Saya mulakan ruangan minggu ini dengan pengakuan tanpa provokasi: saya sering teruja dengan gadjet-gadjet rekaan mendiang Steve Jobs di bawah label Apple. Teruja sehingga sanggup berpisah dengan wang ringgit untuk mempelopori setiap keluaran Apple yang terbaru, tidak kira sama ada ia bernama iPod atau iPad atau iPhone atau MacBook.

Jika ditanya antara rekaan Jobs paling berkesan dalam hidup saya, secara peribadi, saya akan pilih komputer riba MacBook. Bukan saya tidak kagum dengan kemampuan beliau mengahwinkan aplikasi muzik, riadah dan kesinambungan internet melalui iPod Touch; bukan sekejap mulut ternganga melihat inovasi mudah-alih – digelar cross-breed antara iPod Touch dan MacBook – yang diberi nama iPad; tetapi komputer riba MacBook yang saya usung ke hulu ke hilir ini banyak menyenangkan saya semasa menulis ayat-ayat dalam kapasiti sebagai seorang peguam mahupun penulis.

Dan ketagihan tegar saya itu berasas sebenarnya. Pada 2008, tatkala syarikat Apple mula bangkit dari lena panjang dan mula menjana keuntungan melangit melalui jualan komputer model MacBook, saya agak skeptikal tentang produk perisian lain selain Windows. Pada masa sama, hati juga sedang menggelegak dengan komputer riba Acer yang tidak sampai setahun dibeli, sudah lembab digigit virus.

Jadi ubah pendirian lalu menyalahgunakan kad kredit untuk membeli komputer riba MacBook saya yang pertama. Sejak dari tarikh monumental itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang. Kunci MacBook berjaya mencuri hati saya ialah melalui perisian mesra-pengguna, antara muka (interface) yang tidak serabut di mata, disokong pula oleh laman App Store dan aplikasi iPhoto yang bijak dan menyenangkan. MacBook juga menyaksikan saya menulis ribuan hujahan bertulis, afidavit, pendapat, novel, kolum dan terbitan berkala. Pendek kata, kalau dengan komputer lain, semangat untuk menulis dan bekerja itu tidaklah gah mana; dan paling istimewa, MacBook ini telus serangan virus.

Jika sudah begitu ketentuan jalan sistem komputer untuk saya, sudah tentu saya berterima kasih dengan ciptaan Jobs (walaupun mahal). Bukan saya mengagungkan manusia biasa, tetapi seperti telah saya kicau semula di laman Twitter: mendiang Jobs telah bertanggungjawab merubah peradaban moden, sama seperti Darwin dan Einstein (untuk rekod, saya tidak bersetuju dengan teori Darwin secara amnya).

Tetapi ada pula suara-suara sumbang di portal internet, terutamanya di laman Gawker.Com menerbitkan obituari berbaur kecaman apabila Jobs meninggal dunia pada 5 Oktober lepas. Obituari bertajuk What Everyone Is Too Polite to Say About Steve Jobs telah menjadi viral di internet dan dikitar semula sebanyak lebih 91,000 kali di laman Facebook. Menurut penulis obituari Gawker.com, Ryan Tate, walaupun Jobs dianggap separa-tuhan di kalangan perintis komputer dunia, beliau mempunyai tabiat buruk di mana dia sering marah, memperkecil-kecilkan ciptaan rakan sekerja, mencarut secara liberal di pejabat, dan walaupun mempunyai harta anggaran sebanyak AS$ 7 bilion pada saat kematian, beliau tidak pernah terlibat dalam kerja-kerja amal atau menderma di mana-mana philanthropic causes.

Tetapi, saya bersandar kepada balasan yang ditulis oleh Jean-Louis Gassée dalam terbitan berkala, The New Yorker, di mana beliau telah menyanggah: “Steve Jobs wasn’t a god, but lets give him his due”. Manusia dicipta berbeza, peribadi juga begitu, kita tidak boleh menyangkal sumbangan seseorang terhadap dunia hanya kerana mereka insan biasa.

Apa yang menakjubkan produk Apple apabila pengguna merasakan seperti Jobs sendiri yang menghulurkan setiap gadjet terbaru dalam pasaran. Pendek kata, Jobs telah merubah sistem komputer rumah dan telefon pintar agar jadi lebih mudah untuk setiap orang – terutamanya orang-orang kurang bijak teknologi seperti saya.

Revolusi harus berkitar tentang manusia, dan fakta ini telah disimpan rapi dalam hati Jobs, kerana beliau selalu mencipta produk yang lebih slik, versatil, mesra-pengguna dan dipengaruhi fesyen terkini, dan Jobs juga, selain pelopor komputer terulung, tetap menggunakan pengaruh seni kaligrafi dalam setiap ciptaan.

Kalau tidak hebat rekaan iPhone 4 oleh Jobs, bagaimana harus saya jelaskan kepada pembaca budiman, tentang kerenah seorang kawan saya, Sharifah Shahidah, yang sanggup bersengkang mata hingga jam 4 pagi, hanya untuk menunggu pelancaran serentak telefon pintar itu yang disiarkan secara langsung dari Amerika? Dan sebenarnya di dunia ini, ada ramai geek komputer tegar seperti Shahidah.

    Semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Sinar Harian. Pihak kami telah menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca