Salam dari Athens, Greece. Sebentar tadi, ketika sedang beratur di hadapan kaunter tiket sistem keretapi metro Athens, hati tidak keruan memikirkan platform yang mana bakal dituju untuk sampai ke Monastiraski. Berdiri di stesen Syntagma, walaupun peta di tangan dalam bahasa Inggeris, seluruh sistem metro, termasuk papan tanda dan penunjuk arah, ditulis dalam dua bahasa sahaja: Yunani dan Latin. Kedua-duanya saya tidak faham sepatah haram.

Tiba giliran di muka kaunter, seorang wanita yunani sebaya dengan saya memotong barisan untuk mendahului semua di belakang. Saya tercengang, dalam hati meradang, tetapi memandangkan saya ini di tempat orang tidaklah lidah selancang bila berada di Kuala Lumpur. Lelaki separuh umur di belakang saya menuju ke tingkap kaunter lalu diketuk kuat untuk menarik perhatian si penjual tiket.

Kemudian mereka bertiga bertengkar dalam bahasa yang asing di telinga. Tapi dari pengamatan lenggok badan dan air muka mereka, saya tahu lelaki itu memarahi si pemotong barisan. Penjual tiket pula turut sama membebel kepada perempuan itu. Sudahnya beliau mengalah lalu beransur ke belakang barisan. Saya tercengang menyaksikan dengan drama yang berlaku.

“I am sorry she treated you that way, not all of us are like that.” Lelaki tadi memohon maaf bagi pihak si pemotong barisan. Saya tersenyum lalu terus membeli dua tiket. Semasa berjalan turun ke platform, saya dan suami tergelak sesama sendiri. Gelagat manusia, tidak kira di mana destinasi, tidak banyak beza sebenarnya. Sentiasa ingin cepat dan mementingkan diri sendiri. Tapi kata lelaki Greek itu tadi benar, tidak semua insan begitu. Sebenarnya saya bersusah-payah mencari tempat bernama Monastiraki – walaupun terpaksa bertukar dua keretapi metro dari hotel – kerana saya ingin mencari kedai seorang tukang kasut. Pergi beribu batu hanya ingin mencari tukang kasut? Tapi di kota Athens ada seorang tukang kasut istimewa: Stavros Melissinos. Beliau istimewa di mata saya kerana dia juga seorang penulis puisi terkenal. Puisi, drama, esei dan rubaiyat karya Melissinos sangat tersusun lagi indah dan telah dialih-bahasa dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, French, German dan Itali.

Seorang penulis dari Canada, Jason Schoonover, pernah bertanya kepada Melissinos kenapa seorang pujangga terkenal seperti beliau masih mahu bertukang kasut? Jawapan tulus Melissinos menghantui minda saya sehingga ke hari ini: “A writer who does nothing but write is like the moon, which gives off some light, but borrowed from the sun. A writer needs first-hand experience, which only working in another field can give him. Otherwise he is rewriting what he has read in other books.” Pengajaran paling berharga daripada Melissinos untuk setiap penulis di dunia. Sekiranya mimpi saya untuk jadi penulis jadi nyata, saya enggan jadi seperti bulan yang hanya menyimbah sedikit cahaya tetapi meminjam selebihnya daripada matahari.

Namun Stavros Melissinos sudah terlalu tua dan uzur untuk datang ke kedai setiap hari. Jadi petang musim luruh di Athens itu, hanya menemukan saya dan cucu beliau, Pantelis Melissinos, yang mengambil-alih tugasan datuknya.

Pantelis menyambut saya dengan senyuman manis. Mungkin kerana faktor rupa saya yang asing dari pelanggan lain dalam kedai (yang rata-rata berkulit putih dan bertutur dalam loghat Amerika pekat), Pantelis menegur saya dengan ramah. Dari mana saya datang? Soalan beliau yang pertama saya jawab dengan bangga. Sudahnya saya pula yang kena menjawab soalan beliau tentang pulau-pulau indah di Malaysia.

Setelah sandal saya diukur dan diubahsuai mengikut ukuran kaki yang paling sempurna barulah Pantelis bertanya kenapa saya datang dari jauh mencari kedai beliau. Saya jawab dengan jujur: “Bait-bait puisi datuk mu selalu menghantui mimpi.” Pantelis mengangguk lalu menghulurkan buku tandatangan pelawat kepada saya. Tambah beliau: “Write your name and email there, my grandfather will write to you back.”

Sandal dan kasut di kedai ini berharga sederhana, walau tidak pernah lengang dengan pengunjung. Bila saya bertanya kepada Pantelis kenapa harga sandal saya hanya 26 Euro sedangkan nama kedai Melissinos sudah terkenal seantero dunia. Jackie Onassis, Sohia Lauren, Garry Cooper, The Beatles, Barbara Streisand, Queen of Spain, adalah antara nama-nama yang pernah sampai ke mari.

Kata Pantelis, ketika datuknya mula-mula membuka kedai kasut ini selepas Perang Dunia Ke-2, orang-orang Yunani tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli kasut atau sandal yang mahal. Satu hari, koreografer Inggeris telah datang ke kedai lalu meminta enam pasang sandal spartan untuk dibeli. Selepas kedai datuknya jadi popular dalam kalangan pelancong, tetapi harga tetap dikekalkan agar semua orang dapat memiliki sandal Melissinos.

    Semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Sinar Harian. Pihak kami telah menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca