MINGGU lepas pulang dari Kuala Lumpur saya beritahu isteri untuk menziarahi Tok Guru di Kedah. Saya beritahunya lagi, ada soalan ingin saya tanya pada Tok Guru. Isteri saya diam seketika, kemudian bertanya, “nak pergi hari apa? Sabtu atau Ahad?

“Hari Ahad. Sabtu kan ada hari kantin sekolah," kata saya.

“Jam berapa pula nak bertolak?” tanya isteri saya lagi.

“Mungkin dalam jam 7.30 atau 8 pagi," kata saya.

Maka pada pagi Ahad, jam 7.30 saya pun bertolak ke destinasi yang dirancang. Menurut jangkaan masa di aplikasi peta Google, perjalanan ini hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam 40 minit. Memandangkan perjalanan ini tidak jauh dan hari pun masih awal, saya singgah di pasar pagi Seberang Jaya untuk bersarapan.

Setelah selesai, jam menunjukkan hampir 9 pagi. Cuaca yang agak dingin dengan pemandangan sekeliling yang segar dengan tapak-tapak sawah padi menjadikan perjalanan agak menyenangkan.

Setelah beberapa kali berpusing-pusing, tersilap jalan, sesat dan setelah bertanya kepada beberapa orang kampung akhirnya sampai juga. Saya sampai di rumah Tok Guru lebih kurang 10 pagi. Namun tidak kelihatan kelibat siapa-siapa pula di rumah. Tingkat tertutup. Pintu pun tertutup.

Lalu saya turun dari kereta dan mendekati anjung rumah, tiba-tiba terlihat susuk tubuh Tok Guru sedang terbaring di atas kerusi rehat sambil berselimut kain pelikat. Saya pun memberi salam walaupun kelihatan mata Tok Guru terpejam seperti orang sakit.

Tok Guru menjawab salam dan terus mempelawa saya masuk. Beliau menyuruh saya mengambil kerusi untuk duduk di sampingnya. Setelah melabuhkan punggung, lalu saya bertanya, “Guru sihat ke?"

Tok Guru yang terkenal dengan ungkapan dan kata-kata tersirat menjawab, “senyum waktu ketika sihat, senyum waktu ketika sakit." Kemudian Tok Guru memejamkan matanya semula. Saya pula menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Kemudian Tok Guru bertanya dengan mata masih terpejam, “datang dari mana?"

“Oh kami datang dari Penang," jawab saya.

“Di Penang berurusanlah dengan orang di Penang," kata Tok Guru.

Sekali lagi saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal itu. Kemudian saya berkata lagi, “saya ada hajat. Nak tanya soalan pada Guru."

Maka jawab Guru, “asalkan tidak digali perigi dengan jarum."

Nah, sekali lagi Tok Guru membuatkan saya keliru dan terpaksa berfikir. Setelah itu sedang saya berfikir untuk mulakan soalan pertama, Tok Guru terlebih dahulu bertanya, “antara Grab dan teksi yang mana lebih bagus?"

Alamak, apa kena-mengena dengan soalan ini pula, saya berbisik. Lalu saya menjawab, “Grab Guru. Saya lebih suka naik Grab dari teksi."

“Kenapa?" tanya Guru lagi sambil mata masih pejam.

“Sebab murah, selesa dan ada gaya," jawab saya penuh yakin.

“Teksi pula bagaimana?" tanya Guru yang tiba-tiba matanya terbuka luas lalu bangun dari kerusi rehatnya untuk bersandar.

“Teksi mahal. Tak pakai meter. Kadang-kadang tak mahu ke tempat-tempat tertentu. Kalau nak pergi pun tambang lain."

“Baru-baru ini, Teksi buat demo. Tak bersetuju dengan kerajaan untuk mengadakan perbincangan dengan Grab," ujar saya lagi.

“Ah apa perlu berdemo jika tidak perhalusi masalah sendiri. Bukankah sekarang zaman teknologi yang bergerak sepantas kijang, tidak berupaya kita untuk menghambatnya," ujar Tok Guru.

“Oh mereka berpendapat Grab menutup periuk nasi mereka,” jawab saya melaporkan apa yang dibaca di media sosial.

“Orang lain tidak ada upaya untuk menutup periuk nasi kita. Jika tidak boleh lawan, jadikan kawan. Baru ada penyelesaian," kata Guru berkias.

“Er, maksudnya apa tu Guru?" tanya saya tak faham.

“Seperti 'cek' kata tadi, jangan digali perigi dengan jarum. Jangan dilawan jika tidak terlawan. Bekerjasamalah," jawab Guru masih berkias.

“Saya juga berpendapat begitu."

“Ada satu ketika saya sampai di Sungai Nibong Penang untuk ke USM. Saya tanya pemandu teksi berapa tambang. Dia kata RM18. Ah, lebih baik saya naik Grab. Tambang pun RM5 saja." kata saya.

“Tak patut, tak patut," kata Tok Guru.

“Ada juga sekali ketika saya sampai di Stesen Bas Kuala Terengganu jam 5 pagi. Saya tanya pemandu teksi berapa tambang, dia kata RM20. Saya naik Grab baru RM11." sambung saya lagi.

Tok Guru menggeleng-geleng kepala pula.

Setelah beberapa ketika, saya bertanya lagi Tok Guru, “jadi apa pendapat Guru?’’

“Pendapat apa?’’

“Grab atau teksi?’’

“Aku tak naik Grab dan tak naik teksi. Aku nak pergi mana-mana ada orang usung."

Saya mengangguk-angguk sahaja. Kemudian saya cuba beritahu akan tujuan asal datang, “begini Guru, saya ada hajat datang ni. Saya sebenarnya nak tanya...”

“Sudah cukup masa," kata Tok Guru sambil menunjukkan papan tanda yang tergantung di dinding rumahnya. Tertulis waktu melawat hanya pada 9 hingga 11 pagi sahaja.

Kemudian Tok Guru terus berbaring semula, menarik selimut kain pelikatnya dan memejamkan mata. Sekali lagi saya menggaru-garu kepala lalu terus segera beredar dengan hampa.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com