SETIAP kali nak buat keputusan naik bas ekspres, saya mesti telan air liur dan fikir panjang.

Nak naik atau tidak, nak naik atau tidak??? Demikian saya bersoal jawab dengan diri sendiri, dan selalunya ia berakhir dengan 'tidak'.

Sebenarnya, kalau bukan kerana masalah risiko kemalangan akibat kelajuan disebabkan segelintir pemandu pelesit yang tidak peduli  tentang keselamatan orang dan keselamatan diri mereka sendiri,  memang saya suka pilih naik bas.

Di samping tambangnya yang murah dibandingkan dengan kapal terbang, tiket bas mudah diperoleh dan apa lagi, terminal bas hanya lima minit dari rumah saya. Yang penting juga, naik bas, bagi saya, tidak menyusahkan orang lain.

Saya tak suka naik kapal terbang bukanlah kerana tambangnya. Betul tempoh perjalanannya sangat singkat.

Kalau naik kereta atau bas dari Shah Alam, empat setengah jam baru sampai ke Pulau Pinang, tapi kapal terbang hanya mengambil masa tak sampai sejam. Cuma, bagi orang yang simple ini, bab hantar-menghantar, tunggu-menunggu banyak kerenahnya.

Nak tempah tiket satu hal, nak ke lapangan terbang satu hal dan nak kena tunggu lama sebelum berlepas satu hal lagi!

Alkisah, Sabtu lepas saya ‘raya’ sakan. Dalam bahasa P Ramlee, 'dunia ini ana yang ampunya!'

Saya beli tiket bas ekspres Shah Alam ke Pulau Pinang. Biasanya RM45 tapi nyonya di kaunter tiket bagi diskaun RM5 sebab “awak orang lama”.

Ikut jadual bas patut bertolak 11.59 malam, tapi hampir setengah jam kemudian baru bas sampai.

Terkejut beruk saya kerana dalam bas hanya ada saya dan seorang lelaki muda berbangsa India.

Saya dengar pemandu jerit kepada rakan di kaunter: “Dua orang sajalah!”, sebelum menoleh kepada saya dan berkata: “Encik punya sukalah nak duduk kat mana pun”.

Sukanya hati tak terkira. Bayar RM40 terasa dilayan seperti anak raja. Sebiji bas macam saya yang punya. Cuma, daripada pengalaman, saya bimbang kalau-kalau disebabkan bas hampir kosong, drebar lupa daratan dan pandu macam pelesit.

Pemanduan macam pelesit itulah satu-satunya sebab saya mogok beberapa kali nak naik bas ekspres.

Kalau laju hingga keselamatan tidak terjamin, lebih baik naik roller coaster. Ia laju dan menggerunkan tetapi dijamin jauh lebih selamat.

Tetapi syukur, kali ini pemandunya bukan macam pelesit. Pada jangkaan saya, dia pandu dalam lingkungan kelajuan 80 ke 90 kilometer sejam.  Alhamdulillah!

Saya sampai in one piece ke terminal bas Sungai Nibong, Pulau Pinang, tepat jam 6 pagi, siap bersahur lagi di Simpang Pulai, dekat Ipoh dua jam sebelum itu.

Sebelum turun bas, saya salam tangannya dan ucapkan terima kasih kerana memandu secara berhemah.

“Encik pemandu yang baik,” kata saya. Dia mengangguk dan tersenyum.

Kalau semua pemandu bas ekspres berhemah macam dia, lebuh raya kita akan jauh lebih selamat.

Tak adalah kerap berlaku kematian dan kecederaan akibat perlanggaran dan kemalangan.

Cuma saya nampak dua tiga kali pemandu itu pasang api rokok. Tak apalah...saya kira dia perlu untuk kawal mata supaya tidak terlelap.

Kini saya dah tahu, lain kali kalau nak balik kampung, ambil tiket untuk perjalanan bas tengah malam.

Sebelum ini, saya selalu nasihatkan sanak saudara dan sahabat handai, kalau nak naik bas ekspres, elakkan waktu malam.

Alasan saya adalah pada waktu malam segelintir pemandu, untuk kejar trip, suka pandu laju kerana jalan tidak sesak.

Tetapi waktu siang, jalan banyak kenderaan. Jadi mereka tidak boleh pandu terlalu laju.

Cuba renungkan; bukankah banyak daripada kemalangan teruk melibatkan bas ekspres berlaku di lebuh raya lepas tengah malam?