JIKA benar kuasa politik berada di tangan rakyat dan pengundi, persepsi pula adalah molekul yang membentuk kuasa tersebut. Tiadalah yang lebih berkuasa dalam politik selain daripada persepsi – ia boleh menubuh atau meroboh sesebuah kerajaan di atas mana-mana paradigma demokrasi.

Lewat ini – dalam arena politik Amerika Syarikat misalnya – calon paling popular parti Demokrat untuk Pilihan Raya Presiden 2016, Hilary Clinton, kini sedang tersadung dalam skandal menggunakan e-mel peribadi ketika beliau menjawat jawatan Secretary of State di Rumah Putih.

Dalam sidang akhbar susulan pula, penjelasan Hilary tampak terlalu dirancang, ditambah pula dengan bahasa tubuh yang defensif. Kombinasi begini telah menerbitkan persepsi ragu-ragu rakyat Amerika terhadap kredibiliti Hilary. Adakah beliau bercakap benar, atau ada sesuatu yang cuba disembunyikan? Terus merudum populariti beliau dalam setiap pungutan suara yang dianjurkan oleh media antarabangsa.

Kalau mengikut congakkan saya yang masih belum habis belajar, Hilary Clinton cukup layak untuk jadi calon Demokrat dalam pertembungan dua hala untuk menentukan presiden baharu tahun depan. Tapi skandal e-mel itu, sekiranya tidak ditangani dengan bijak boleh menjejaskan peluang Clinton diangkat sebagai calon presiden.

Jelas persepsi masih raja dalam menentukan untung nasib ahli politik di atas neraca demokrasi sesebuah negara. Persepsi negatif, sekiranya tidak disanggah dengan betul dan tangkas, bakal jadi sesuatu yang pejoratif.

Kebijaksanaan mengurus persepsi – terutamanya di alaf digital – sangat mustahak dalam setiap pejabat politik. Boleh jadi kawan yang menguntungkan, boleh juga jadi lawan yang sukar dibendung. Kalau kita ambil petua Harold Lasdwell yang mendefinisi politik sebagai who gets what, when and how, persepsi tetap faktor untuk mana-mana politikus mendapatkan apa, bila dan bagaimana.

Justeru, permainan politik persepsi lazimnya berlari sehala dengan politik populis –  walaupun apa yang popular tidak semestinya betul, apa yang popular lazimnya jadi pilihan. Dalam lingkungan Nusantara ini saja, Indonesia misalnya sebagai contoh, politik persepsi sudah dapat dilihat seawal pemilihan presiden tahun 2004.

Susilo Bambang Yudoyono dipilih kerana rakyat Indonesia berada di bawah persepsi bahawa SBY mampu memberi nafas baru untuk Indonesia. SBY juga dikira boleh dibawa ke pentas antarabangsa kerana beliau berprofil tinggi. 10 tahun kemudian, Indonesia sedar mereka memerlukan sesuatu yang lebih daripada persepsi atau profil tinggi semata.

Di Eropah juga begitu, baru-baru ini Greece mengundi perdana menteri baharu yang muda, Alexis Tsipras yang berjanji untuk tidak tunduk pada permintaan Eropah agar Greece memanjangkan tempoh program bailout ekonomi mereka. Tapi saat ruangan ini ditulis Greece masih dihambat waktu, masih berada dalam kegawatan kewangan yang genting.

Seperti yang anda dan saya tahu, dalam membawa wadah perubahan, kita tidak hanya memerlukan sebuah konsep malah perlaksanaan konsep itu yang lebih getir sebenarnya.

Petua mengurus persepsi ini sebenarnya berserampang dua: waktu dan authenticity. Waktu dalam erti kata, kalau terkurung dalam persepsi negatif, pohon jangan tunggu lama untuk menjawab. Setiap tuduhan wajib dijawab dengan segera. Segera ini bukan 48 jam, bukan seminggu tempoh masa yang diambil untuk menjawab. Segera itu sekarang, dalam hari yang sama agar persepsi negatif itu tidak terus menular. Bukannya menunggu hingga isu sudah basi baru terkial-kial mengeluarkan kenyataan akhbar.

Tetapi, senjata sebenar untuk membunuh persepsi negatif adalah authenticity – ketulenan sesebuah jawapan-balas atau alasan yang diberi. Ketulenan juga berkait rapat dengan kejujuran dan kemampuan untuk mengaku salah sekiranya kita benar-benar salah. Kerana ketulenan boleh memperkukuh kepercayaan rakyat kepada kita, ketulenan terlalu gah untuk digoyah oleh mana-mana persepsi.

Syahadan, apa yang saya tuliskan ini bukan perkara baru, malah ia patut jadi pegangan setiap ahli politik yang mahu relevansi mereka lestari di hati rakyat. Permainan persepsi ini walaupun sudah tua, kini dipinjamkan momentum baharu yang kuat dengan kewujudan internet dan media sosial. Ingat-ingatlah selalu.

Waktu tak pernah menunggu, ketulenan juga tak harus menunggu.


*Elviza seorang penulis di metropolis Kuala Lumpur