LEMBAH Kathmandu menyapa saya datang, pada hari pertama Soshil Koirala dilantik menjadi Perdana Menteri Nepal yang keenam, pada tanggal 10 Februari 2014.

Menurut rekod demokrasi sudah lama lahir di Nepal, namun dekad-dekad seterusnya telah mengekang pembangunan dalam perang saudara antara monarki dan insurgensi komunis.

Tanda peninggalan perang dan pembangunan terbantut ada di mana-mana, bermula dari lapangan terbang Thibuvan hingga ke pedalaman luar Kathmandu.

Berlatarbelakang Himalaya yang gagah, 27 juta rakyat Nepal bertutur dalam dialek yang unik tapi diungkapkan dengan nada cukup lembut – itu perkara pertama yang singgah di deria saya ketika sampai.

Sebenarnya saya sudah berkali-kali mencuba  untuk menulis tentang negara puncak Everest ini; negara yang mempunyai lebih banyak kuil dari rumah; negara tempat tinggal Kumari – the living goddess of Nepal.

Tak tahu apa menghalang, saya tak mampu menulis walau sepatah kata sehingga hari ini.

Tak pernah saya rasa menulis itu suatu perkara yang maha payah. Mungkin hari ini saya perlu ikut pesan Pak Hemingway: “All you have to do is write one true sentence. Write the truest sentence that you know.”

Sekiranya ayat yang paling jujur harus diungkapkan di sini, apa yang benar-benar mengganggu saya sejak sampai: kemiskinan yang terlampau.

Betul saya tahu kemiskinan ada di mana-mana dalam dunia, tapi kemiskinan menghimpit Nepal peritnya berbeza. Kata Liza teman saya, tahap kemiskinan Nepal sama seperti Calcutta dan Utta Pradesh di India, cuma di India lebih teruk kerana mereka punyai slum berceratuk di sepanjang jalan.

Suratan tertulis untuk Nepal berada dalam perang saudara dari  1996 hingga 2006. Mereka juga menukar lima perdana menteri dalam masa lima tahun lalu, dan hingga kini masih belum selesai membentuk perlembagaan negara.

Nyata, jalan untuk Nepal masih panjang. Pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kadar pengangguran tinggi telah menghantar eksodus orang-orang tanah tinggi ini seramai 400,000 setahun ke Malaysia, Qatar dan Arab Saudi. Rata-rata mereka bekerja sebagai buruh, mereka bakal menempuh cabaran yang berbeza di negara asing.

Sebelum pergi lagi mereka sudah dicengkam bayaran wajib agensi pekerjaan yang meletakkan levi setinggi USD 1,000 kononnya merangkumi kos cari kerja, fail, yuran perubatan dan tiket kapal terbang.

Agensi River misalnya, terkenal kerana menyeleweng wang daripada mereka yang mencari pekerjaan di luar Nepal. Manakala Agensi SOS pula, pada 2011 telah menghantar ratusan pekerja Nepal ke Libya, ketika negara itu sedang berada di puncak perang saudara. (Sumber: Worldcrunch.com).

Di Malaysia mereka hidup dengan gaji murah dan keadaan tempat tinggal yang menyedihkan, ada juga terlibat dalam aktiviti jenayah. Di Timur Tengah pula mereka diduga cuaca terlampau panas untuk mereka yang biasa tinggal dalam suhu sejuk di kaki gunung.

Mereka juga disyaratkan untuk menyerahkan pasport dan dokumen perjalanan kepada majikan, ini menjadikan mereka bergantung penuh pada budi bicara pihak majikan.

Tetapi pulangan yang manis menanti mereka di rumah, apabila 25% GDP negara itu bergantung dengan kemasukan wang asing yang dihantar oleh 2.5 juta pekerja asing Nepal di seluruh dunia.

Negara para serpa dan gurkha ini mempunyai fabrik sosial dan kebudayaan yang maha kaya. Mereka murah dengan senyuman dan ucapan namaste untuk setiap pelancong asing dalam bahasa Inggeris yang terhad.

Elemen tradisi dan budaya mengalir di setiap ceruk lembah Himalaya ini dan dipengaruhi unsur-unsur ikonografi kepercayaan hindu dan Buddha.

Dan pagi di Kathmandu tidak sah tanpa deringan loceng dari kuil hindu dicampur dengan bunyi prayer wheel diputar dan iringan suara singing bowl dari kuil Buddha.

Saya ajukan pertanyaan kepada seorang kawan yang berasal dari Kathmandu: kenapa ada lebih banyak kuil dari rumah di Nepal, dan betulkah persepsi saya bahawa orang-orang Nepal tampak lebih alim tentang agama berbanding negara lain?.

Beliau terdiam seketika sebelum menjawab: “religion is a perfect antidote for misery, and poverty.”