Pagi Ahad lepas, kening saya terjungkit dalam keliru semasa membaca laporan akhbar bertajuk: Lack of trained teachers the cause. Laporan itu telah memetik buah fikiran Presiden National Union of Teaching Profession (NUTP), Hashim Adnan, yang berpendapat guru Bahasa Inggeris negara tidak fasih dan kurang arif dalam perkara dasar yang membentuk penguasaan bahasa itu secara efektif. Tambah beliau lagi, bagaimana hendak mengajar murid apabila guru sendiri tidak mahir dengan bahasa penjajah itu.

Maaf, saya tidak setuju dengan keseluruhan pendapat presiden NUTP. Beban penguasaan dan kefasihan seseorang murid berbahasa Inggeris tidak jatuh sepenuhnya di bahu guru. Antara yang memainkan peranan sama penting ialah persekitaran, gaji guru, masa dan sukatan pelajaran.

Setelah bersembang panjang dengan dua guru Bahasa Inggeris di Kuala Lumpur dan pedalaman Sabah, saya berpendapat, perkara tonggak yang menjadikan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan generasi baru tidak memberangsangkan langsung, adalah kerana mereka tidak berminat dengan bahasa lingua franca itu. Bukan masalah kualiti guru. Kedua guru yang bercakap dengan saya semalam amat fasih berbahasa Inggeris, emel mereka juga tiada cela dari segi struktur ayat, tatabahasa dan gaya penulisan.

Sebab mutakhir murid tidak berminat dengan Inggeris sebagai bahasa kedua adalah kerana mereka tidak mempunyai daya kefahaman yang jitu. Contohnya, salah seorang daripada dua guru tersebut, telah mengajukan soalan kepada seorang murid Tahun Lima di sekolah beliau: “how are you today?” Si kecil membalas: “today is Monday.” Di sini jelas menunjukkan anak berusia 11 tahun itu tidak faham konteks soalan ringkas di atas. Apabila tidak faham, tahap minat akan merudum. Bila minat merudum, penguasaan bahasa jadi terbantut. Isu menjana minat ini, saya percaya, bergantung pada pendedahan.

Manakala pendedahan itu pula harus bermula dari usia yang muda. Dan apabila kita berdebat soal pendedahan, kita tidak boleh menuding jari kepada sistem pendidikan semata.

Anak-anak yang didedahkan dengan pertuturan, program TV, bahan bacaan seperti buku dan internet dalam Bahasa Inggeris, secara tidak langsung, akan membawa minat tersebut apabila ke sekolah. Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh bergantung dengan masa tiga setengah jam seminggu, slot mata pelajaran bahasa Inggeris itu sahaja, untuk menjadikan anak-anak kita fasih.

Pesan saya untuk ibu bapa, rancangan kartun bahasa Inggeris jangan dialihbahasakan. Sungguh cacat bila Dora The Explorer bertutur dalam bahasa Melayu. Bahan bacaan awal anak-anak perlu ada dalam bahasa Inggeris. Mereka harus didedahkan dengan laman web dan aplikasi komputer dalam bahasa yang sama. Lebih afdal sekiranya bahasa Inggeris digunakan secara rawak di rumah. Jika salah tidak mengapa, tiada noktah dalam perjalanan menimba ilmu.

Sekarang mari kita lihat profesion perguruan di Malaysia. Adakah mereka diberi balasan gaji setimpal dengan masa diluangkan untuk mengajar, menjalankan aktiviti bersama murid-murid dan menulis laporan berjela panjang setiap hari? Di Singapura misalnya, profesion guru adalah salah satu dari lima pekerjaan yang mendapat gaji tertinggi di kota singa. Guru-guru mereka diasak menjadi lebih kompetitif dengan sogokan gaji dan bonus tinggi setiap tahun. Perkara sama boleh diadaptasi di negara kita untuk menjadikan guru Bahasa Inggeris lebih kompetitif dan bersemangat dalam mendorong anak-anak fasih berbahasa Inggeris.

Singapura juga ambil inisiatif dengan menyerap hanya graduan terpandai untuk menjadi guru.

Sukatan pelajaran yang berkisar setakat di bilik darjah dan makmal komputer sahaja sebenarnya amat konvensional lagi membosankan. Kemahiran berbahasa – tidak kira bahasa apa sekalipun – bergantung pada sistem pembelajaran yang interaktif dan moden.

Sudahkah kita kaji bagaimana negara-negara seperti Amerika dan Australia ajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua kepada komuniti Orang Asli mereka? Apabila sesuatu bahasa itu bukan bahasa perantaraan utama kehidupan, pendekatan berbeza perlu diambil, bukan sewenang boleh menyalahkan guru sahaja.

Program menggaji native speaker sebagai mentor guru-guru Bahasa Inggeris tidak salah, cuma keberkesanan program itu mungkin lambat. Tanggungjawab ini dipikul sama rata oleh ibu bapa dan guru-guru. Ibu bapa harus memberi pendedahan awal, manakala guru-guru pula perlu dibekalkan sukatan pelajaran yang moden dan interaktif. Gabungkan juga peranan internet dan media bukan konvensional untuk menjana minat generasi alaf baru.

Saya pernah bertanya sepupu saya, abang Remy, bagaimana anak perempuan beliau yang baru berusia enam tahun boleh fasih Inggeris? Jawab beliau selamba: “hadapkan saja dia dengan Play House Disney setiap hari.” Dan sebenarnya saya menggunakan resipi yang sama. Jika pembaca budiman tidak percaya, sila cuba.

    Semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Sinar Harian. Pihak kami telah menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca