MINGGU lalu, beberapa hari selepas menyaksikan rakaman video menunjukkan penjenayah didakwa menggunakan garam dengan air liur untuk memecahkan cermin pintu kereta, cermin dua biji kereta saya pula dipecahkan.

Tetapi penjenayah itu tidak menggunakan garam. Mereka guna batu sebesar kelapa.

Mulanya panas juga hati dengan kejadian itu kerana ia tidak pernah berlaku sejak saya memiliki kereta pertama 45 tahun dahulu.

Apatah lagi apabila yakin saya letak kereta di tempat yang sudah cukup selamat - di luar pagar surau, dekat rumah jiran.

Bagaimanapun, saya segera mengusap dada, memujuk perasaan supaya bersabar kerana ia berlaku bukanlah disebabkan kecuaian saya. Malah saya bersyukur kerana yang dikebas cumalah bateri. Bagaimana kalau mereka larikan kereta?

Beberapa jiran saya lebih malang. Mereka letak kereta dalam kawasan pagar rumah, tetapi cermin kereta mereka dipecahkan juga.

Bahkan, seorang jiran saya yang bergelar Datuk mengeluh kerana cermin kereta mewahnya dipecahkan dan telefon bimbit dikebas sedangkan dia letak kereta di kawasan masjid waktu solat Jumaat.

Kalau setiap kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa, tak tahulah berapa ribu cermin kereta kena pecah setiap hari di negara kita.

Dari segi kecurian kenderaan, Malaysia adalah sebuah daripada 10 negara yang mencatat  bilangan kecurian kenderaan paling banyak.

Menurut sebuah laporan persatuan berkaitan Ogos 2016, purata 60 buah kenderaan dicuri di seluruh Malaysia setiap hari dengan industri itu menerima tuntutan sebanyak RM2.41 bilion bagi enam bulan pertama tahun itu.

Sebanyak 11,796 kenderaan dicuri separuh pertama tahun 2016, berbanding 12,412 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Kenapa boleh jadi teruk sampai begitu tidaklah saya dapat pastikan. Apakah kita tiada cukup anggota penguat kuasa? Walahuaklam.

Setakat cerita yang saya dengar, kebanyakan mereka yang sanggup pecah cermin kereta dan ambil apa sahaja yang sempat selalunya penagih dadah yang menjual barang curian untuk melepaskan gian.

Akibat dirasuk gian yang tidak terkawal, makhluk perosak ini hilang daya untuk berfikir secara waras tentang kerugian dan kesusahan yang akan ditanggung pemilik kenderaan akibat tindakan mereka.

Pada mereka sedikit wang untuk melepaskan gian mereka lebih penting daripada beratus atau beribu ringgit yang perlu dibelanjakan oleh pemilik kenderaan akibat tindakan mereka. Malah mereka tidak hirau dengan risiko yang mungkin mereka tanggung kalau tertangkap.

Berapa banyak cerita yang sudah kita dengar tentang pencuri yang bukan sahaja didakwa di mahkamah, bahkan dibelasah orang awam, walaupun ini tidak patut berlaku.

Yang menyakitkan hati, kegiatan pecah rumah dan pecah cermin kenderaan boleh berlaku di kawasan perumahan yang ada pasukan rukun tetangga dalam kalangan jiran yang berprihatin dan kerjasama polis seperti di tempat saya tinggal.

Pasukan rukun tetangga yang sebahagian anggotanya terdiri daripada warga emas, siap dengan basikal dan lampu picit yang digunakan ketika meronda bergilir-gilir.

Kalau kawasan perumahan yang mempunyai penduduk yang begitu prihatin dan bersemangat dalam menjaga keselamatan kawasan pun pencuri dan penyamun masih berani menceroboh.

Bayangkanlah keadaan di kawasan yang mempunyai penduduk yang tidak kenal jiran dan penting diri sendiri.

Jangan cakap cermin kereta, tabung masjid pun penagih-penagih dadah sanggup pecah untuk kebas duit bagi melepas gian.

Saya tidak rasa kadar kes kecurian yang berlaku ini ada kena-mengena dengan kenaikan harga petrol, diesel atau barang-barang lain.

Tentu juga jauh sekali disebabkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan yang sering menjadi bahan perdebatan dan keluhan dalam kalangan masyarakat.

Bagi penagih dadah yang menjadi penyamun dan penyangak ini, 10 kali harga petrol, diesel dan barang naik atau turun pun dan sama ada GST ada atau tidak, matlamat mereka sama sahaja; mencari duit untuk lepas gian.

Mereka tidak peduli sama ada ekonomi meningkat atau merosot, sama ada cermin kereta yang mereka pecah itu milik orang Melayu, Cina atau India.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua yang waras inilah untuk bertindak menentukan kawasan kita selamat daripada apa sahaja ancaman.

Jiran tidak boleh jadi kera sumbang, kalau mahu keselamatan rumah, kawasan dan diri sentiasa terpelihara.

Kita tidak boleh harapkan pihak berkuasa sahaja untuk menjaga keselamatan kita kerana mereka juga mempunyai tugas yang banyak.