KALAU diikut sembang si Sigmund Frued, kekuatan manusia hanya ada ketika mereka sedang memperjuangkan sesuatu idea. Jadinya Frued kata, kita akan lemah sekiranya kita membangkang mana-mana gagasan idea. Nyata dia cemerlang, lantang menjaja kosa kata membela idea – yang selalunya menjurus ke arah perubahan dalam fitrah manusia yang neophilia.

Tetapi tidak semua mudah mempercayai idea, apatah lagi boleh menerima perubahan dengan dada yang lapang. Tetap ada prasyarat bahawa tidak semua idea boleh diterima pakai, apatah lagi dilaksanakan.

Walau begitu idea tetap tunjang dalam mengarcakan masyarakat atau kumpulan tertentu. Tanpa idea atau kepercayaan terhadap sesuatu dasar, kemanusiaan kekal terpuruk di takuk lama. Tanpa idea progres akan terbantut, tanpa progres perubahan tak kunjung datang. Tanpa perubahan, peradaban jadi lumpuh.

Kenapa pula minggu ini saya jadi tukang canang mencari idea? Jawabnya senang: saya letih. Letih dengan retorik, lelah membaca hujah si orator yang gah mengkritik, lemah memberi cadangan. Jadi hari ini – melalui penulisan yang tak seberapa –  saya mahu mengajak anda semua jadi katalis satu revolusi. Revolusi memanggil cadangan; revolusi memupuk idea tentang bagaimana kita bisa jadi lebih baik. Malaysia yang bagaimana kita dambakan untuk anak cucu kita.

Melontar kritik tetap perlu demi keseimbangan dalam mana-mana perlaksanaan polisi sesebuah negara. Tapi hati-hati, kritikan yang terlampau, apatah lagi sekiranya dilapisi dengan cita-cita politik mana-mana pihak, risikonya mahal.

Dalam melalui masa-masa mencabar untuk menentukan kedewasaan tanah keramat bumi bertuah ini, saya percaya, idea yang tergarap di atas landasan pendapat yang kukuh, diuji tahap kemampanan di lanai debat ilmiah akan membawa perubahan maha positif. Kita nyahkan rasa takut untuk berfikir secara lantang dan terbuka. Kalau kita sedang mencari kebaikan sejagat untuk negara, tiada yang salah selagi kita belum cuba.

Jadi, mari kita berfikir secara kolektif, membaca sebanyak mungkin, kita jauharikan pengalaman sebelum kita kumpul idea terbaik untuk masa depan dan masa sekarang tanah air. Pohon jangan dilupa platform debat, forum dan konsultasi dalam membentuk idea-idea tersebut sebelum kita bentangkan kepada semua. Jalan pintas atau gopoh, sama sekali tidak dibenarkan.

Kemudian kita bina pemikiran kritis (critical thinking) untuk mengadaptasi idea yang baik, membuang idea yang tak semena. Ini sebenarnya macam proses menampi beras dan antah. Pemikiran kritis yang efektif bukan sekadar berupaya mencari apa yang terbaik daripada pemilihan yang dikemukakan, tetapi juga mengasah kita menajamkan proses berfikir sepanjang berbahas tentang sesuatu idea – dan itu yang lebih penting sebenarnya dalam memupuk kematangan sesama insan. Sekiranya kita benar-benar percaya dengan idea dan hujah kita, maka siri pemikiran kritis inilah yang bakal menjawab bantahan dan soalan si skeptik.

Kemudian, pasca sesebuah idea itu selesai dibina dan disempurnakan, kita hidangkan ia atas dulang kecerdasan emosi (emotional inteligence) untuk bacaan orang-orang yang peka dengan hala tuju sesebuah kota, masyarakat hatta negara itu sendiri. Jangan takut dengan kritikan, jawablah dengan rasa percaya, yang lebih penting lagi pertahankan ia dalam semangat yang menyala. Kerana saya percaya, berjuang mencari kebebasan bertonggakkan idea yang tuntas sebenarnya lebih efektif daripada merajakan amarah di dada.

Kerana saya ini dasar penagih puisi dan prosa, jadi hari ini saya memanggil idea mencari perubahan, kerana saya bimbang tempelak Pablo Neruda jadi nyata: “Sesiapa yang memilih untuk jadi hamba tabiat, yang mengikut jalan yang sama setiap hari, yang tak pernah menukar rentak langkah, yang enggan mengambil risiko dan menukar warna baju, yang tidak bercakap dan tidak menimba pengalaman. Akan mati dengan perlahan.”

Jadi ayuhlah, siapa bersama saya? Kita buka gerai bersembang, gelanggang debat untuk menjana idea demi menata Malaysia yang dewasa.

Elviza masih percaya. Dia tinggal di laman twitter@elviza.