CEPATNYA masa berlalu. Belum puas berada dalam 2017, kita sudah pun di ambang tahun baharu.

Tentunya sudah ada yang mula senaraikan resolusi yang hendak dipenuhi sepanjang tahun 2018; ingin tingkatkan amalan baik, tunai haji dan umrah, melancong, dapatkan kerja lebih baik, buang tabiat merokok, berjimat, beli kereta baharu dan mendirikan rumah tangga.

Sesetengah daripada kita mungkin berazam meluangkan lebih masa berkualiti bukan di warung-warung kopi tetapi dengan keluarga, atau bertaubat nasuha, sambil berjanji pada diri sendiri untuk tidak lagi tinggal walaupun satu solat wajib.

Saya tahu ramai dalam kalangan kita sudah malas buat resolusi kerana azam yang ditanam tahun-tahun lalu pun belum dipenuhi.

Yang jelas, tahun 2018 adalah tahun PRU14. Banyak sudah ramalan. Ada ramal Mac depan, ada kata Jun, tetapi suka atau tidak, PRU wajib diadakan paling lewat Ogos depan.

Kalau PRU13 dahulu dikatakan yang paling sengit sejak 1959, saya tak tahulah apa perkataan yang boleh saya guna untuk menggambarkan suasana PRU14 ini.

Saya tidak berani layan imaginasi untuk cuba membayangkan bentuk kempen yang akan berlaku dalam proses PRU yang bakal kita hadapi kali ini.

Apakah ia akan berjalan dengan penuh kesopanan, tanpa sebarang taktik kotor atau penuh dengan tipu helah atau penyelewengan dan salah guna oleh mana-mana pihak? Wallahuaklam! Kita tunggu, lihat dan doakan yang terbaik.

Tetapi kita tidak boleh tolak kesimpulan bahawa setiap yang terlibat dalam pilihan raya mahu menang, bukan sekadar bertungkus-lumus mempertahankan kedudukan dan kuasa sedia ada, bahkan berusaha meluaskan kawasan penaklukan bagi menambahkan kekuatan dan kuasa.

Mereka yang sudah memenangi tempat baharu juga akan terus berhempas-pulas untuk merampas kawasan-kawasan baharu daripada pihak lawan.

Pelik tetapi menarik, di Malaysia, 'kempen' pilihan raya berjalan sepanjang masa tanpa henti. Ia bermula dari sebaik sahaja tamat sesuatu pilihan raya hinggalah muncul pula tarikh pilihan raya baharu empat lima tahun kemudian.

Jadi hairan apa kalau bertambah dekatnya pilihan raya umum, bertambah banyak lagilah torpedo dan peluru yang sudah lama disimpan dilancarkan bagi meruntuhkan tembok pertahanan musuh masing-masing.

Cuma, seperti selalu, marilah pembaca budiman bersama saya untuk terus berdoa agar imej negara yang kita cintai ini tidak dicemari oleh perkara-perkara yang tidak patut berlaku. Ingatlah, seluruh dunia akan menumpukan perhatian terhadap pergerakan dan tindak-tanduk kita.

Balik kepada resolusi. Saya percaya sementara ramai berusaha menyenaraikan resolusi-resolusi yang hendak dipenuhi pada tahun baharu, tidak kurang pula dalam kalangan kita yang tidak peduli untuk membuat resolusi kerana tidak percaya kepada impak resolusi.

Mereka tidak menjadikan resolusi sebagai satu daripada rukun dalam hidup untuk mencapai apa yang dikehendaki. Bagi mereka jika anda mahu berubah, berubahlah sekarang.

Mahu berhenti jadi perokok tegar? Hendak tinggalkan penya-lahgunaan dadah? Hendak buat amal makruf nahi mungkar? Bercita-cita menjadi pemimpin yang boleh diteladani? Mahu menjadi ahli politik yang bersih?

Apakah ada yang menanam azam tidak mahu terlibat dengan rasuah dan penyelewengan? Tidak mahu pandu macam pelesit lagi? Mahu berhenti buat fitnah, men-carut, sombong atau ego? Gelojoh dengan harta dunia hingga sanggup selewengkan wang dan harta orang?

Kepada mereka yang tidak mahu membuat resolusi pun, semua ini mesti lakukan, bukan tahun depan, bukan selepas pilihan raya, tetapi SEKARANG!.

Perubahan tiada kaitan dengan tahun; ia berkaitan dengan tindakan kita.

Tahun serupa sahaja; hanya nombor. Yang wajib berubah dari tahap yang buruk kepada yang baik dan yang baik kepada tahap yang lebih baik adalah kita, bukan tahun.

Mereka yang berpegang kepada prinsip ‘perubahan adalah anda, bukan tahun atau masa’, tidak mahu menyenaraikan resolusi.

Setengah berpendapat, resolusi adalah untuk mereka yang tidak memiliki diri sendiri, tetapi dimiliki dan dipengaruhi oleh masa.

Ia sama seperti minta maaf dan bertaubat. Kalau kita buat salah, jangan malu minta maaf segera; kalau buat dosa, jangan bertangguh untuk bertaubat segera. Janganlah hingga nyawa dekat tercabut baru mahu bertaubat?

Sabda Nabi SAW, yang ber-maksud: “Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam benih itu dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa kamu menanam benih kurma tersebut.” (Hadis riwayat Ahmad).

Selamat menyambut tahun baharu. Moga kita dan negara kita dipelihara ALLAH.