RAMAI rakyat akan jadi pengemis apabila kerajaan bertindak menamatkan perkhidmatan 1,700 lantikan politik nanti.

Demikian luahan seorang dua pengkritik secara sinis ketika merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai langkah kerajaan untuk mengelak pembaziran dan mengurangkan perbelanjaan negara, apa lagi dalam keadaan negara menanggung hutang pada kadar yang sangat menakutkan.

Anggapan bahawa semua 17,000 lantikan politik akan dibuang jelas tersasar kerana pembuangan itu bukan melibatkan keseluruhannya.

Kerajaan sudah menjelaskan mereka akan kaji dahulu untuk menentukan yang mana santan dan yang mana hampas.

Dengan lain perkataan, mereka yang akan dibuang adalah yang jelas menjadi melukut di tepi gantang.

Tentunya tidak adil kalau semua 17,000 lantikan politik ditamatkan perkhidmatan tanpa usul periksa.

Pada 2005, saya diambil berkhidmat secara kontrak sebagai ketua penolong setiausaha untuk menguruskan sekretariat akhbar.

Jawatan itu diwujudkan pertama kali oleh menteri besar dan diletakkan di bawah setiausaha kerajaan negeri. Sebuah perbadanan dipilih menjadi pembayar gaji saya.

Selama 3 1/2 tahun dengan sekretariat itu saya dibantu tujuh  kakitangan untuk menjalankan tugas, termasuk menghasil dan mengedarkan buletin setiap dua minggu.

Sebelum itu, kerajaan membayar lebih kurang RM17,000 kepada penerbit luar bagi setiap keluaran buletin. Tetapi kerana saya dan seorang dua lagi di sekretariat itu boleh menghasilkan laporan dan rencana sendiri, kami mengambil alih kerja mengeluarkan buletin yang diberikan kepada syarikat penerbitan sejak empat atau lima tahun lalu.

Tindakan itu membuatkan sekretariat kami dapat memotong kos kepada RM8,000 sahaja.

Kalau kami dapat menjimatkan RM18,000 setiap bulan, setahun kami sudah boleh jimatkan RM216,000.

Kalau sebuah sekretariat, unit atau jabatan boleh elak pembaziran dan jimat perbelanjaan bayangkan berapa juta ringgit yang boleh diselamatkan.

Tetapi masalahnya, banyak jabatan, unit atau agensi melakukan tugas ikut tradisi yang diperkenalkan bertahun-tahun lamanya.

Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana tempat mereka ditugaskan itu bukan berkonsep ‘profit making’ (membuat untung).

Selagi tugas yang dilaksanakan mengikut arahan dan peraturan serta mencapai matlamat asas, prestasi pegawai dan kakitangan tidak dipersoalkan.

Saya percaya kedudukan untung rugi tentunya diambil kira oleh kerajaan dalam menangani isu 17,000 lantikan politik ini.

Maknanya mereka yang produktif dan mendatangkan keuntungan kepada jabatan, unit atau agensi wajar dikekalkan.

Tetapi mereka yang sah tiada hala tuju dan tidak tentu hujung pangkal dalam menjalankan tugas, yang sekadar jual muka di mana bos mereka berada, lebih baiklah diberhentikan.

Kalau diteruskan juga, ia sepertilah menanggung biawak hidup; tiada apa yang menguntungkan, bahkan membebankan.

Bayangkan kalau ada ramai lantikan politik di sebuah kementerian yang menjadi penumpang sahaja!

Mereka mendapat gaji, di samping tuntutan elaun perjalanan, elaun penginapan dan lain-lain elaun setiap kali mengikut menteri atau ketua jabatan hanya untuk mempamerkan muka sahaja, sedangkan kehadiran mereka tidak membantu langsung, sebaliknya menambah perbelanjaan kerajaan.

Mereka yang tiada apa-apa peranan berkesan beginilah saya kira patut sahaja dihentikan perkhidmatan.

Tetapi bagi lantikan politik yang jelas mempunyai tugas seperti pemandu, juruacara atau pengurus majlis, tiadalah adil dibuang, walaupun mereka diambil bekerja di bawah kerajaan lalu yang mengamalkan konsep perjuangan berbeza.

Mereka tidak terikat dengan ideologi dan konsep perjuangan sesuatu parti, tetapi bekerja untuk mencari nafkah.

Daripada membuang lantikan politik yang jelas berperanan dan berkesan dalam menjalankan tugas masing-masing, mungkin ada baiknya kerajaan menumpukan kepada potongan elaun terhadap penjawat awam kanan.

Mereka mempunyai pelbagai elaun termasuk elaun keraian, elaun luar negara dan elaun kenderaan dan elaun penginapan. Sekiranya wajar, elaun-elaun ini boleh dikurangkan.

Kenaikan gaji dalam kalangan penjawat awam juga perlu berdasarkan merit, bukan sekadar tempoh perkhidmatan. Gaji yang dinaikkan berdasarkan tempoh perkhidmatan sahaja tanpa mengambil kira merit dan komitmen hanya akan menyuburkan sikap ‘tidak apa’.

Kerajaan baharu sudah pun mengumumkan potongan 10 peratus gaji menteri. Ia adalah tindakan yang memberi makna kepada matlamat mengurangkan perbelanjaan walaupun ia tidak memberi kesan kepada menteri.

Bagi mereka yang mendapat berpuluh-puluh ribu daripada gaji dan elaun setiap bulan, apalah kesan kepada potongan 10 peratus!

Tetapi daripada tiada langsung, jadilah potongan sebanyak itu pun.