SENI itu persis seorang wanita. Ia tidak mungkin dimengerti hanya perlu dihayati - dan disayangi. Seni juga tidak boleh dianalisis, atau diperhalusi habis-habisan dari setiap perspektif kerana ia langsung tersendiri.

Mana-mana cabang seni selalunya sebuah evolusi yang kadang canggung dalam epoch kemanusiaan yang berbeza-beza. Terutama sekali seni pentas. Masa lampau telah membuktikan rumusan ini.

Seawal abad ke-16, seni persembahan pentas sudah terpanggang dalam api kontroversi. Ketika era pemerintahan Ratu Elizabeth, penduduk kota London percaya kepada dua tuhan: ajaran agama Protestan dan teater.

Ketika itu panggilan ke gereja dan ajakan untuk menonton teater saling bertindih antara satu sama lain.

Bimbang fenomena ini bakal menyesatkan penduduk London, puak puritan mempertaruhkan agama. Dan ketika pengaruh mereka merasuk ke dalam tubuh ahli-ahli parlimen England, perang saudara tercetus pada tahun 1642.

Syaitan dikatakan menari-nari di atas pentas dan membisikkan khianat kepada penduduk London.

Lantaran itu penguat kuasa telah meruntuhkan Global Theatre yang disukai ramai pada tahun 1644. Manakala rumah-rumah persembahan yang lain diarahkan ditutup, sementara itu pelakon pentas ditangkap dan disebat.

Sungguh kaum puritan hidup dalam ragu dan takut tentang perkara yang abstrak.

Jadi bila Sinar Harian melaporkan bahawa makyung akan kekal mati di Kelantan pada 23 September lalu, saya tidak terkejut walaupun hati saya kelat.

Bukan sekali fitrah seni terpasung dalam kuasa politik bersandarkan alasan seperti 'mengandungi unsur-unsur khurafat' atau 'takut menyesatkan umat'.

Dalam kes pengharaman makyung di Kelantan ini, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan: “Tolong hormati keputusan kita.” Timbalan Menteri lupa bahawa rasa hormat perlu diraih, bukan diminta.

Tetapi saya mohon mengambil pendekatan yang berbeza. Kerana saya percaya seni dan ketuhanan tidak semestinya wujud dalam pola yang bertentangan.

Kalau tidak masakan Amir Hamzah menulis; “Pada Mu Jua,” di mana dia panasaran bercerita tentang pertemuan abadi sepasang kekasih selepas kematian: pertemuan antara si mati dan sang Penciptanya, ALLAH SWT.  

Taufik Ismail pada tahun 1974 memberi tamparan sufistik agar pembaca lebih dekat dengan Tuhan melalui ibadah solat. Mana-mana hati yang telah mati sekalipun boleh luluh bila Taufik mengakhiri sajak Sejadah Panjang dengan stanza yang berbunyi:

Hamba tunduk dan rukuk
Hamba sujud dan tak lepas
kening hamba
Mengingat Dikau  sepenuhnya.

Dan pena yang paling dekat di hati saya, Chairil Anwar, tatkala dibelenggu resah kreativiti yang melemaskan, beliau telah menulis dalam nada habis tewas:
Tuhan ku
Dalam termangu
Aku masih menyebut nama Mu.

Nah. Bukan semua seni itu berunsurkan khurafat dan membisikkan khianat. Ada seni yang memanggil, merayu kita pulang ke landasan yang barakah.  

Dan kes makyung, main puteri dan persembahan lain yang diharamkan mungkin kita perlu percaya kepada diri kita sendiri. Percaya bahawa akidah dan iman kita jitu, percaya kepada minda yang merdeka untuk memilih antara yang hak dan batil.

Yang lebih penting, kita tidak perlu penguat kuasa politik memberitahu kita tentang halal dan haram.

 Kerana makyung secara harfiahnya hanyalah sebuah taridra penzahiran bahasa jiwa.

Malah warisan seni makyung diiktiraf dunia apabila Unesco menyenaraikan taridra ini sebagai Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity - pengiktirafan tertinggi warisan dunia untuk seni budaya.

Cukuplah setakat itu, dan sekarang garis kompromi antara pemerintah negeri Kelantan dan penggiat seni perlu diambil agar makyung tidak tinggal nama sahaja.

Di atas neraca tolak ansur, anak-anak seni dimohon membuang unsur-unsur yang dikatakan khurafat dalam persembahan makyung, manakala pemerintah diminta membenarkan persembahan itu di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Kalau terbunuh setiap cabang seni di tangan politik, pincanglah nusa. Dan bangsa yang tidak mendakap kehalusan seni akan menjadi sebuah bangsa yang statik dan literal semata.

Mahukah kita jadi statik dan literal sampai mati? Kadang-kadang dosa penguat kuasa sama saja dengan dosa penulis yang merendahkan kebijaksanaan pembaca.

Tapi penulis dijamin kebebasannya berkarya, ahli politik tidak, kerana mereka perlu pulang ke peti undi setiap lima tahun. Anda rasa bagaimana?