PEJABAT DM Analytics, sebuah syarikat bertanggungjawab mengkaji realiti kesan dasar ekonomi pada golongan peringkat bawahan, mengisi satu ruang kecil sahaja di sebuah bangunan di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Namun, setiap penyelidikan yang dijalankannya sangat besar untuk diketepikan oleh semua pihak berkaitan, apa lagi kerajaan.

Penyelidikan-penyelidikan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik yang diterajui oleh Ketua Pengarahnya, Dr Muhammed Abdul Khalid, seorang pakar ekonomi, menyelami masalah yang mencengkam kehidupan masyarakat, termasuk hidup rakyat marhaen di seluruh negara.

Semua kajian disimpulkan dalam tiga isu besar yang menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi di negara ini sejak beberapa tahun.

Yang pertama, diskriminasi kaum terhadap graduan Melayu dalam mendapatkan pekerjaan, kadar gaji serta layanan di tempat kerja hingga menyukarkan mereka mengumpulkan aset.

Kedua, perbezaan jurang di antara harta warisan atau harta pusaka cukup berbeza di antara bangsa ke bangsa di Malaysia.

Kajian tersebut membuktikan segelintir ibu bapa kaum Cina mempunyai keupayaan meninggalkan aset jauh lebih besar nilainya, berbanding kemampuan ibu bapa kaum lain.

Yang ketiga adalah kegagalan pihak pemegang amanah berbangsa Melayu, yang tidak mengendahkan status sosioekonomi bangsa Melayu baik dari segi politik mahu pun pengurusan kerajaan.

Menurut kajian Muhammed, pemimpin-pemimpin politik Melayu terlalu cenderung menghabiskan masa mereka berpolitik, berbanding usaha membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi orang Melayu.

Ketika saya ke pejabat beliau baru-baru ini, syarikatnya sedang  menyusun pembentangan maklumat komprehensif mengenai kanak-kanak yang tinggal di rumah kos rendah di Kuala Lumpur yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dari segi pemakanan, pendidikan, keselamatan dan juga keadaan hidup.

Ia hasil kajian yang dijalankan dari 28 Ogos hingga 30 September 2017, meliputi 17 flat kos rendah di Kuala Lumpur dan Selangor, dengan 996 isi rumah dan 2,142 kanak-kanak sebagai responden.

Kajian itu dijalankan bersama Unicef untuk mengukur kesan campur tangan kerajaan dalam menangani masalah kemiskinan kanak-kanak melalui pendidikan, makanan, kesihatan dan kebajikan.

Dalam kajian itu, 50 peratus isi rumah kos rendah didapati memperoleh pendapatan RM2,500 sebulan.

Akibat makanan yang mahal, mereka tidak mampu menyediakan makanan yang sihat.

Sebanyak 52 peratus tidak ada wang yang cukup untuk beli makanan untuk beberapa bulan kebelakangan dan yang turut menyedihkan, 12 peratus daripada kanak-kanak di situ makan kurang daripada tiga kali sehari.

Susulan kajian itu, Muhammed meminta kerajaan mengkaji semula penunjuk kemiskinan kerana cara dilakukan sekarang “tidak akan mengesan kemiskinan dengan tepat”.

“Kanak-kanak di bandar-bandar adalah kumpulan yang dipinggirkan,” katanya pada wakil media.

Dari segi pendidikan, sebanyak 51 peratus kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun tidak menghadiri prasekolah, manakala 2 peratus antara 7 dan 17 tahun tidak pernah berdaftar memasuki sekolah.

“Ibu bapa berkata mereka tiada sumber kewangan mencukupi untuk hantar anak-anak ke sekolah,” katanya.

Kajian itu juga mendapati disebabkan tiada ruang yang sesuai, 81 peratus kanak-kanak belajar di ruang tamu dalam keadaan tidak selesa, sementara 15 peratus tiada ruang langsung untuk belajar.

Kajian itu juga mendapati ramai daripada penghuni flat rasa tidak selamat, terutama di waktu malam.

Muhammed berkata kemiskinan kanak-kanak sering diabaikan di bandar metropolitan, terutama yang tinggal di flat kos rendah.

Kesimpulannya, masalah besar ini memerlukan polisi ukuran tertentu pihak berkuasa atau Malaysia akan menghadapi masalah pada 2050 kerana anak-anak yang miskin ini akan membesar dan jadi generasi dewasa yang miskin.

“Kalau tidak dibetulkan sekarang, masalah ini akan menghantui kita 30 tahun akan datang,” katanya.