LEBIH ramai kanak-kanak miskin akan terbela sekiranya negara kita mempunyai anak-anak muda yang komited seperti Sarah dan Jude.

Kedua anak muda ini sanggup korbankan masa, tenaga dan wang ringgit, menyertai kumpulan ke arah mewujudkan ruang bagi membolehkan kanak-kanak hidup dalam ruang selamat dan selesa.

Perjalanan mereka dalam usaha murni ini bermula apabila mereka dipilih menyertai pertandingan Policython di bawah anjuran Tabung  kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan DM Analytics, sebuah institusi penyelidikan berpusat di Kuala Lumpur.

Sebanyak 10 kumpulan, lapan dalam setiap kumpulan, dibentuk untuk pertandingan itu. Pelajar-pelajar itu adalah pemegang biasiswa Yayasan Axiata dan Yayasan Khazanah.

Setiap kumpulan dikehendaki membentuk polisi untuk membanteras kemiskinan kanak-kanak di flat di Kuala Lumpur. Mereka diberi dua hari untuk membentangkan polisi dalam usaha menyelesaikan masalah kanak-kanak miskin.

Juri terdiri daripada Timbalan Perwakilan Unicef Malaysia, Dr Amjad Rabi, Chua Choon Hwa dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Profesor Adjung Universiti Malaya, Tan Sri Profesor Dr Kamal Salih dan Pengarah Urusan DM Analytics, yang juga pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid.

Daripada 10 kumpulan, dua terpilih, iaitu kumpulan Sarah dan Jude. Sarah, atau nama penuhnya Sharifah Sarah Syed Abdul Rahman, 23, dari Subang Jaya, dan Ruevan Jude Ratnesh, 25, dari Taiping, adalah penuntut International Medical University, Bukit Jalil.

Unicef memutuskan akan membantu kumpulan-kumpulan itu usaha mereka  mewujudkan ruang selamat sebagai pusat kreatif kanak-kanak.

Flat PPR Desa Rejang, di Setiawangsa dan PPR Beringin di Jinjang akan dipilih untuk projek perintis.

Kejayaan projek ini akan membuka jalan bagi mewujudkan ruang selamat di seberapa banyak flat yang mungkin di seluruh negara untuk kanak-kanak berusia 7 ke 12 tahun.

Tentunya banyak sumbangan diperlukan bagi menyediakan tenaga pengajar penuh masa, perkakas dan kemudahan.

Ruang selamat ini juga perlu akibat kekangan kawasan untuk kanak-kanak belajar dan bermain dalam keadaan selesa dan selamat di kawasan flat.

“Sangat menyedihkan kerana hasil kajian menunjukkan seorang daripada tiga kanak-kanak di flat KL tidak ada bahan bacaan dan empat daripada 10 tiada mainan,” kata Sarah.

Setakat ini, sudah ada beberapa perancangan, termasuk bengkel untuk muzik, pementasan dan robotik, di samping khidmat kaunseling.

Apa pun, kejayaan projek berkenaan bergantung kepada kesedaran penduduk, terutama ibu bapa dan penjaga, untuk menyambut usaha murni seperti ini.

“Saya gembira diberi peluang menjadi sebahagian daripada tenaga pemikir dan pelaksana program ini," kata Sarah, ketika ditemui.

Perlu disebut bahawa matlamat program tersebut adalah untuk memberi kanak-kanak hak mereka menjadi kanak-kanak.

Sarah, pemegang biasiswa Yayasan Khazanah, kini mengikuti fasa klinikal tahun ketiga di Hospital Seremban.

“Saya bercita-cita meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang perubatan untuk menjadi penggubal polisi, insya-ALLAH,” katanya.

Jude, pelatih fasa klinikal kelima di Hospital Kluang, menyifatkan penyertaannya sebagai sesuatu yang memberi kesan peribadi kepadanya.

“Semasa kecil, ayah saya dengan keluarga tinggal di kuarters sempit tanpa kawasan selesa untuk belajar.

“Ayah sanggup berjalan 2 kilometer, panjat pagar sekolah dan belajar di kantin,” katanya.

Mengambil itu sebagai iktibar, Jude komited untuk membantu kanak-kanak miskin bandar menikmati masa depan yang cerah.  

“Saya harap lebih ramai anak muda ambil inisiatif untuk lakukan perubahan,” katanya.

Syabas Sarah dan Jude. Moga-moga anda, bersama mereka yang sehaluan dengan anda, berjaya mencapai cita-cita!