PEMERGIAN Haji Ishak Nengah kelmarin dan Datuk Mahadzir Lokman lepas Subuh Jumaat lalu benar-benar meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya.

Kedua-dua Allahyarham sahabat lama saya, akrab sejak mula berkenalan puluhan tahun lalu.

Mereka antara segelintir wartawan, penyampai berita, penyiar dan pengacara yang memukau. 

Seingat saya, dari hari pertama saya jumpa Ishak (1973) dan Mahadzir (1984) kami tidak pernah bermasam muka; selalu bergurau dan bertukar fikiran, tiada pernah mengata pada sesiapa.

Jika ada ruang untuk saya berkecil hati pun, barangkali, hanyalah kerana saya tidak pernah berada di bawah limelight seperti apa yang mereka nikmati terus-menerus.

Buat saya, selama 46 tahun, saya hanya tahu menulis dan menulis.

Hari pertama saya lapor diri di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar, 17 Julai 1973. Ishak sudah setahun setengah berkhidmat dengan the New Straits Times. Kami macam ada kimia; kalau buka cerita, pakai setuju belaka dan ketawa memanjang.

Hari kedua, arwah Ishaklah pemandu saya ke assignment pertama saya.

Kemudian saya ekori wartawan kanan, Lim Thow Boon dan Unnikrishnan pula.

Apa garis panduan Ishak kepada saya ketika assignment pertama itu saya sudah lupa.

Yang saya ingat, Ishak beritahu saya: “Hang tulislah apa yang depa cakap,” dalam loghat utara untuk sesuaikan diri dengan saya, orang Pulau Pinang.

Seperti Ishak yang saya kenal, beliau tutup mulut dengan reaksi saya, barangkali kerana tidak mahu saya sedar beliau ketawakan saya yang nampak bingung dan keliru.

Masa yang saya lihat Ishak serius adalah - macam saya juga - apabila bersemuka dengan Allahyarham Pak Samad (Tan Sri Abdul Samad Ismail).

Maaf, tidak cukup ruang di sini untuk saya menceritakan lebih banyak mengenai Pak Samad, tokoh wartawan dan sasterawan negara yang hebat itu.

Moga Allahyarham sentiasa diberkati ALLAH.

Sejak keluar dari Jalan Riong pada 1975 untuk bertugas di hampir semua negeri dalam tempoh 18 tahun, lebih-lebih lagi selepas berumah tangga, saya hanya jumpa Ishak apabila singgah di Balai Berita.

Dengan Mahadzir, saya jumpa di majlis-majlis media.

Mahadzir jadi pengacara di majlis-majlis besar, Ishak juga bergerak dalam lingkaran yang serupa.

Aishah Ali, isteri Ishak, juga rakan di Jalan Riong; adalah seorang, yang pada saya, lebih banyak suka mendengar dan berfikir daripada bercakap; ciri-ciri yang penting dan tepat untuk menjadi wartawan yang baik.

Sejak meninggalkan NST pada 2004, saya dan Ishak bertembung beberapa kali, biasanya di majlis media dan kenduri kahwin.

Lebih kurang 7 tahun lalu, beliau muncul di pejabat Sinar Harian di Shah Alam.

Banyaklah cerita silam dalam dunia kewartawanan dan media yang tersingkap, termasuk kisah di Jalan Riong dan ketika beliau jadi penyiar dengan BBC di London selama kira-kira 3 tahun.

Saya terharu, dalam keadaan tidak begitu sihat ketika itu pun, beliau sempat meluahkan kesediaan untuk berkongsi pengalamannya melalui penulisan.

Saya tahu penguasaan bahasa Melayunya tidak kurang hebat daripada bahasa Inggeris, tetapi beliau perlu banyak berehat.

Beliau juga sangat mengambil berat hal keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan.

Ikuti Facebooknya sudah cukup untuk anda fahami jiwanya.

Saya dengar, walaupun kurang sihat pun beliau tetap balik ke Bota Kanan, Perak untuk menziarahi ayahnya, yang kini berumur 92 tahun.

Kelmarin saya jumpa ayah beliau selepas kami solat jenazah di Masjid Darul Ehsan SS15 Subang Jaya, sebelum pengebumian di USJ 22.

Saya turut menyebuk, bergambar dengan beliau dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, saudara-mara dan rakan-rakan.

Muhamad Fuzi lahir di Parit, Perak dan ada talian persaudaraan dengan keluarga beliau.

Ada secebis kata-kata Ishak yang saya jadikan pegangan hidup.

Katanya: “Sekali bersahabat, kita terus bersahabat sampai ke akhir hayat”.

Selepas menunaikan solat jenazah bersama jemaah yang memenuhi ruang utama masjid kelmarin, saya terfikir, orang-orang baik seperti Ishak, Mahadzir dan ramai lagi, sudah pun pergi, membawa bersama mereka entah berapa banyak ganjaran hasil ibadah mereka kepada ALLAH dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

Hanya ALLAH yang tahu dan moga ALLAH juga yang mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin!

Kini Ishak, 64, dan Mahadzir, 61, sudah mendahului saya bertemu Yang Maha Esa, membawa bersama segala bekalan amalan baik, ganjaran hasil segala amal jariah semasa hidup, di samping meninggalkan insan-insan yang disayangi dan menyayangi yang akan terus mendoakan untuk mereka.

Bila pula giliran saya? Dan apabila sampai saat saya dipanggil, apakah bekalan yang ada yang mampu saya bentangkan di hadapan ALLAH nanti?

Hati saya bergetar. Tiada penafian lagi, kematian itu satu kepastian.

Teringat saya hadis: “Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara; sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati”. Wallahuaklam!