SAYA tidak suka naik kapal terbang selagi boleh dielakkan bukan kerana gayat atau tambang mahal, tetapi kerana pada saya, kalau setakat balik ke Pulau Pinang, masa yang diambil lebih kurang sahaja.

Dari rumah ke lapangan terbang ambil masa 45 minit, beratur di kaunter, tunggu giliran, masuk duduk dalam pesawat sebelum ia berlepas makan masa sejam lagi.

Akhirnya apabila anda tiba di rumah di Pulau Pinang, masanya sudah hampir empat jam.

Ia sama sahaja kalau anda pandu kereta sendiri atau naik bas.

Sebab itu saya suka pilih naik bas ekspres sahaja; murah, cepat dan mudah.

Cuma yang membuat saya selalu fikir dua kali apabila mahu naik bas adalah risiko yang perlu dihadapi, iaitu - kalau anda tidak bernasib baik - kelajuan yang melampau yang hampir mengalahkan kelajuan roller coaster atau perjalanan yang tidak mengikut jadual.

Tetapi dua minggu lalu, ketika balik dari Pulau Pinang ke Shah Alam, saya memberanikan diri naik bas ekspres dua tingkat.

Yang menarik dan menyeronokkan, bukan sahaja duduk di depan di tingkat atas dan dapat menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang perjalanan hampir 400 kilometer, malah rasa selesa dan selamat.

Apabila tiba di terminal Shah Alam, pemandu muda bas itu tersenyum panjang apabila saya ucapkan tahniah dan terima kasih kerana memandu bas dengan cermat sepanjang perjalanan itu.

Selamatlah penumpang sekiranya semua syarikat perkhidmatan bas mempunyai pemandu yang bersopan dan cermat seperti itu. Kalau demikianlah sikap semua pemandu bas, besarlah untung syarikat dan tentunya pekerja, apa lagi pemandu bas, mendapat kenaikan gaji berterusan.

Apakah semua pekerja syarikat bas dan lain-lain perkhidmatan mengambil peluang untuk berfikir dan bertindak demikian? Wallahuaklam!

Maaf cakaplah. Masalahnya dalam apa sahaja bidang perkhidmatan, ramai kakitangan melakukan yang terbaik untuk syarikat, masyarakat dan diri sendiri, tetapi ada yang merugikan semua pihak berkaitan kerana memilih untuk meletak otak di lutut.

Untuk mereka yang tidak bertimbang rasa ini, tindakan tegas dan berkesan perlu diambil supaya keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya tidak terjejas.

Semua pihak berkaitan, lebih-lebih lagi pihak berkuasa dan badan-badan bukan kerajaan, perlu sentiasa dedahkan segala kelemahan dan cadangkan penambahbaikan supaya semua syarikat bas menitik beratkan keselamatan semua pihak.

Setakat ini, kita lihat setiap kali berlaku kemalangan serius yang meragut banyak nyawa, barulah pihak berkaitan kelam-kabut menubuhkan jawatankuasa siasatan dan menteri mengeluarkan kenyataan serta amaran.

Tetapi selepas beberapa hari sahaja, tragedi itu dilupakan hinggalah berlaku lagi kemalangan.

Kita sudah banyak mendengar dan membaca, bahkan mengalami keadaan bahaya sebagai penumpang bas, biasanya disebabkan sikap pemandu yang cuai dan cemerkap.

Banyak sudah cerita kita dengar melalui cerita penumpang dan keterangan di mahkamah, tentang pemandu yang pandu laju dan bahaya, yang memandu dalam keadaan mengantuk, letih dan yang lebih menakutkan, yang memandu di bawah pengaruh dadah.

Kita sudah baca tentang betapa ramainya pemandu yang sudah dikenakan banyak saman tetapi masih memandu untuk syarikat-syarikat bas. Apakah syarikat pejam mata dan pihak berkuasa tidak dapat mengesan pemandu-pemandu begini?

Kita tidak boleh memandang ringan kes-kes yang membahayakan ini kerana sudah terlalu banyak nyawa hilang akibat sikap buruk segelintir pemandu pelesit ini.

Bukan susah sangat berusaha menentukan pemandu bas mengikut peraturan dan tidak memandu seperti roller coaster.

Antara tindakan yang perlu dikuatkuasakan segera adalah memasang sistem had kelajuan di setiap bas ekspres dan memeriksa setiap pemandu di terminal bas sekerap mungkin.

Nombor telefon khas perlu dipamerkan dengan jelas di dalam setiap bas supaya penumpang boleh melaporkan segera jika pemandu dilihat memandu laju, membahayakan atau dalam keadaan mencurigakan.

Wahai kerajaan, menteri dan syarikat perkhidmatan bas; tolonglah lakukan peraturan-peraturan mudah yang sudah banyak kali dicadangkan ini untuk kepentingan semua pihak berkaitan.

Cukuplah beribu-ribu rakyat kita kehilangan ibu, bapa, anak, cucu, orang-orang yang disayangi serta tempat-tempat bergantung cuma disebabkan sikap pemandu-pemandu yang cuai, yang tidak hirau tentang keselamatan orang.

Perlukah kita ulangi bahawa Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di dunia untuk mengingatkan semua pihak berkaitan supaya bertindak segera dan secara berkesan? Cukuplah!