TERGELAK besar saya membaca kicauan @TheTunku di laman Twitter tentang kes penggantungan Profesor Dr Abdul Aziz Bari (Aziz Bari) baru-baru ini: “Good god, you fools, he’s an academic, why are you silencing him? Nobody listens to academics unless they are silenced!”

Benar bukan pengamatan @TheTunku itu? Lazimnya penulisan atau pendapat mereka yang bernaung di bawah frasa nama ahli akademik atau cendekiawan atau si bijak pandai hanya kita baca sepintas lalu sahaja, kadang-kadang tak faham apa pun. Tapi bila mereka dikekang, barulah kita baca dengan teliti apa cuba mereka sampaikan.

Saya juga sudah letih menulis tentang kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tanpa memikirkan akibat. Rasanya tahun 2011 ini sahaja, sudah lima-enam kali saya berkalam di paksi yang serupa. Menceceh macam radio buruk, ulang-ulang perkara sama, sungguh membosankan.

Kali ini giliran satu institusi pengajian tinggi yang amat hebat di mata saya melakukan khilaf serupa. Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim tidak memerlukan pengenalan terdahulu kerana mereka adalah antara laman ilmu terbaik negara; bertanggungjawab melahirkan ribuan peguam dan pakar undang-undang tanah air.

Perbincangan dan komentar intelek tidak harus dikekang, apatah lagi dikompromi dengan tindakan menggantung kerja dan sebagainya, walaupun sebab penggantungan kononnya untuk membantu siasatan. Kenapa dicalar nama gargantuan seperti Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim kerana ingin menggantung ahli akademik yang berpendapat tidak sealiran dengan sesetengah pendapat stereotaip?

Tersenyum sumbing saya membaca fikiran terkemudian (an afterthought) dari rektor profesor yang memberi kenyataan, kononnya Aziz digantung untuk siasatan tetapi masih dibenarkan masuk ke dalam kompaun universiti. Sedangkan Aziz dan peguamnya tetap menegaskan beliau digantung tanpa masa spesifik dan tidak dibenarkan masuk ke dalam kompaun universiti.

Portal berita internet negara ada memperbutirkan sebahagian dari surat yang memberi efek terhadap penggantungan Aziz. Saya dan pembaca budiman boleh menilai sendiri maksud surat tersebut:

“Kindly take note that pending the completion of the University’s investigation into the above allegation and the outcome of any inquiry which the University may wish to conduct, you shall be suspended from service on full pay with immediate effect, until further notice,” the letter reads.

“Please be reminded that during the period of your suspension, you are not authorised to enter the premises of the University without the express written permission of the Dean, Ahmad Ibrahim Kulliyah of Laws.”

Bagaimana boleh jadi begini, Rektor Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin? Kenapa berbeza kenyataan media profesor dengan surat yang dituju kepada Aziz? Maaf cakap, pendapat saya apa yang tergantung di sini cuma maruah dan keterbukaan Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim.

Penggantungan Aziz bersifat pramatang dan berniat untuk menggentarkan (to intimidate) ahli akademik yang lain. Sekiranya selepas siasatan Aziz dibenarkan untuk berkhidmat semula, apa kesan penggantungan sementara itu?

Juga saya amat tertarik dengan pendapat pelajar tahun ketiga di kulliyyah undang-undang sama, Fuad Syazwan Ramli, di mana beliau mempersoalkan tindakan Universiti Islam Antarabangsa dalam mempraktikkan apa yditermakan sebagai discretionary semasa memutuskan penggantungan Aziz. Seksyen 21 Staff Disciplinary Rules 2005 of the International Islamic University Malaysia (IIUM), memberi kuasa kepada pihak universiti untuk menggantung mana-mana ahli akademiknya:

“21. The University may suspend a staff member under this rule pending an inquiry into the alleged breach of discipline by the staff member. The period of suspension will depend on the reasonable time required to carry out an investigation and conclude the inquiry into the alleged breach of discipline.”

Namun, saya bersetuju dengan pendapat Fuad bahawa perkataan may dalam Seksyen 21 itu telah memberi maksud bahawa pihak universiti boleh menggunakan budi bicara semasa hendak menggantung perkhidmatan mana-mana ahli akademik di bawah naungan universiti. Sekiranya budi bicara digunakan, tentu penggantungan Aziz datang secepat ini, bukan begitu?

Dan pesanan saya untuk politikus yang tidak mampu menahan diri dari memberi komen tentang penggantungan Aziz: Walaupun saya percaya kepada kebebasan bersuara, tolonglah, anda itu bukan ahli akademik. Kalau politikus rasa kecil hati dengan pesanan saya, pohon menghormati satu perkara: di ruangan ini, saya bebas bersuara.

Bagaimana modal insan boleh menggapai awan jika suara ahli akademik dikekang? Bagaimana hendak merintis pelopor muda berminda kritis, jika fikiran Aziz kita bisukan?

    Semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Sinar Harian. Pihak kami telah menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca.