Bagi menutup tirai 2012, iaitu pada 30 Disember, saya berpeluang menyampaikan ceramah dalam satu himpunan Islam antarabangsa anjuran Mercy Mission yang diadakan di PICC Putrajaya. Himpunan terbabit bertemakan Kembaran Iman (the Twins of Faith), iaitu Ilmu dan Amal.

Ceramah dihadiri lebih 400 peserta, termasuk dari luar negara. Saya menyampaikan ceramah dalam bahasa Inggeris dengan tajuk: “The Muslim Entrepreneur” (Usahawan entrepreneur Muslim) - satu-satunya sesi ceramah dalam perhimpunan dua hari memfokuskan kepada isu bisnes dan ekonomi umat Islam.

Saya mulakan kupasan tajuk dengan menegaskan betapa pentingnya umat Islam membina kekuatan ekonomi. Hakikatnya, selagi tidak berupaya menguasai ekonomi, adalah mustahil umat Islam bangkit semula menjadi khalifah dan umat terbaik (khaira-ummah) seperti pernah dicapai pada zaman kegemilangan Islam sebelum Barat mendominasi dunia.

Kemiskinan membawa kekufuran

Hari ini Barat menunjukkan tanda-tanda kemerosotan dan mungkin tidak dapat terus mendominasi dunia dalam tempoh beberapa abad mendatang. Persoalannya: Apakah umat Islam berupaya bangkit merebut kesempatan kemerosotan Barat untuk kembali sebagai umat khalifah, atau kali ini akan tewas pula kepada dominasi kuasa Timur seperti Republik Rakyat China yang sedang pesat membangun menguasai ekonomi dunia? 

Malangnya, umat Islam sangat daif kedudukan ekonomi. Bahagian terbesar manusia miskin di dunia adalah Muslim. Majoriti umat, kerajaan dan negara Islam miskin, bergantung hidup kepada orang lain. Penjajahan Barat selama beberapa abad meninggalkan kesan mendalam, mematah semangat berdikari dan memusnahkan jati diri umat.

Sekalipun telah lama bebas merdeka, majoriti negara Islam ketinggalan dan miskin. Apa pun, hari ini negara Islam, tidak kira miskin atau maju cergas membangun, mahu pun kaya dengan sumber petroleum, semuanya diancam ketidakstabilan berpunca terutamanya daripada ketidakadilan dan kezaliman ekonomi. Beberapa negara Islam pula teruk terjejas keganasan ekstrem setelah terlalu lama gagal mencari jalan keluar.

Sesungguhnya kemiskinan ancaman utama umat. Generasi muda Arab dan umat Islam amnya, termasuk ramai terpelajar, diancam pengangguran berleluasa sehingga masa depan cuma menjanjikan kepahitan dan penderitaan hidup. Semua ini menambah ketegangan dan tension, selain menyemarakkan api kemarahan dan kebencian.

Jihad bisnes

Kelemahan ekonomi dan kemiskinan melata membuat jurang kaya-miskin melebar di semua negara Islam, ditambah buruk oleh kerakusan dan korupsi golongan atasan setelah menciplak kapitalis Barat nafsu-nafsi tanpa sempadan.

Apabila dicampuri percanggahan akidah dan konflik fahaman agama, suasana bertambah ekstrem. Keganasan dan peristiwa bunuh-membunuh sesama umat berleluasa sehingga menjadi sesuatu yang biasa.

Semuanya seolah-olah menepati pandangan Islam bahawa kemiskinan atau kefakiran membuat manusia hilang akal dan lupa iman, langsung bertindak kekufuran.
Jelas sekali kemiskinan dan kezaliman ekonomi punca utama konflik dan keganasan wajib dibanteras.

Jalan keluar paling berkesan mengatasi kemiskinan umat ialah menggalakkan bisnes menjana peluang ekonomi, meningkatkan peluang kerja dan menambah pendapatan. Sesungguhnya, sembilan per sepuluh sumber rezeki daripada bisnes!

Namun untuk berjaya, ahli bisnes dan entrepreneur Muslim tidak wajar menciplak sepenuhnya cara bisnes dan korporat Barat yang menjadi punca kerosakan sistem kehidupan masyarakat moden. 

Mereka berkewajipan mengintegrasikan nilai Islam bertujuan menegakkan keadilan, mengembangkan agihan kekayaan, langsung memakmurkan dan menyejahterakan kehidupan.

Tiba masanya ahli bisnes dan entrepreneur Muslim bertindak tegas dan berani memperbaharui institusi korporat bertujuan menjauhkan umat daripada kerakusan dan kezaliman sistem bisnes nafsu-nafsi kesan sampingan amalan kapitalis Barat.

Justeru, bertepatan sekali bagi entrepreneur Muslim menjadikan bisnes satu perjuangan bertaraf jihad. Matlamat akhir Jihad Bisnes ialah memangkin umat Islam menerajui ekonomi dan mencorak semula kehidupan berlandaskan nilai Islam sejati.

Semangat jihad memperkasa jiwa entrepreneur Muslim dengan tenaga spiritual luar biasa, lalu membentuk keyakinan diri perkasa, menyuntik semangat kepahlawanan bagi mengatasi cabaran dan rintangan sehingga berjaya cemerlang di medan persaingan bisnes.

