TIADA siapa angkat kening apabila Datuk Seri Najib Tun Razak bertanding di Pekan atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan kerusinya di Marang dalam PRU sebab semua tahu mereka tidak akan ke tempat lain kerana itu kubu mereka.

Tetapi apabila pemimpin seperti Datuk Saifuddin Abdullah menentang Nasrudin Hassan di luar kubu sendiri, sedangkan di kawasan yang beliau sepatutnya menang pun beliau kecundang, ia menimbulkan tanda tanya.

Barangkali ramai rasa pelik kenapa Saifuddin, 56, kini Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, sanggup meninggalkan kawasannya, Temerloh, untuk berdepan Ketua Penerangan Pas itu di Indera Mahkota.

Mengumumkan pencalonan Nasrudin kelmarin, Abdul Hadi, selaku Presiden Pas, menjelaskan Nasrudin dipilih kerana beliau tinggal di Indera Mahkota, ada ilmu, kelayakan dan boleh berhujah dengan baik.

Nasruddin, 48, antara lain, adalah Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Pengarah Eksekutif Akademi Ar Rasyidin, dan Pengerusi Lajnah Tarbiyah Musolla ar Raudhah, Tmn Pelindung Perdana, Pahang.

Dilahirkan di Besut, Terengganu dan dibesarkan di Pahang, beliau berkelulusan sarjana muda matematik, Western Illinois University, sarjana dalam Matematik Gunaan, Western Michigan University dan doktor falsafah Matematik Gunaan, Universiti Putra Malaysia.

“Ya, saya tahu beliau tinggal di Indera Mahkota, tapi itu tidak jadi masalah,” kata Saifuddin kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam PRU13, Nasrudin, ketika menjadi Ketua Pemuda Pas, mengalahkan Saifuddin, seorang tokoh politik progresif minoriti dalam Umno, di kerusi Parlimen Temerloh dengan majoriti 1,070.

Nasrudin memperoleh 28,267 undi dan Saifuddin 27,197 undi.

Pada 2013 itu, Nasrudin bertanding atas tiket Pas, tetapi bawah Pakatan Rakyat.

Masa itu terdapat 42 pusat mengundi di Temerloh, 35 daripadanya mempunyai ramai pengundi Melayu, satu majmuk dan enam predominan Cina.

Saifuddin, ketika itu Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, menang di semua 35 pusat kelebihan Melayu, 50/50 di pusat kaum majmuk dan kalah teruk di semua enam daerah undi Cina.

Selepas kekalahannya, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global.

Pada Oktober 2015, beliau tinggalkan Umno dan menyertai PKR.

Saifuddin kalah kerana pengundi Cina mahu perubahan masa itu.

“Mereka yang tinggal di Temerloh kenal saya. Sebab itu dari sebelum pilihan raya lagi saya sudah banyak terima maklumat daripada orang Cina dan bukan Cina yang menyatakan maaf Din, kami suka kamu tapi kamu tak boleh undi untuk kamu kali ini. Mereka tidak undi saya sebab saya daripada Umno. Mereka undi Pas,” kata dalam suatu temu ramah ketika itu.

Mengenai kekalahannya itu, Saifuddin berkata, ketika itu terdapat ramai calon menetap di sesuatu kawasan, tapi kalah di tangan mereka yang datang dari luar.

Masa itu, pengundi melihat kualiti calon, kelayakan, pengalaman inklusif, mampu bekerjasama dengan penduduk pelbagai kaum dan bersifat sederhana.

Saifuddin mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Abu Bakar Mentakab (1968-73), Kolej Melayu Kuala Kangsar (1974-80), sarjana muda (kepujian) dari Universiti Malaya (1984), diploma Terjemahan dari Persatuan Penterjemah Malaysia/Dewan Bahasa dan Pustaka (1985) dan mengikuti Kursus Eksekutif di Harvard Business School (1995).

Sebelum menceburi politik, beliau menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia, Ahli Panel Tertinggi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Tentang Pekerjaan Belia, Konsultan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik (Escap) dan aktivis mahasiswa. Beliau pernah menjadi ahli perniagaan, pentadbir universiti, editor dan guru, antara lain.

Beliau menerbitkan enam buah buku dan menjadi kolumnis dengan akhbar Sinar Harian, The Edge Malaysia dan Sin Chew Daily. Mengenai kawasan dicalonkan pada PRU14, sebagai anak Temerloh, tentulah hatinya ingin bertanding di Temerloh juga.

“Tapi kita bekerja dalam satu pasukan (dalam Pakatan Harapan). Jadi, kita kena ikut keputusan jemaah.

“Dalam hal ini, mereka putuskan Temerloh ditandingi calon Amanah. Saya akur keputusan itu,” tegasnya.

Sebelum ini parti mengarah- kannya membantu di Bentong dan dilantik sebagai penyelaras kawasan Parlimen Indera Mahkota.

“Tidak sangka pula saya akan bertanding sekali lagi dengan Nasrudin, saya bersedia. Sekurang-kurangnya ia beri peluang untuk saya menang kali ini, insya-ALLAH,” katanya.

Tunggu dan lihat keputusannya nanti.