SALAM lebaran. Lumrah Ramadan dan Syawal saya sekarang, walaupun membosankan, sudah jadi mapan. Tidak semestinya berada dalam susunan yang tegar, lazimnya ia begini: mula berpuasa, menghadiri majlis berbuka puasa yang tidak boleh dielak-elak lagi, membeli kelengkapan hari raya untuk si kecil dan ayahnya, memesan biskut-biskut raya, menandatangan kad hari raya di pejabat (tahun ini saya hantar kad digital sahaja, langsung jimat masa), menukar duit raya dan duit sedekah, dan akhirnya sampai pada kemuncak segala acara: balik kampung.

Ditindas mimpi-mimpi getir dalam mengejar duniawi, hari raya saya kebelakangan ini, kurang terasa kesannya di jiwa. Mungkin juga faktor usia dan penambahan tanggungjawab mempengaruhi suasana lebaran. Kini hari raya saya lebih klinikal pendekatannya, tiada sinambungan dengan elemen-elemen kemeriahan yang saya kecapi semasa kecil dahulu.

Hari lebaran saya ketika itu tidak banyak beza daripada anda semua yang membesar di luar kota – di sekitar tahun 70-an dan 80-an terutamanya. Walau hidup dalam kasta sederhana, hari raya tetap meriah.

Bunyi-bunyi yang sinonim semasa saya membesar dahulu setiap kali Ramadan tiba dan menjelang Syawal adalah: bunyi geduk tanda sudah masuk waktu makan (kalau tak tahu apa itu ‘geduk,’ sila rujuk Lebai Google atau Kamus Dewan Online. Jangan malas), mercun (yang ini  tak usah dicontohi), dan gegak-gempita segala aktiviti memasak dari dapur nenek. Dapur yang paling banyak membentuk tunas rasa juadah hari raya saya. Dari ketupat dakap hingga ke ayam kerutuk, kalau tiada juadah kegemaran, hari raya tidak pernah sempurna.

Dan sebenarnya hari raya itu tiada makna tanpa dihambat nostalgia, bukan begitu pembaca budiman? Nostalgia itu pula merupakan suatu bentuk eskapisme untuk insani. Kenapa saya katakan di sini bahawa lebaran hambar makna tanpa nostalgia?

Tunggu sahaja menjelang Syawal, hampir seluruh negara akan tertunggu-tunggu untuk menjadi tukang komen tak bergaji tentang iklan-iklan komersial hari raya di kaca TV – atau sekarang mereka juga berleluasa di laman YouTube.

Nostalgia juga sebenarnya sahabat karib kepada emosi. Lantaran itu iklan-iklan hari raya bertemakan nostalgia jadi kegemaran ramai. Bermula daripada garapan arwah Yasmin Ahmad di era 90-an, apabila beliau mula-mula mengajak kita menyambut ‘Kongsi Raya’ bersama.

Yasmin bijak menggabungkan komponen-komponen nostalgia, emosi dan silaturahim dalam suatu perjalanan yang maha kreatif. Kesannya pula terus bermastautin di hati. Klik di sini untuk menyegarkan kembali memori anda: http://www.youtube.com/watch?v=AHVsb-nSII8.

Siapa pun tidak akan lupa kesan yang ditinggalkan juga oleh Yasmin, melalui iklan raya Ombak Jahat yang melemaskan emosi, lakonan dua kanak-kanak yang menunggu kepulangan bapa mereka yang bekerja sebagai nelayan di laut. Gerabak adegan daripada susur ombak besar hingga ke dalam kedai kopi, kesemuanya meruntun hati. Klik di sini: http://www.youtube.com/watch?v=5bemZQucc9Y.

Terdapat juga iklan hari raya yang menggabungkan elemen nostalgia, emosi dan satira humor. Ingat lagi iklan kisah janda anak tujuh yang bertanya kepada anak-anaknya: “Daging mana? Hati? Limpa?” Maka Menggelupurlah ketujuh-tujuh anak yang terlupa pesan ibu di hari memasak. Akhir jalan cerita amat menggelikan hati. Klik di sini: http://www.youtube.com/watch?v=9WIEsT__kn0.

Untuk tahun 2013, iklan hari raya yang paling sesuai untuk anda – sekiranya anda ketagih internet seperti saya – ialah siaran syarikat telekomunikasi gergasi Maxis: http://www.youtube.com/watch?v=xKh586vnSpc.

Walaupun tidak berjela dengan dialog air mata atau penuh dengan adegan merintihi kepayahan hidup, mesej yang cuba disampaikan tetap jelas. Jangan dipertaruh silaturahim untuk memberi laluan kepada gajet dan aplikasi internet.

Tapi saya tahu, kita insan selalu lupa dan kerap lalai. Jadi molek kita ambil pendekatan seperti yang disyorkan oleh si Oscar Wilde: Pengalaman adalah nama yang beri setiap orang terhadap kesilapan-kesilapan mereka. Selamat hari raya. Maaf zahir batin.


• Elviza sudah tiba di Tanah Rendah Sekebun Bunga tatkala ruangan ini disiarkan.