Semangat jihad juga penting dalam membina kesepaduan tindakan umat menerusi bisnes berteraskan amanah. Tanpa landasan amanah mustahil umat Islam dan negara Islam berpadu tenaga dan sumber korporat, bersatu kiblat bisnes dan bertindak strategik untuk menang bersaing di pasaran global.

Tegasnya, bisnes dan korporat Muslim tidak wajar memburu untung semata-mata untuk menghimpun harta kekayaan peribadi sebanyak dan secepat mungkin kerana dengan cara ini, bisnes pasti menjadikan kita rakus, duniawi, materialistik dan merosakkan iman dan kehidupan.

Perkongsian pengalaman membangun entrepreneur Muslim

Jihad Bisnes bukan satu retorik atau slogan kosong. Justeru, saya juga telah berkongsi pengalaman peribadi menjayakan Jihad Bisnes di JCorp selama 30 tahun selaku CEO (Januari 1981 - Julai 2010). Antara mercu tanda ringkas pencapaian Jihad Bisnes JCorp termasuklah:

•    Membina JCorp sehingga menjadi organisasi korporat induk memiliki 280 syarikat, lapan daripadanya tersenarai, termasuk satu di Bursa Saham London;

•    Menguasai dan menambah nilai ekonomi. (Nilai modal pasaran saham semua PLC di bawah JCorp akhir 2010 melebihi RM18.1 bilion dan telah meningkat kepada RM20.9 bilion pada akhir 2012);
•    Mempercambah peluang kerja. (Jumlah warga kerja kumpulan JCorp melebihi 65,000 anggota pada akhir 2010);
•    Menerajui dan menambah nilai beberapa bisnes strategik negara termasuk perladangan dan industri sawit, penjagaan kesihatan (health care) dan bisnes makanan dan rangkaian restoran terbesar di Asia Tenggara;
•    Menghalalkan bisnes untuk manfaat umat Islam. (Pada 2006, menerusi corporate acquisition, JCorp berjaya mengambilalih rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut, menguasai bisnes makanan terbesar selain melindungi kepentingan halal umat Islam).  
•    Membuka luas peluang menjadi entrepreneur, terutama kepada yang tidak memiliki modal peribadi. (Di akhir 2010 JCorp berjaya melahirkan lebih 200 intrapreneur - atau entrepreneur amanah -menerajui bisnes dan syarikat milik JCorp).

Selain itu, JCorp telah juga merintis jalan menubuhkan institusi Waqaf Korporat pertama. Waqaf Korporat institusi penting bertujuan menjayakan konsep istikhlaf Islam yang mengiktiraf harta sebagai milik mutlak ALLAH SWT dan CEO sebagai “khalifah” mengurus harta atas dasar amanah.

Saya yakin menginstitusikan amanah menerusi Waqaf Korporat adalah formula paling berkesan mengubati penyakit rakus, nafsu-nafsi, materialistik dan duniawi yang banyak menjangkiti manusia bisnes dan merosakkan kehidupan masyarakat.

Waqaf AnNur Corporation Bhd dilancarkan pada Ogos 2006 dengan pewakafan RM200 juta saham milik JCorp dalam tiga syarikat tersenarainya. JCorp menambah wakaf saham bernilai RM50 juta pada 2009, membabitkan syarikat memiliki kompleks membeli-belah di Johor Bahru.

Kejayaan iInstitusi Waqaf Korporat terbukti apabila nilai aset wakaf berjumlah RM250 juta pada tarikh wakaf berjaya dilipat gandakan nilainya kepada RM538.5 juta pada akhir 2012.

Jihad Bisnes JCorp juga berjaya menonjolkan barisan entrepreneur amanah (yang tidak memiliki saham peribadi) menerajui beberapa bisnes JCorp. Antara entrepreneur Muslim ikon termasuk Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir, CEO KPJ Healthcare Bhd; Haji Ahamad Mohamad, CEO Kulim Malaysia Bhd dan Jamaludin Mohd Ali, CEO KFC Holdings dan QSR Brands Bhd.  

Selain itu, kejayaan entrepreneur Muslim Ustaz Ismail Mat Ali, seorang eksekutif agama berkelulusan Universiti al Azhar menerajui syarikat Capaian Aspirasi Sdn Bhd (dengan mencatat keuntungan tahunan RM600,000-700,000) bukti Jihad Bisnes sangat inklusif, membabitkan ahli agama sebagai entrepreneur. 

Satu lagi contoh, Abdul Kadir Ibrahim, bekas pekerja kumpulan JCorp yang hanya berkelulusan SPM, kini CEO entrepreneur Muslim berjaya, memiliki syarikat peribadinya dalam bisnes pembersihan dan parkir beroperasi di Malaysia dan Indonesia dengan catatan keuntungan melebihi RM600,000 setahun.

Kesimpulannya, bukan namanya entrepreneur Muslim jika tidak sanggup berjihad menerusi usaha bisnes, menjana harta kekayaan bertujuan memperkasa ekonomi umat Islam, langsung membebaskan mereka daripada ancaman kekufuran akibat cengkaman kemiskinan.

Entrepreneur Muslim juga berkewajipan menerapkan amanah dalam amalan bisnes, di samping menginstitusikan amanah dengan menjayakan Waqaf Korporat. Hanya setelah amanah berjaya diinstitusikan, barulah keadilan dapat ditegakkan, memangkinkan sistem ekonomi dibersihkan.


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)