ZAMAN saya muda kira-kita separuh abad yang lalu, rumah sangat murah. Anda boleh beli rumah teres tiga bilik di bandar seperti Klang dengan harga RM17,000 sahaja.

Malah di hampir semua negeri, rumah-rumah sebuah dengan kawasan tanah 4,000 kaki persegi, sebagai contoh, dijual hanya pada harga RM12,500. Di daerah-daerah kecil, harga sebuah rumah separuh papan, separuh batu, hanya RM5,000.

Baru-baru ini saya melawat seorang rakan di kawasan tidak jauh dari Klang. Katanya, pada tahun-tahun 70-an, seekar tanah dijual dengan harga RM1,000 sahaja. Hari ini, tanah yang sama bernilai RM1 juta seekar.

“Bayangkan kalau kita beli 5 ekar masa itu. Kita dah jadi jutawan hari ini,” kata rakan saya.

Kami sama-sama ketawa untuk menyembunyikan kekecewaan. Masa itu ada dua masalah sebenarnya. Pertama, kami terlalu muda untuk fikirkan dan faham perkara begitu dan kedua, mendapatkan RM5,000 untuk membeli tanah hampir-hampir satu keajaiban.

Hari ini, ramai anak muda sudah bergaji besar, dan mampu berfikir jauh, tetapi harga rumah dan tanah pun sudah naik berkali-kali ganda hingga mereka juga turut tidak mampu membelinya.

Menyimpan wang deposit satu masalah, membayar yuran peguam satu masalah, mendapatkan pinjaman satu masalah dan membayar balik hutang satu masalah lagi. Maka, ramailah yang yang tidak mampu membeli rumah atau yang nekad, sanggup mengikat perut dan mengorbankan keperluan lain untuk berusaha membeli rumah mampu milik.

Dalam suasana demikian, kenyataan yang dikeluarkan akhir-akhir ini, tentang penurunan harga rumah berikutan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mendapat perhatian rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng percaya harga rumah patut turun dengan pengecualian cukai perkhidmatan dan  bahan binaan berikutan pelaksanaan semula SST mulai 1 September lalu.

Timbalan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad senada dengan Guan Eng.

“Dari segi teori, kos rumah akan turun dengan adanya SST, tetapi kita kena tunggu dan lihat,” katanya.

Tunggu dan lihat itulah yang terus menjadi dilema kepada pembeli yang mendapati usaha membeli rumah menjadi antara beban yang berat dalam hidup.

Lebih mengurangkan keyakinan pembeli untuk mendapat harga rumah lebih rendah adalah kenyataan-kenyataan beberapa pihak terutama daripada industri pembinaan.

Naib Pengerusi Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting menyifatkan jangkaan Guan Eng tidak berasas. Menurutnya, walaupun bahan pembinaan seperti simen, pasir dan besi dikecualikan dari SST, masih ada pihak yang membeli hartanah semata-mata untuk pelaburan berdasarkan spekulasi. Akibatnya, harga hartanah akan naik juga, bukan turun.

Ketua Pegawai Eksekutif MSN Groups of Companies Masnawi Ariffin turut menjangkakan harga rumah tidak turun walaupun perkhidmatan pembinaan dikecualikan daripada SST. Ini kerana harga rumah ditentukan oleh banyak faktor, termasuk nilai tanah semasa mengikut lokasi dan kos autoriti.

Pemaju, katanya, juga terpaksa menanggung kos melibatkan lebih 40 jenis yuran yang perlu dibayar kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan.

Pengarah@Pengarah Jualan Bandacaya Group, Raja Umar Raja Ali berpendapat, kalaupun turun, ia hanya melibatkan apartmen.

Menurutnya, cukai bukanlah penyebab kenaikan harga rumah, tetapi ketiadaan pemantauan dari segi penilaian bagi setiap kaki persegi tanah dan binaan.

Bekas Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan berpendapat, harga rumah tidak mungkin turun walaupun SST diperkenalkan semula. Mereka yang terlibat dalam industri hartanah dan pembinaan sepakat lebih banyak insentif diperlukan untuk menurunkan harga rumah.

Presiden Persatuan Master Builders Malaysia, Foo Chek Lee berkata, penjimatan kos projek pembinaan hanya boleh ditentukan dengan adanya senarai penuh bahan binaan yang dikecualikan dari SST.

Batu, pasir, besi dan simen yang dikecualikan dari cukai 20 ke 30 peratus daripada seluruh bahan yang diperlukan dalam pembinaan. Katanya, penjimatan daripada bahan tersebut hanya mewakili 1.5 ke 2 peratus daripada jumlah kos. Masalah mengurangkan kos dan menurunkan harga rumah juga ada hubungan dengan harga banyak bahan lain, serta kren.

Isu harga rumah yang tinggi ini bukan sahaja rumit dalam kalangan pihak yang terlibat dalam industri itu, malah menjadi kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat, termasuk orang muda, apa lagi yang berpendapatan sederhana.

Malah, mereka yang bergaji sederhana bukan setakat mendapati susah membeli rumah, tetapi tidak berani membesarkan saiz keluarga. Akibatnya, ramai yang hingga sanggup mengorbankan hasrat untuk mendapatkan anak. Ini sangat menyedihkan.

Anak muda bergaji sederhana mana mampu membeli rumah yang berharga hampir setengah juta ringgit di pinggir bandar dengan kadar bayaran balik lebih daripada RM2,000 sebulan selama 25 tahun atau lebih?

Akhirnya, rumah yang dibina tidak menjadi rumah mampu milik tetapi rumah mampu lihat sahaja.

Keadaan ini berlaku hari ini.  Fikirkanlah bagaimana keadaan lima atau 10 tahun akan datang.

Berhadapan dengan senario ini, kerajaan hari ini perlulah bersungguh-sungguh mencari jalan menurunkan harga rumah bagi mengisi keperluan rakyat yang meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan yang telah mereka beri mandat.

Sekadar merayu pihak pemaju berusaha mengurangkan harga rumah tanpa disokong dengan tindakan lebih berkesan, adalah dikhuatiri hasrat menurunkan harga rumah akan terus tinggal seperti mimpi.