Ralat: Ruangan minggu lepas ditulis dari Qatar, bukan Abu Dhabi. Pohon maaf. Senja di Istanbul indah sekali. Tiada kosa kata dapat menggambarkan kota yang menyimpan sejarah lebih dari 3000 tahun ini. Merdu laungan azan sahut-menyahut dari ratusan menara masjid di sekitar Sultanahmet. Paling jelas di telinga sekarang, panggilan menunaikan solat Maghrib dari masjid terletak antara Universiti Istanbul dan Grand Bazaar. Terhenti seketika segala tuntutan dunia.

Istanbul yang terbahagi antara benua Eropah dan Asia, menjadi rumah kepada lebih 3,000 masjid dan 600 daripadanya dibina pada zaman empayar Ottoman. Majoriti penduduk kota ini beragama Islam, tetapi mereka juga tinggal harmonis dengan orang Kristian dan Yahudi.

Tetapi yang paling istimewa petang tadi, apabila perasaan jadi halus setenang dinihari tatkala melangkah masuk di mimbar masjid paling gargantuan di kota ini, Masjid Sultanahmet, atau lebih popular dengan nama ‘Masjid Biru’. Mercu tanda Istanbul ini dibina Sultan Ahmet I berdasarkan pelan asal yang dilakar oleh arkitek bernama Mehmet Aga.

Mengambil masa tujuh tahun untuk siap, masjid berusia lebih 400 tahun ini digelar ‘Masjid Biru’ kerana rona sama mengusai mimbar masjid apabila 20,000 jubin di bumbung setinggi 43 meter tersimbah panahan matahari. Kemilau biru dan cahaya lampu di mimbar sahaja sudah cukup memberi khabar hebatnya masjid ini di hati penduduk Turki.

Ada cerita sebalik pembinaan masjid dengan enam menara ini. Ketika baru siap, kontroversi berlaku kerana enam menara itu menyerupai Masjidil Haram di Mekah. Akibat kritikan yang sama, Sultan Turki hantar arkitek beliau untuk menambah menara ketujuh di masjid tanah haram.

Bertentangan Masjid Biru, Hagia Sofia (atau ‘Aya Sofya’ dalam bahasa Turki) turut menjulang langit. Aya Sofya asalnya dibina sebagai gereja oleh Constantine the great di atas kawasan berhala zaman jahiliah. Apabila Constantinople (nama lama Istanbul) jatuh ke tangan Ottoman Turk di bawah pimpinan Sultan Mehmet II, Aya Sofya telah ditukar menjadi masjid imperial. Arkitek berjari emas, Mimar Sinan, telah menambah tiga lagi menara di sekitar Aya Sofya. Aya Sofya kekal sebagai masjid sehingga 1935 apabila Kamal Atartuk memerintah agar Aya Sofya dijadikan sebuah muzium. Pengaruh Kristian dan Islam ada di setiap sudut, sungguh istimewa sekali, tidak pernah saya saksikan di mana-mana sebelum ini.

Berbicara tentang Turki, tidak sah jika nama Selat Bosphorus tertinggal. Setiap hari sejak sampai di sini, Bosphorus dan Laut Marmara pasti saya kunjungi. Selat Bosphorus membelah antara Turki Eropah dan Timur - pemisah antara benua. Terusan selat yang sama turut menghubungkan Laut Hitam dan Marmara, seterusnya mengalir ke Mediterranean.

Rakan saya di Istanbul, Kerem, memandu berjam-jam lama dari pusat bandar raya ke suatu sudut terceruk bernama Rumeli Feneri. Oh, hampir terlupa, sekiranya kita rasa lalu-lintas kenderaan di Kuala Lumpur amat teruk, di Istanbul jarak satu inci antara kenderaan sudah dikira selamat. Kus semangat! Rumeli Feneri - perkampungan kecil yang menjadi titik antara Selat Bosphorus dan Laut Hitam. Jadi hari itu saya minum teh di anjung kedai kopi Turki sambil melihat Laut Hitam.

Semasa kecil dahulu saya bayangkan Laut Hitam ini berwarna hitam pekat seperti dakwat, tapi saya salah. Menurut cerita lagenda, nama Laut Hitam itu diberi oleh pelayar dan lanun yang terperangkap dengan gelora di mana air bertukar jadi hitam. Sementara pelayar Yunani pula menamakan laut ini ‘Pontos Axenos’ bermaksud inhospitable sea. Mungkin warna nilam pekat laut ini disebabkan oleh kedalaman setinggi 1,271 meter.

Istanbul juga menyimpan khazanah dan budaya untuk jualan di pasar besar yang mereka termakan sebagai ‘Kapali Carsi’. Pasar ini mempunyai 66 lorong kecil dengan lebih 4,000 kedai kecil menjual seribu satu macam barang-barang seperti karpet, set cawan teh tembikar Turki, paip tembakau, paip air (shisa) dan jajan untuk pelancong bawa pulang.

Ketika sesat dalam pasar besar ini, saya tiba di persimpangan antara Masjid Beyazit dan Universiti Istanbul di mana saya berjumpa dengan syurga dunia, The Old Book Bazaar, menjual ratusan jenis tafsir Al-Karem, buku-buku lama, lukisan Ottoman dan peta antik. Tapi hati-hati di sini, kebanyakan penjual hanya ingin membuat wang segera. Peta Turki lama zaman Byzantine yang dilukis atas kulit kambing diletak harga sebanyak 220 lira Turki! Walau hati berkenan saya lupakan sahaja. Sampai ketemu lagi minggu hadapan.

    Semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Sinar Harian. Pihak kami telah menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca