katanya, tidak boleh mendedahkan siapa yang akan ditangkap atau bila tangkapan akan dilakukan, pihaknya tidak akan melepaskan sesiapa sahaja yang terlibat dengan perbuatan rasuah.

Semalam SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Dzulkifli berjanji SPRM bertindak terhadap pelaku rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan, sama ada mereka ahli politik, ahli perniagaan, pegawai GLC mahu pun penjawat awam.

Berdasarkan tindakan yang sudah diambil selepas memberi amaran itu, masyarakat patut memberi kepercayaan dan ruang kepada Dzulkifli dan pegawai-pegawainya yang gigih itu untuk mengotakan kata-kata mereka.  

Kita juga perlu ingat kesungguhan untuk memerangi gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa satu hal, mendapatkan kerjasama, maklumat dan bukti satu hal lain.

Justeru, kita yang sangat benci kepada rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan penyelewengan  perlu tampil memberi kerjasama.

Hanya dengan mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kalau pun tidak dapat mrnghapuskan langsung, kita mampu kembalikan imej Malaysia sebagai negara yang bersih daripada rasuah. Insya-ALLAH!