SETIAP minggu saya akan pulang ke Pulau Pinang. Saya akan menaiki bas pada hari Jumaat jam 8 malam dan akan tiba pada jam 1 pagi. Hari Ahad pula saya akan mengambil bas jam 12 malam dan akan tiba di Kuala Lumpur pada 4 pagi. Begitulah rutin mingguan semenjak ditukarkan ke ibu kota.
  

Untuk ke Kuala Lumpur, tiket tidak menjadi masalah bagi saya. Biasanya ada sahaja tiket bila perlu. Cuma apabila hendak membeli tiket ke Pulau Pinang. Memandangkan saya lebih suka naik di KL Sentral ataupun Stesen KTM Kuala Lumpur berbanding di Tasik Bandar Selatan (TBS) yang agak sesak maka tiket agak terhad. 
    

Saya juga membeli tiket melalui atas talian. Mudah untuk memilih waktu dan juga tempat duduk yang menjadi pilihan. Apabila pihak syarikat bas lambat menyenaraikan waktu perjalanan bas dalam talian, maka saya perlu ke KL Sentral atau stesen KTM untuk membeli tiket di kaunter.

Kadang-kadang saya menghantar mesej kepada Zul yang merupakan seorang kakitangan syarikat bas yang menjaga kaunter. Cuma Zul ini agak susah membalasnya semula. Saya pernah bertanya dia ketika sampai di kaunter,
 

“Zul, kenapa tak jawab mesej aku?
    

“Sibuk, ramai pelanggan,” kata Zul tanpa memandang saya kerana sedang sibuk melayani YouTube.
   

Pada hari Jumaat selepas kerja, seperti biasa saya akan terus ke stesen KTM. Saya akan turun di Stesen LRT Pasar Seni kemudian berjalan kaki melalui jejantas yang menghubungkan dengan Masjid Negara, Dayabumi dan Stesen KTM Kuala Lumpur.

Bila sampai awal, saya akan singgah di kaunter bas dahulu untuk menyapa Zul. Baru-baru ini katanya dia cuti.
   

“Aku buat pembedahan di tepi telinga. Macam ada biji," kata Zul.
    

“Oh biji apa tu?’’
    

“Entah. Aku suruh doktor buang saja. Sekarang luka lambat baik pula."


“Doktor cakap apa?’’
     

“Rupanya aku ada kencing manis.’’
    

“Oh!’’

   

Selesai menyapa Zul saya akan ke kedai mamak di sebelah stesen KTM itu. Mereka pun sudah mengenali saya. Belum sempat saya buka mulut, penjaga kaunter itu sudah menjerit,
   

“Nescafe tarik satu!’’ 
    

Bas pula akan bergerak pada jam 7.40 malam. Agak kelam-kabut sikit untuk bersolat Maghrib tetapi sempat. Lagipun di kaunter bas ini sangat selesa. Ada kerusi empuk, meja membaca, magi dan juga surau untuk bersolat. Kalau di TBS perlu berebut pula ketika hendak bersolat.


Namun begitu, ada juga satu perkara yang saya agak tidak berkenan. Bas yang saya naiki ini akan mengambil dahulu penumpang di Putrajaya, Puchong dan kemudian ke stesen KTM ini.
     

Ketika saya naik untuk ke tempat duduk, ada sahaja yang telah mengambil tempat saya. Saya pernah cuba menegurnya memberi tahu ini tempat duduk saya sambil menunjukkan nombor kerusi. Dia kata boleh duduk di mana-mana saja. 
   

Kadang-kadang ada juga ketika saya naik orang yang duduk di tempat saya itu sudah tidur. Saya pun tidak tahu sama ada memang dia betul-betul tidur atau buat-buat tidur. Saya terfikir juga masakan 7.40 malam sudah tidur. Saya mencuitnya, tetapi tidak pula dia sedar. Terpaksa pula saya cari tempat duduk lain.
   

Pernah juga seorang perempuan tua duduk di tempat saya. Dia tidak tidur, tetapi memandang ke luar tingkap. Entah apa yang dilihatnya. Saya beritahu kerusi ini tempat duduk saya. Tetapi dia buat tidak tahu saja. Tidak memandang, tidak bersuara dan asyik memandang keluar.
    

Sekali lagi saya terpaksa cari tempat duduk yang lain. Saya tertanya-tanya juga, semasa beli tiket, mereka tidak memilih tempat duduk ke atau semasa di dalam bas, tidak periksa dahulu nombor kerusi. Ah, pening memikirkan dan kecewa kerana tak dapat duduk di kerusi pilihan saya.

Bukan senang untuk saya berfikir dan membuat pilihan tempat duduk ketika beli tiket. Beberapa faktor juga perlu diambil kira. Alih-alih ada orang tanpa segan silu terus menjajah kerusi saya.
 Bila pulang dari Pulau Pinang pula, lazimnya saya akan berjumpa dengan orang-orang yang juga menjadi suami mingguan seperti saya.

Mereka pun setiap minggu berulang alik. Kami pun sudah kenal antara satu sama lain. Ada seorang menegur saya macam pernah lihat sebelum ini tapi tak ingat di mana. Saya berbisik  dalam hati saja, ‘mungkin di Sinar Harian kot.’
     

Katanya sudah 10 tahun berulang alik ke Subang. Manakala seorang lagi pula sudah lima tahun berulang alik ke Putrajaya. Ramai juga yang menjadi suami mingguan rupanya. Saya pula baru enam bulan. Itu pun sudah terasa letihnya. 
   

Saya ada juga bercerita perkara ini kepada seorang kawan yang bekerja sebagai pensyarah.
 

“Oh, perlu untuk buat kajian. Apakah suami mingguan atau ‘weekend husband’ ini memberi kesan terhadap kemajuan pendidikan anak-anak?’’ 
      

Saya diam saja dan berbisik lagi, ‘banyak benar kajian sekarang.’



*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com