Pencapaian asas, kehidupan untuk kebanyakan kita, lazimnya bermula di sekolah. Setiap kali keputusan peperiksaan rasmi negara diumumkan, pasti saya tersenyum tumpang gembira melihat ibu bapa yang meraikan keputusan cemerlang anak-anak mereka.

Tanggal 20 Mac 2012 juga begitu. Pencapaian keseluruhan akademik perintis masa depan negara amat membanggakan sekali. Statistik menunjukkan, 559 daripada 468,808 calon SPM 2011, memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran diduduki, berbanding 403 tahun sebelumnya.

Kita wajib rai pencapaian, tapi jangan lupa setiap tahun pasti ada kejadian tragis dilaporkan tentang anak-anak yang menghukum diri apabila keputusan tidak seperti diharapkan. Ada yang sanggup minum racun dan gantung diri.

Apa yang ada di kepala anak-anak ini sehingga mereka rasa peperiksaan peringkat menengah itu setara hebat dengan nyawa? SPM dan STPM hanya tiket ke menara gading, bukan tiket untuk membentuk insan syumul dan kehidupan sempurna. Mungkin, secara rawaknya, peperiksaan yang diwajibkan ketika bersekolah hanya boleh dijadikan kayu ukur pendidikan awal semata.

Kata Will Durant, bapa falsafah Amerika Syarikat, pendidikan adalah pembetulan progresif terhadap kejahilan kita. Untuk sesuatu yang bersifat progresif, proses pendidikan tidak ternoktah di tangga SPM sahaja, akan terus berkitar dalam hidup kita sehingga minda hilang upaya.

Mana-mana sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan hafalan tidak akan melahirkan bangsa berfikiran kritis atau insan progresif. Maksud saya, modal insan ideal lahir daripada minda kritikal, bijak analisis dan arif mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian.

Sistem pendidikan yang tidak menyeluruh – hanya taksud kepada pencapaian akademik semata bakal melahirkan generasi pak turut- berdepan risiko rasuah, masalah sosial, keruntuhan akhlak dan ketidakmampuan menangani masalah secara efektif.

Falsafah asal pendidikan jadi hambar bila sistem yang ada sekarang tersimpang jauh dari membentuk insan berperibadi mulia dan berminda kritis. Menyerap maklumat dalam kepala saban hari, lalu menguji mereka dengan ujian dan peperiksaan adalah khilaf terbesar kita mutakhir ini.

Saya percaya secara ideal, sistem pendidikan terbaik adalah yang mendorong anak watan mendidik diri untuk memiliki keseimbangan spiritual, keperibadian, kecerdasan akal, kemuliaan akhlak dalam membina bangsa, agama dan negara.

Apabila nilai pendidikan sesebuah negara itu pincang, maka akan lahirlah generasi robot, apatah lagi untuk berfikir di luar lingkungan. Pembelajaran yang memberi fokus kepada peperiksaan sahaja, harus direvolusi semula sejajar dengan matlamat asal pendidikan untuk anak bangsa.

Neil Postman, pemerhati sosial Amerika dalam bukunya, The End of Education, memberi pilihan kepada pendidikan sosial yang tidak terbatas dalam bilik darjah sahaja. Menggunakan kritikan berstruktur, Postman mengenal pasti sistem pendidikan Amerika yang didalangi krisis apabila mereka gagal untuk menginspirasi generasi muda dalam naratif yang menyatukan dan translucent. Sebaliknya, sekolah hari ini hanya mempromosikan ketuhanan dari segi keperluan ekonomi, konsumerisme, perpecahan etnik dan kebencian.

Untuk saya bilik darjah, hatta bilik apa sekalipun memang cara terbaik untuk membunuh kreativiti dan mengekang kebebasan berfikir. Sungguh kata, hanya 10 peratus saya pelajari di sekolah undang-undang diguna pakai dalam mempraktikkan amalan guaman.

Lagi 90 peratus saya pelajari di kamar mahkamah, dengan meneliti dan menganalisis laporan kes, juga melalui cakap-cakap dengan peguam-peguam senior. Semua ini dilakukan pasca masa kuliah di universiti.

Pengamalan itu Kaabah pendidikan sebenar insan. Pengalaman adalah guru terbaik dalam pendidikan, teras pengalaman itu pula datang daripada sikap berdikari, itu kata TH White dalam buku The Once and Future King.

Selagi kita masih berbicara soal pendidikan, saya teringat frasa kata seorang guru dari Pondok Pesantren Madani, Kiai Rais, di Jawa Timur kepada anak muridnya di ambang graduasi: “Anakku, selamat berjuang. Hidup sekali, hiduplah yang bererti.”

Nyata pesanan itu lekat di kepala anak murid Kiai Rais apabila beliau menulis buku tentang pendidikan dan mimpi dalam novel pertamanya yang menggegarkan dunia penulisan Indonesia: Negeri 5 Menara. Seperti Laskar Pelangi, cerita ini juga memberi mesej betapa pentingnya untuk kita kembali kepada semangat pendidikan yang sebenar. Fikir-fikirkan selalu.


• Elviza juga seorang peguam dan penulis. Pohon bertemu minda di http://twitter.com/elviza