KAWAN saya memberitahu yang pengurus besar tidak sukakannya. Saya bertanya kenapa pengurus besar tidak suka kepadanya? Katanya sejak dia tidak bersetuju dengan tuntutan perjalanannya dipotong.

“Kenapa kena potong?" tanya saya.

“Oh, kata pengurus besar, aku menuntut mengikut laluan jauh. Sepatutnya mengikut laluan paling dekat," kata kawan saya.

“Habis kamu lalu ikut laluan mana? Jauh ke dekat?’’

“Laluan jauh. Aku lalu ikut Plus, kemudian ke LPT untuk ke Kuala Terengganu."

“Tuntutan ikut laluan mana?"

“Tuntutan ikut LPT, tetapi pengurus besar kata kena ikut Grik. Katanya ada dalam polisi syarikat. Bila aku periksa dengan pegawai sumber tidak ada pula. Cuma selepas kes aku ini dengar cerita bos besar dari ibu pejabat telefon pegawai sumber manusia suruh ubah polisi."

“Begitu pula."

Kata kawan saya lagi, tuntutan perjalanannya adalah RM800. Pengurus besar kata hendak bayar separuh saja. Jadi tuntutan perjalanan adalah dalam RM400. Sedangkan dia diarahkan pengurus besar ke Terengganu.

Kata pengurus besar, “Saya akan pergi bersama kamu, tapi kita pergi asing-asinglah ya. Saya nak bawa keluarga, jalan-jalan sekali."

Kawan saya akur saja. Alih-alih tuntutannya pula kena potong.

“Kamu dah bagi tahu ibu pejabat?" Saya bertanya.

“Sudah, ibu pejabat kata kena ikut laporan pengurus besar.”

Kata kawan saya lagi, semasa dalam perjalanan balik melalui lebuh raya Plus, tayar pecah. Terpaksa pula tukar tayar baharu. Banyak duit habis. Kebetulan hendak buka sekolah.

Katanya lagi, pengurus besar ada bertanya kenapa tidak ikut saja jalan Grik. Kawan saya beritahu pada masa itu musim tengkujuh, ada laporan tanah runtuh, tidak berani ambil risiko.

“Apa boleh buat, reda sajalah. Mungkin bukan rezeki aku. Sudah tersurat banyak itu sahaja yang dapat,” kata kawan saya.

“Tidak boleh begitu. Kau pergi atas arahan, alih-alih tidak mahu bayar pula.”

Kawan saya tersenyum saja. Pasrah.

Kawan saya beritahu, dia juga bergaduh besar dengan pengurus besar. Dia berkata kepada pengurus besar bahawa ini tidak adil. Pemotongan ini tidak patut berlaku. Dalam polisi tidak ada. Buat polisi tidak ikut pula. Kemudian suka-suka ubah polisi.

Kata kawan saya lagi kepada pengurus besar, “Kamu tidak boleh menjadi ketua, tidak jujur, hanya pentingkan diri saja. Kamu boleh tuntut lebih, pekerja pula kena potong. Mentang-mentang kamu ada kuasa. Suka hati saja buat aniaya pekerja.”

“Oh lepas tu pengurus besar jawab apa?” Saya bertanya lebih lanjut.

“Pengurus besar tu kata dia kena amanah dan jujur. Tidak boleh tuntut ikut suka hati. Kau tengok, dia sendiri suruh aku menipu tetapi kata itu amanah dan dia buat kerja betul. Akal ada ke?”

“Dia kata begitu?”

“Ya. Dia suruh aku tuntut ikut laluan dekat. Kemudian kata aku tidak jujur tuntut ikut laluan jauh. Dah aku lalu ikut laluan tu, aku tuntut ikut jalan yang aku lalulah. Tengok siapa yang menipu?”

“Betul juga kata kau.”

“Kemudian cakap dalam polisi syarikat ada. Bila periksa tidak ada. Terus disuruh pengurus sumber manusia ubah.”

Saya menggeleng kepala.

“Bukan ke itu dikira menyuruh aku berbohong betul tak?’’

Saya mengangguknya pula.

“Jadi apa rancangan kau. Terima sajakah?’’

“Terimalah separuh pun. Mungkin yang separuh lagi bukan hak akulah kot."

Apa boleh buat. Sebagai pekerja begitulah. Kena akur. Bos ada kuasa. Apabila disuruh, kita kena ikut. Kalau tak ikut mungkin kena ugut pula. Atau kena tukar atau kena ugut buang kerja, tindakan tatatertib. Bermacam-macam cara mencari salah supaya kesalahan mereka terlindung.

Pekerja pula kena bersabar. Ada rezeki di tempat lain pergilah. Majikan mungkin hendak menjaga kepentingannya sahaja. Pekerja pula hanya hendak meminta haknya. Lagipun apa yang pekerja buat adalah untuk majikan juga. Mungkin majikan ini tidak ada ihsan hendak berfikir pasal pekerjanya.

Kawan saya kemudian berkata yang bos besar memberitahu kalau tak suka caranya, sendiri faham.

“Apa maksud bos besar tu?" tanya saya inginkan kepastian.

“Maksudnya kalau tak suka cara dia uruskan syarikat, boleh tulis surat berhenti."

“Oh sampai begitu sekali? Dia pun dah tak ada alasan nak bagi, itu yang cakap macam tu. Tunjuk kuasa."

Kawan saya mengeluh. Bulan itu perbelanjaan tidak cukup. Dia terpaksa meminjam kawan untuk keperluan sekolah. Duit sudah diguna untuk pergi bermesyuarat di Terengganu. Dalam perjalanan pulang tayar pula pancit. Bila membuat tuntutan ingat dapatlah semula duit itu. Nah bila nak tuntut tiba-tiba kena potong dapat separuh saja.

“Nanti setiap kali lepas solat kau sedekah Al-Fatihah kepada pengurus besar dan pihak pengurusan. Semoga dibuka hati mereka semua. Biar mereka semua menjadi orang yang berihsan." Saya cuba memujuknya.

“Bukan ke bila dah mati baru sedekah Al-Fatihah? Masih hidup boleh sedekah Al-Fatihah juga ke?"

* Penulis  merupakan jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif