Jujur kata, rasanya sudah bosan berkunjung di puncak Cameron Highlands setiap kali musim cuti tiba. Tapi walau sudah jelak menyumbat jagung lemak manis dan strawberi ke mulut, saya dan keluarga tetap kerap ke sana. Mungkin faktor logistik dan kewangan yang tidak melampau serta bayu dinihari yang dingin kerap memanggil kami untuk kembali.


Tapi kunjungan kali ini agak istimewa kerana saya terjumpa suatu tempat di Brinchang - bukan ladang teh, rumah hijau strawberi atau gerai sayuran-sayuran segar yang klise. Didorong rasa bosan berkurung di bilik hotel semata, saya dan kakak ipar memandu tanpa arah di sekitar Tanah Rata dan Brinchang. Bosan memandu, kami mencari tempat parkir, mungkin sudah tersurat, kami berhenti betul-betul di muka pintu sebuah tempat bernama Time Tunnel. Tempat apa ini? Saya bertanya dalam hati.

Setelah berpisah dengan RM5, saya dibenarkan masuk ke dalam perut mini muzium di bawah tanah itu. Dalam ruangan yang sebenarnya tidak layak dipanggil muzium itu, berumah segala macam cerita dan peralatan masa lampau yang dipulihara molek.

Bermula dengan segmen memaparkan sejarah dan cara hidup Orang Asli di Cameron Highlands, berselit pula dengan kendi lama, cermin, periuk belanga dari era seawal 40-an, tempat ini buat saya sungguh di luar dugaan. Berdiri lama di hadapan imej dua Orang Asli menyumpit di gigi air terjun, saya menyedari tiada larangan untuk membawa kamera dan merakam gambar di sini seperti mana rata-rata muzium lain di kota besar dunia. Tanpa melengahkan masa lagi, lensa dan shutter button kamera saya kerah untuk bekerja lebih masa bagi merakamkan artifak dan imejan-imejan dipamerkan.

Sekiranya anda membesar pada era 50-an, akan menghargai artifak-artifak dipaparkan secara rawak di muzium ini. Sebelum masuk ke dalam sebentar tadi, si penjaga kaunter memaklumkan bahawa mini muzium ini dimiliki dan dibiayai oleh orang perseorangan, tanpa bantuan dana daripada mana-mana pihak. Setelah pulang, saya cepat-cepat melayari laman lebai Google untuk mencari informasi terperinci tentang muzium ini.

Ditubuhkan pada Januari 2007, pemilik muzium See Kok Suen, membuka pintu Time Tunnel kepada umum dengan modal RM20,000 sahaja. Berbekal barang-barang koleksi persendirian dan hadiah rakan-rakan, Kok Suen membawa pengunjung Time Tunnel mengimbau kenangan lama dan sejarah penduduk setempat pada waktu yang sama.

Buat saya, apa teristimewa di muzium ini ialah bahagian yang dikhususkan untuk mendiang James H W Thompson. Thompson yang dinobat raja kain sutera Siam menjadi terkenal kerana menubuhkan The Thai Silk Company pada 1940; beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan kain sutera di busana fesyen antarabangsa dan dalam industri filem Barat. Menjelang lewat 50-an, kain sutera menjadi komoditi perniagaan terkenal seantero dunia.

Thompson mendapat sudut tersendiri di Time Tunnel bukan kerana kreativiti beliau memberi nafas baru kepada industri sutera Thai, tetapi kerana beliau hilang dari hutan Cameron Highlands dan gagal dikesan sejak 44 tahun lalu. Tiada mayat; tiada bayang; tiada kesan dijumpai. Hanya teori kehilangan Thompson mendominasi laporan media tempatan dan antarabangsa. Teori diperoleh daripada ratusan bomoh, pawang, ahli psikik, Orang Asli, penduduk setempat dan pasukan penyelamat tanpa disokong apa-apa bukti kukuh.

Tanggal 26 Mac 1967, Thompson yang sedang bercuti bersama rakan-rakan, pergi berjalan-jalan di kawasan hutan berdekatan chalet The Moonlight Cottage. Thompson yang menyedari mereka sesat, mencadangkan mengikuti arus sungai untuk mencari jalan keluar.

Tetapi pada hari kedua, Thompson hilang begitu sahaja ketika rakan-rakan yang lain sedang tidur.

Walaupun misi pencarian secara besar-besaran dilancarkan di sekitar hutan berdekatan The Moonlight Cafe, Thompson atau mayatnya masih belum ditemui sehingga ke hari ini. Oh, berdiri tegak bulu roma di lengan saya ketika habis membaca sejarah kehilangan Thompson.

Secara keseluruhannya, mini muzium ini memberi keunikan dari sudut berbeza kepada Cameron Highlands yang lazimnya terkenal dengan ladang teh dan saujana landskap hijau untuk santapan mata semata. Cuma dari segi label dan informasi untuk setiap artifak yang dipamerkan perlu dikemas kini bagi membantu pengunjung asing lebih memahami cara hidup masa lampau orang kita.

    Semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Sinar Harian. Pihak kami telah menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca