HAMID, sahabat saya sejak sekolah rendah lagi, tiba-tiba muncul di depan pintu rumah saya di Shah Alam minggu lepas.

Tanpa banyak cakap, dia dan isterinya turunkan enam biji durian, 4kg manggis dan 5kg rambutan dari keretanya.

“Ini untuk hang rasa,” katanya.

Menurut Hamid, dia memutuskan untuk bawa buah-buah itu dari kebunnya di Karangan, 25km dari Kulim, Kedah, kerana di sana harga buah-buah terlalu murah pada kadar yang tak masuk akal.

“Pemborong nak beli durian aku pada harga RM1 sekilo.

Daripada aku jual dengan yang rendah gila begitu, baik aku masukkan dalam kereta dan bawa kepada hang.

Nak tunggu hang pi kebun aku entah bila; nanti habis busuk buah-buah aku,” katanya.

Saya terharu dengan semangat persahabatan Hamid, yang, dengan ditemani isteri, sanggup belanja duit minyak dan tol, pandu kereta lebih 800 km pergi balik semata-mata untuk hantar buah-buahan kepada saya dan beberapa rakan lain yang tinggal di sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Saya kira sahabat yang seperti Hamid sudah masuk kategori ‘dying spesies’; maksudnya, dah hampir-hampir tidak boleh ditemui lagi; mungkin seorang dalam 10,000.

Sekarang, yang ramai kita jumpa adalah jenis kawan yang suka ambil kesempatan atau apa yang kita sebut sebagai kawan makan kawan. Cuma saya bersyukur, kawan-kawan saya semuanya Insya-ALLAH, boleh dipercayai.

Balik kepada cerita buah-buahan. Hamid tanam pelbagai jenis buah-buahan di kebunnya. Durian sahaja ada lebih 30 pokok. Nenas, ciku, duku, langsat, nangka, cempedak, limau dan kelapa muda pun ada.

Setiap kali saya dan kawan-kawan ke rumahnya, tidak cukup makan di bawah pokok sampai mengah, siap masuk dalam guni untuk dibawa balik lagi. Moga ALLAH murahkan rezeki Hamid sekeluarga.

Selain daripada mengagihkan dalam kalangan kawan-kawan, Hamid juga jamu jemaah masjid di kampungnya.

Menurut Hamid, pegawai tinggi polis yang bersara 18 tahun lalu, sejak dia buat rumah dalam kebun seluas 5 hektar di kawasan itu 16 tahun lalu, inilah kali pertama harga buah-buahan jatuh teruk.

Kalau pun harga tidak rendah, dia masih bawa ke masjid dan bagi kepada kawan-kawan.

Tapi musim ini buah-buahan menjadi-jadi. Mungkin sebab itulah harga jatuh teruk.

Hamid bukanlah seorang sahaja ‘pekebun’ yang mengalami masalah lambakan.

Di mana-mana sahaja di negara ini saya dengar cerita lambakan buah-buahan dan kejatuhan harga ke tahap yang sangat rendah.

Seorang kawan saya memberitahu, ketika dia jumpa rakannya di Jerantut, Pahang, rakannya itu mencadangkan dia bawa lori ke kebunnya untuk mengambil rambutan.

Rambutan terlalu banyak di kebunnya hingga bertaburan di bawah pokok dan tak terjual.

Kawannya bagi rambutan itu percuma sahaja kerana nak jual pun tak seberapa.

Ada tempat seperti berdekatan dengan Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah, yang jual durian RM3 sekilo.

Kerana terlalu, murah pembeli serbu kebun dan gerai seolah-olah dapat percuma.

Dekat pejabat saya pun boleh tahan. Pengusaha tanaman bawa buah-buahan - durian, manggis, rambutan dan petai - dari Kota Bharu, Kelantan.

Tidak sampai 4 jam, habis semua buah-buahan, yang dijual antara RM4 dan RM5 sekilo, disapu bersih.

Ada kawan, pemilik kebun di kawasan, seperti di jalan ke arah Chemor, Perak, berhadapan dengan nasib yang lebih malang.

Bukan setakat harga rendah, buah-buah yang ditanam di kawasan seluas 3 hektar dicuri orang dan dimusnahkan oleh beruk dan babi hutan.

Hanya tinggal beberapa biji durian dan 5 atau 6 kilo manggis dan rambutan selamat untuk dibawa balik.

“Duit beli baja pun tak balik modal,” dia merungut pada saya.

“Tak apalah, dapat pahala dicuri orang dan dimakan binatang,” kata saya, cuba menenangkan perasaan kawan yang sedang marah itu.

Begitulah musim buah-buahan. Ada masa menjadi, ada kala tidak.

Ada masa untung, ada kala rugi. Wallahuaklam!