DEMI masa, sesungguhnya melangsungkan survival politik alaf ini berbeza. Saya beri contoh. Soekarno, Presiden Indonesia yang pertama pernah berkata, “Gantungkan cita-cita mu setinggi langit! Bermimpilah setinggi langit. Jika engkau jatuh, engkau akan jatuh di antara bintang-bintang.”

Nah! begitu, sedapkan bunyinya? Tapi menegakkan idealisme tatkala negara rantau Asia Tenggara ingin menuntut merdeka daripada kolonialisasi, nyata lebih romantik dari sekarang. Bukan saya membelakangi pengorbanan mereka yang merintis merdeka, tapi mengekalkan kemerdekaan dalam diri itu payah – apatah lagi dalam mana-mana parti politik. Saya bercakap tentang konteks peremajaan parti yang bergema di seluruh PWTC minggu lepas. Sudah cukup merdekakah tiga juta ahli Umno untuk ikhlas mendakap ideologi meremaja parti, membuka ruang untuk generasi muda dengan pasti?

Bung Karno tahu apa? Kalau yang junior bermimpi setinggi langit dalam Umno – mahu jadi pelapis berfikiran luar norma biasa, mahu jadi pemimpin muda lagi hipster caranya – ramailah yang bakal kecundang, bukan mara ke depan. Maaf cakap, kalau mereka itu tak jatuh antara para bintang, alamatnya mereka terus jatuh terlentang!

Dalam satu organisasi berumur hampir tujuh dekad, Umno tidak lagi muda. Bukan sedikit pengalaman dicatat selama jadi parti induk dalam Barisan Nasional. Tapi berpengalaman tak bermakna kita matang; jadi orang tua tak bermakna kita betul. Umno tahu apa masalah mereka untuk meremajakan parti. Kekangan dari warlord yang sudah lama berakar dalam tradisi, payah untuk membenarkan tunas muda cambah jadi daun merimbun parti. Tradisi yang macam-macam dan struktur hierarki yang statik tidak boleh diubah, itu halangan utama untuk politikus muda dalam Umno.

Tapi cakap benda yang mereka sudah tahu, tiada makna. Saya yang tak seberapa ini ada cadangan. Kalau molek sila adaptasi, kalau tak molek buat apa suka. Saya percaya dengan kesederhanaan dalam berpolitik. Dan mungkin jika saya dibenar untuk memanjangkan pendapat, saya juga percaya tentang keikhlasan dalam berpolitik. Ya, bak kata kawan baik saya Jalil Backer, saya ini naif dalam asmara politik yang volatile.  

Tapi kesederhanaan dan keikhlasan itu juga berkait rapat dengan persepsi. Kita ambil contoh Pak Jokowi. Jadi presiden tak sampai berapa hari, wartawan Time Magazine sudah menulis betapa tulusnya Jokowi yang terbang dalam kelas ekonomi. Akhbar dan majalah tempatan Indonesia juga begitu, Jokowi menang perang persepsi kerana dia sederhana.

Ke sana, ke mari pakai batik Indonesia macam petani; tetap makan sate kambing di gerai yang sama ketika beliau masih kanak-kanak dulu. Wajahnya polos dengan kesusahan meniti hidup cara kita orang Timur; tangannya kasar tanda dia bukan orang senang. Di pergelangan tangan dia tak betah mengenakan Rolex, Patek Philippe atau Tag Heuer – apa yang dia guna sebagai penunjuk waktu, itu saya tak tahu.

Bila bercakap soal ikhlas, sekali lagi Jokowi menang. Beliau tidak berhenti setakat teori, dia benar-benar melaksanakan apa yang dia percaya. Menteri-menterinya orang muda, kalau tak berprestasi tinggi mereka awal-awal sudah diletakkan prasyarat bakal diganti. Elaun keraian dalam kerajaan dicatu habis-habisan, bila ke luar negara atas urusan rasmi, rombongan presiden dikecilkan agar langkah austeriti beliau nampak berkesan. Yang begini, rakyat suka, rakyat mahu.

Sejauh mana revolusi Jokowi berjaya menongkah arus birokrasi dan rasuah di Indonesia, hanya masa menentukan. Tapi setakat perang persepsi, Jokowi masih menang. Umno boleh buat begitu?

Kalau boleh ikutlah serba sedikit. Jangan takut merevolusikan kedudukan orang muda, apa yang penting kelangsungan survival parti harus disegerakan sebelum bertemu peti undi sekali lagi.

Jangan melatah bila saya tegur, saya ini bukan ahli politik, sekadar menulis kerana  percaya mana-mana penulis itu tidak sesekali dibenarkan untuk menangguhkan kebenaran. Demi masa, sesungguhnya mereka yang hubris itu berada dalam kerugian – bukan pada diri, tapi jadi kanser dalam parti.
 
*Elviza Michele Kamal masih menulis, masih percaya.