KENAPA selalu ada percanggahan antara si puitis dan si politikus? Kenapa prosa puisi tangkas saja menempelak mana-mana agenda politik yang menjengkelkan? Kenapa – sebagai contoh – orang yang mampu mentafsirkan bait-bait puisi W.S. Rendra, lantang mengkritik Suharto si pencetus Orde Baru Indonesia?

Jika kita rintis jalan politik Asia Tenggara, pada saat-saat getir sebelum Suharto meletakkan jawatan sebagai presiden Indonesia, Rendra telah mendeklamasikan Sajak Bulan Meidi kota Jakarta.

Sementelah itu dia menyentuh ratusan ribu jiwa Indonesia yang berasakan Orde Baru – rentetan penambahbaikan Orde Lama di bawah pentadbiran Sukarno – itu satu rejim maha represif.

Terlopong mereka, meneguk satu persatu lelehan kata-kata dari bibir si tukang puisi. Pada malam 17 Mei 1998, ada tangisan yang mampir. Mahalnya harga kata-kata apabila ditulis dengan jujur, hanya mampu ditukar ganti dengan air mata, wang ringgit tak laku. Si politikus terus bisu.

Jadi hari ini, di ruangan saya sendiri, dalam bingkai fikiran saya sendiri, saya akan tuliskan satu persatu apa yang panas, apa yang kusut antara puisi dan politik. Walaupun puisi tidak wajib jadi pilihan setiap insan, politik tetap mempengaruhi kehidupan.

Secara amnya, politik dan puisi itu sama tapi berbeza. Sama dalam erti kata mereka pakar dalam bidang abstrak, berbeza kerana untuk siapa mereka berjuang dan platform perjuangan mereka tak sama.

Bukan hanya Rendra di Indonesia, Charles Bukowski di Amerika turut disanjung kerana berkarya atas nama mereka yang terpinggir. Bukowski menulis memperjuangkan nasib masyarakat miskin Los Angeles, yang dihinggapi macam-macam penyakit sosial dan dihimpit kebosanan bekerja dalam pekerjaan yang tandus pertumbuhan insan – dalam bahasa mudah, si buruh dan si kolar biru.

Pada akhir hayat, Bukowski diberi gelaran yang menggambarkan karya-karya beliau dengan tepat: the laureate of American lowlife. Pablo Neruda apa kurangnya, walau tidak pernah membezakan antara puisi dan politik – keduanya serupa buat Neruda –  beliau mati sebagai anak seni dalam kemelut politik Amerika Latin.

Neruda berada di puncak karier tatkala dia dicalonkan untuk menjadi presiden Chile,  namun beliau mengundurkan diri. Jelas puisi dan politik sukar bernafas dalam atmosfera yang sama.

Puisi sering digunakan sebagai medium eskapisme si penulis, ditonggak pula atas pilar eksperi dan bahasa puitis. Manakala politik pula kuat berselangka dengan persepsi, orang seni dia peduli apa dengan persepsi.

Mereka merintihi ketidakadilan dengan melankoli, memerangi kejahilan dengan empati. Mungkin juga mereka percaya seseorang penulis atau anak seni itu tidak dibenarkan untuk menangguhkan kebenaran.

Kerana puisi bertutur dengan jujur, sementara politik bercakap dalam agenda masing-masing. Melalui puisi, dalam abstrak ada ketelusan, dalam halus ada kejujuran. Selama politik dan ahli-ahlinya gagal melakar garis antara rakyat dan agenda politik, selama itulah kalian akan jadi subjek kritikan dan bahan cemuhan dalam puisi.

Tapi tidak semua yang dalam politik itu buruk, jangan kerana nila setitik susu sebelanga kita tubakan. Cuma rencam politikus selalu menyakitkan hati para karyawan. Si politikus lazimnya bila bercakap berlapis bohong, bila bersyarah enak didengar tapi janji payah ditunai.

Apa yang paling pantang golongan karyawan adalah apabila politik dijadikan batu loncatan cita-cita peribadi individu. Kalau politikus tak mahu dijadikan bahan karyawan dan si puitis, lapis-lapis agenda yang tiada kena mengena dengan rakyat mesti dinyahkan dari perjuangan. Sekarang!

Dan untuk pembaca serta kawan-kawan tersayang, saya pinjamkan anda kata-kata John Keating dalam filem Dead Poet Society (terjemahan): “Seseorang membaca puisi kerana ia adalah sebahagian dari kemanusiaan, dan kemanusiaan itu penuh ghairah.

Perubatan, undang-undang, perbankan – itu perlu untuk menopang hidup. Tapi puisi, asmara, cinta dan keindahan – ini yang membolehkan kita terus hidup. Puisi itu bahagia, tanpa puisi kita akan bertemu celaka.”

Kalau yang bersilat dalam politik itu faham puisi, mereka akan jadi oasis dalam sahara kejahilan dunia. Setakat hari ini, masih belum jumpa.