PAGI-PAGI lagi saya sudah terima WhatsApp mengenai seorang wanita yang mempamerkan keberanian luar biasa demi menegakkan hak dan nilai murni.

Saya harap saya dapat mengesan dan bertemu wanita itu (yang saya ingin namakan Aisyah) pada masa terdekat untuk belanja dia makan dan bertemu ramah mengenai tindakan terpujinya itu.

Buat sementara, terimalah tabik hormat daripada saya, wahai Aishah.

Saya berdoa dan berharap agar keberanian dan ketegasan yang ditunjukkan oleh wanita-wanita seperti anda menjadi teladan kepada orang lain dan diambil sebagai pengajaran oleh sesiapa sahaja yang tidak beradab, apa lagi yang cuba membuli orang lain.

Tulisan Aishah yang sudah menjadi viral itu agak cacamarba mungkin kerana dinukilkan dalam keadaan marah dan fikiran berserabut, tetapi cukup untuk saya faham jalan cerita dan matlamatnya serta menghargai pengorbanannya.

Secara ringkas, beginilah lebih kurang ceritanya. Aishah naik koc Keretapi Tanah Melayu khas untuk perempuan baru-baru ini dari Shah Alam untuk balik ke Rawang.

Seperti selalunya pada waktu kemuncak, koc itu, seperti yang lain, sendat dengan penumpang.

Peliknya, banyak dari tempat duduk dalam koc itu dipenuhi lelaki, sementara ramai perempuan, yang sepatutnya mewarisi seratus peratus koc itu, terpaksa berdiri.

Logiknya, kalau ia berlaku dalam satu koc, ia tentunya berlaku juga dalam koc-koc lain dan pada masa-masa lain.

Maka, pihak berkenaan nampaknya kenalah jawab macam mana lelaki boleh dibiarkan masuk ke koc perempuan sewenang-wenangnya dan ambil tindakan wajar supaya masalah begini tidak berterusan.

Menurut Aishah, dia mula panas hati apabila melihat seorang ibu muda yang mendukung bayi, turut terpaksa berdiri.

“Akak ni nak breastfeed baby tapi jejantan sekalian ni bukan main lagi dok tengok. Terkial-kial akak tu nak handle dengan anak meragam dan lelaki jadi audience.”

Dipendekkan cerita, Aishah pun mula ‘belasah’ kumpulan lelaki yang semakin ramai bersesak di dalam koc khas untuk perempuan itu.

“Dah ada tulis kat atas tu. Tak reti baca ke atau buta? Sini tempat perempuan lah. Awak perempuan ke?” Aishah menyergah.

Di  penghujung cerita, berkat ke tegasan Aishah, kumpulan lelaki  itu akhirnya pindah ke koc lelaki, walaupun beberapa orang mengomel dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Yang lelaki satu hal, tetapi yang ramai perempuan ada dalam koc itu pun satu hal lain pula.

Semuanya diam dan memandang Aishah, tanpa ada seorang pun perempuan bangun untuk menyokong Aishah yang berusaha pertahankan hak mereka bersama.

“Sebab korang diamlah diorang makin berani. Sikap ignorant koranglah makin membiak dan membesarkan sikap ignorant lelaki ni.

Jadi, apa gunanya ladies coach kalau korang sama tak pertahankan?” Aishah menyemburkan kata-kata pedas dalam coretannya.

Apabila tiba di KL, kata Aishah, bertambah ramai lagi lelaki yang ‘buat bangang’, selamba sahaja masuk ke koc perempuan.

Tetapi di situ ada seorang pakcik, Rashid namanya. Rashid, yang mengalami masalah penglihatan sebelah mata, bertindak menghalau lelaki-lelaki dari koc perempuan.

To you pakcik, Thank you hero,” ucap Aishah, merakamkan penghargaan terhadap pengorbanan pakcik Rashid.

Tapi saya juga ingin mengambil kesempatan dalam kolum ini bagi mengucapkan “Thank you Aishah. Apa kurang dengan anda. You yourself are a heroine!”.

Selaras dengan kisah di atas, di bawah ini saya muatkan satu lagi cerita yang disampaikan oleh seorang sahabat yang tinggal di KL.

Pagi semalam dia hadir majlis tazkirah di masjid. Ditakdirkan, ustaz di situ juga menyentuh isu adab terhadap wanita dan orang lebih tua.

Kata ustaz itu, beliau banyak naik bas, LRT dan MRT. Jadi, tidaklah hairan beliau banyak berpeluang meneliti adab penumpang pengangkutan awam, terutama dalam kalangan orang muda.

Banyaklah kisah yang boleh menjadi teladan dan yang boleh dijadikan sempadan hasil daripada penelitian ustaz itu.

Ada tempat, seperti di Bangkok, Thailand, umpamanya, kalau ada lelaki yang tidak bersedia memberi tempat duduk kepada perempuan atau orang tua, penumpang-penumpang lain akan tenung lelaki itu sehinggalah dia rasa bersalah.

Barangkali kita boleh eksperimen amalan sebegitu dalam pengangkutan awam di negara kita.

Mana tahu, mungkin itu cara yang terbaik dan berkesan untuk mengajar segelintir orang kita yang kurang adab sopan dan nilai murni dalam diri mereka.

Tetapi bagi mereka yang berkulit tebal, buatlah macam mana sekali pun, mereka sanggup terus pamerkan muka sadin dan toya.

Saya sendiri, yang jarang-jarang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, boleh lihat kelakuan segelintir pemandu bas dan penumpang kita, setiap kali menaiki bas atau tren, tetapi kerana kekangan ruang, saya mohon menceritakannya kepada pembaca-pembaca budiman pada masa yang sesuai nanti. Insya-ALLAH.