BILA bercakap tentang grafiti, pendapat terjana lazimnya berbentuk bipolar. Ada terma grafiti sebagai cabang seni untuk insan meluahkan pendapat, sementara ramai memanggilnya vandalisme – bikin semak mata dan minda memandang, kota jadi cacat dengan lakaran amatur.

Di Kuala Lumpur, ada satu grafiti masih saya ingat sehingga ke hari ini. Ketika merayau-rayau di Pasar Seni lewat tahun 2009 – waktu itu negara sedang meratapi pemergian anak seni unggul, Yasmin Ahmad – saya bertemu antara lakaran grafiti potret paling menyayat hati.

Wajah Yasmin Ahmad sedang tertawa, memberi mesej betapa tulusnya sehayat hidup beliau, dihabiskan dengan berkarya untuk orang-orang seperti saya dan anda.

Sementara itu, gambar anak kecil sedang meratap di sebelah wajah Yasmin, memberi maksud betapa ruginya generasi muda kerana Yasmin telah dipanggil dengan Penciptanya terlalu awal. Siapa lagi mampu berkarya seindah Yasmin Ahmad?

Kini, saya dengar grafiti Yasmin di dinding benteng Sungai Klang antara Pasar Seni dan Hentian Bas Klang itu, sudah dipadamkan. Kenapa penghargaan simbolik begitu dipadamkan pula?

Begitulah fitrah grafiti di dinding awam seantero dunia. Ia memberikan ruang untuk kita mengapresiasi atau memberi tafsiran tersendiri terhadap sesuatu lakaran dibuat. Itu kalau grafiti tersebut memberi maksud tersirat, ada juga grafiti semata contengan lucah yang sumbang di mata, cacat pada budaya.

Ketika membaca laporan akhbar tempatan tentang grafiti di Kuala Lumpur, semasa cuti Hari Natal, saya gembira masalah grafiti ditangani dengan cara berbeza oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). DBKL memantau contengan grafiti di kota ini dengan menganjurkan Festival Kul Sign 2011 untuk memberi ruang kepada pelukis grafiti berkarya.

Kata Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan DBKL, festival itu dianjurkan sebagai usaha menangani vandalisme dan memberi ruang kepada pelukis grafiti yang sering terpinggir. Ketika garis membezakan grafiti sebagai vandalisme atau seni urban masih kabur, DBKL mengambil langkah proaktif. Jika kena caranya, persepsi masyarakat terhadap contengan boleh berubah.

Ada berpendapat jika grafiti itu seni, kenapa tidak dilakarkan dalam kanvas lalu dipamerkan sahaja? Ah, tak mampu saya menjawab pertanyaan seperti itu kerana banyak contengan tangan nakal di Kuala Lumpur yang tidak memberi maksud, sekadar jadi tempat melepas bosan.

Tetapi menurut pendapat seorang style consultant, Pat Lawson Black, seperti dilaporkan di laman portal Australia, www.abc.net.au, garis yang membezakan antara seni dan vandalisme termaktub dalam kualiti dan nilai estetika. Seni jalanan, selalunya melibatkan lakaran besar dan terhasil dengan usaha kolaboratif dalam satu kumpulan seni.

Pat juga bersetuju gejala grafiti ini persis serampang dua mata. Walaupun ia menggalakkan seni dan kebebasan bersuara, jika disalah guna, bakal merugikan duit rakyat untuk memadam dan mengecat semula.

Tapi agak jengkel mengenangkan tindakan bekas Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani, yang mengambil pendekatan mengharamkan grafiti sama sekali. Kata-kata beliau seperti dipetik dalam Murray & Murray, 2002:
“Graffiti is an attack on our communities and our quality of life. Graffiti intimidates residents. It encourages street gangs. It discourages tourists, lowers property values, and invites other kinds of crime”.

Maaf saya tak setuju, jika pendekatan positif seperti DBKL diteruskan, grafiti bakal jadi tarikan pelancong, di samping memberi ruang generasi kota berkarya dengan cara tersendiri. Setiap cabang seni sentiasa menjerit mencari kebebasan, jika dipantau dengan menghalang dan mengharam, padahnya buruk.

Walau kerap dibasuh dan dicat oleh pihak berkuasa, gambar dan lirik lagu dendangan John Lennon kembali dilukis di tempat sama. Jika John Lennon diberi penghargaan sehingga sampai ke Prague, grafiti Yasmin Ahmad harus kekal di benteng Sungai Klang. Apa pendapat DBKL?

* Elviza seorang peguam dan penulis. Temui beliau di http://twitter.com/elviza