KALAU rasa hidup ini satu bebanan, jika fikir nasib tidak menyebelahi kita, hati selalu gundah-gulana, jiwa tertekan dan suasana sekeliling membosankan; kita tiada apa-apa lagi untuk memberi kepada dunia dan berasa dunia juga tidak memberi sumbangan kepada kita; tunggu! Dunia belum berakhir.

Duduk dan fikir. Renungkan kehidupan Puan Ahmad, dari Perlis; Maimun Yusuf dari Kuala Terengganu, Christopher Plummer dari Amerika Syarikat, Fauja Singh, dari Britain; senarainya berterusan.

Puan, warga emas yang menjadi selebriti segera gara-gara kesilapan catatan umur dalam MyKadnya, boleh membakar semangat anda untuk terus hidup penuh harapan. Pada usia 116 tahun (bukan 15 tahun seperti tercatat dalam MyKadnya), Puan masih mampu menyatakan keinginannya untuk mencari teman hidup buat mengisi masa sunyi.

Pada usia 93 tahun, Maimun, yang kalah teruk pada PRU12 di Kuala Terengganu empat tahun lalu, sudah bangun kembali dengan jiwa membara untuk beraksi sekali lagi pada PRU13 yang akan berlangsung tidak lama lagi itu.

Pada usia 82 tahun, Christopher Plummer menjadi pemenang tertua Oscar Pelakon Pembantu Terbaik tahun ini melalui filem Beginners. Fauja Singh boleh membuat ramai daripada kita rasa malu. Dalam usia 100 tahun, warga Britain berketurunan India ini menamatkan larian maraton sejauh 10 kilometer di Hong Kong awal bulan lalu; tidak apa Guinness Book of World Records enggan mengiktirafnya sebagai pelari maraton paling tua di dunia kerana dia tidak menunjukkan sijil kelahirannya.

Bercakap mengenai usia, hanya seminggu yang lalu saya bersembang dengan seorang bekas pemimpin yang aktif dan berjaya, yang saya kenal sejak kira-kira 10 tahun lalu. Umurnya sudah pun mencecah 75 tahun, tetapi jelas masih sihat, jasmani dan mental.

Beruban (berapa kerat manusia yang masih berambut hitam pekat dalam usia sedemikian?) tapi pergerakannya pantas, jalannya sentiasa laju, wajahnya selalu menggambarkan keceriaan. ‘Alhamdulillah, syukur pada ALLAH,” ucapnya ringkas, apabila saya kata beliau nampak sihat.

Saya cemburu tetapi gembira untuknya. Moga ALLAH terus kurniakan kesihatan kepadanya. Tidak banyak yang saya tanya mengenai hidupnya masa lalu, tetapi beliau jujur dengan jawapannya.

Beliau tekun menulis, banyak membaca, gemar menjelajah, suka bertukar fikiran dan banyak memberi pendapat. Tidak pernah saya melihat beliau merokok. Dulu-dulu saya tidak tahu dan tidak tanya.
Nasihatnya, apa pun anda buat, pastikan jangan tinggal solat.

Sesungguhnya, usia bukanlah benteng yang boleh menyekat usaha seorang untuk mencapai hidup sihat dan sejahtera. Yang penting, kemahuan dan, seperti kata seorang rakan lagi, jiwa yang membara.
Mereka, yang walaupun sudah tua, tapi mempunyai keazaman dan cita-cita, boleh membakar semangat kita untuk terus menjalani hidup sepenuh mungkin, biar bagaimana tajam pun liku-likunya dan bagaimana curam lembahnya.

Janganlah kita fikir sudah berapa kali kita merayakan ulang tahun kelahiran kita atau sudah berapa lama kita bersara. Jangan bimbang kerana ia hanya nombor. Kata orang: Age is a question of mind over matter. If you don’t mind, it does not matter!

Benar sekali kata orang, sekiranya kita tidak pedulikan pasal usia, ia juga tidak hiraukan kita. Yang penting, kita perlu ingat dan yakin kejayaan sedia menanti kita selagi kita sanggup berusaha mencapainya.
Pasal usia lagi. Beberapa hari lalu, saya terserempak pula dengan seorang lagi rakan berusia 72 tahun di klinik.

“Saya silap makan; tak kawal dua tiga hari ini. Macam keretalah, kena hantar service,” katanya berseloroh. Antara membaca dan menunggu giliran, kami bersembang ikut apa yang terlintas dalam fikiran. Cerita kampung, kisah surau dan keluarga.

“Katakan diberi peluang hidup sampai 200 tahun, awak nak ke?,” saya melontar pertanyaan, separuh berseloroh, separuh serius. Kami berpandangan, tiada jawapan, sama-sama gelak besar. Ah! Lupakan, yang penting terima apa yang ALLAH kurniakan sekarang dan rancang dengan apa yang bakal datang.

Apa akan jadi seminit dari sekarang, esok, lusa, tulat dan seterusnya di luar kemampuan dan kawalan kita. Sedikit untuk tatapan. Berdasarkan statistik 2010, terdapat hampir 27,300 warga berusia lebih 100 tahun di Malaysia; ramai masih aktif dan berdikari.

Jadi, tengoklah sekeliling. Lihatlah laut yang luas terbentang, pandanglah langit biru. Cakerawala masih luas untuk kita nikmati, masih banyak yang menanti. Hidup dan mati bukan di tangan kita. Angin yang kita sedut, makanan yang kita telan; keindahan yang kita nikmati, bumi yang kita pijak; nadi yang berdenyut dan nyawa yang dipinjamkan kepada kita, semua itu milik siapa?

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.