KADANG-kadang Kuala Lumpur tak sedar ia berdosa, jadi rumah untuk orang-orang yang jahil.

Untuk terus jahil pada era Revolusi Industri ke-4 ini – yang didesak habis-habisan dengan kuasa internet – adalah suatu pilihan, sama sekali bukan desakan.

Antara gelisah existential saya yang paling menghimpit adalah deru informasi dan ilmu yang terlalu deras, tapi saya miskin masa. Sekeliling saya juga sering berantakan, menjadikan ruang untuk membaca kurang polos.

Jadi waktu bila dicuri, tetap ada ruang untuk sendiri. Dan selalunya saya memilih untuk tinggal di antara rak-rak buku toko Kinokuniya, bukan sehari dua ini sahaja, malah sejak 16 tahun lalu. Nyata, di Kuala Lumpur masih ada tempat yang perlahan.

Tapi minggu lepas, Kinokuniya berubah menjadi seorang kekasih yang curang sebab menggaji seorang pekerja yang jahil. Di sana – hatta di mana-mana toko buku terkemuka dunia, dari Waterstone di kota London hingga toko Gramedia di Jakarta – keadaan orang membaca atas lantai itu hampir monolitik. Sama saja perangainya di mana-mana. Poskod lohong tiada makna. jika anda seorang pembaca, di mana sekalipun anda tetap membaca.

Tapi hari itu saya dilarang dari membaca di atas lantai, saya diarah menggunakan bangku-bangku yang disediakan dalam kedai. Lalu saya jawab begini:

“Ok, tiada masalah. Tapi tengoklah, ramai orang membaca atas lantai kerana kerusi tak cukup. Lagipun saya tak menghalang laluan.”

Si cantik manis, tinggi lampai, berhijab kemas, bertanda nama itu menjawab:

“Kalau tak nak ikut peraturan kedai, boleh pergi perpustakaan.” Dia mencemuh saya dengan sinis.

Bila mendengar jawapan si manis, dada saya disumpah inferno menyala-nyala! Rasa seperti berada dalam buku A Season In Hell tulisan si Rimbaud, bukan kedai buku yang merayu-rayu.

Saya tidak marah kerana dilarang membaca di lantai, saya marah kerana institusi peradaban dunia hampir sempurna – perpustakaan – berada di tempat yang rendah di mata anak bangsa saya sendiri.

Di mana salah kita. 60 mengisi kemerdekaan, kita telah melahirkan generasi yang begini. Apa jawapan yang kita ada? Untuk saya, si manis itu memilih untuk jadi jahil.

Bacalah sejarah yang mengagungkan ilmu dan pengetahuan dan lihatlah apa yang terjadi kepada tamadun yang menghina, membakar buku dan jurnal.

Bagaimana zaman keemasan Islam punah ronyok angkara kejahilan; bagaimana Baghdad yang gah akhirnya tumpas; bagaimana Baitul Hikmah yang jadi nadi peradaban manusia itu hancur luluh – semua angkara kejahilan.

Tamadun kita tidak bermula dengan orang yang jahil, tamadun lahir dari minda-minda yang celik dan cerdik. Mesir abad ke-5 sebelum Masihi misalnya, jadi pusat penguasaan ilmu pengetahuan, jauh lebih awal dari tamadun-tamadun sebelumnya. Irigasi bandar diatur baik, seni pahat dan lukisan begitu juga, tak lupa ilmu astronomi dan seni bina.

Peradaban Islam berada di kemuncak semasa dinasti Abbasiyah. Islam jadi kiblat untuk seantero dunia, jadi ikutan dan teladan. Zaman Abbasiyah itu hebat bukan kerana keluasan kawasan atau kuasa, ia hebat kerana penguasaan ilmu pengetahuan yang tiada batas.

Bermula dari ilmu agama, kepada seni dan seterusnya industri, kehakiman, kesusasteraan, navigasi, falsafah, sains, sosiologi dan pembangunan. Segalanya berpusat di sebuah perpustakaan: Baitul Hikmah.

Khalifah Harun Al-Rashid menyanjung, menyokong dan menyebarkan peranan Baitul Hikmah tanpa kenal erti lelah. Malang, beberapa generasi selepas Harun Al-Rashid, Baitul Hikmah dinodai serangan Hulagu Khan pada tahun 1258.

Ahli-ahli sejarah sependapat bila menceritakan bagaimana Baitul Hikmah hancur, jadi sama rata dengan tanah. Buku-buku panduan dan catatan dibuang semuanya ke sungai Tigris yang tidak bergegas arusnya di kota Baghdad.

Tujuh hari tujuh malam, air di Sungai Tigris jadi merah dan hitam: merah dari darah para ilmuwan dan filsuf yang dibunuh, hitam dek tinta yang luntur dari buku-buku yang tidak lagi dikenang. Lalu yang tinggal bila peradaban disepak terajang?

Sejarah dunia moden juga begitu. Masih ada kejahilan yang menikam peradaban. Malam yang gusar di Berlin pada tanggal 10 Mei 1933, menyaksikan lebih 20,000 naskhah buku yang dikira menentang ideologi nazi – dibakar dalam unggun yang besar. Menangis jadi abu karya Henirich Mann, Erich Maria Remarque atau Joachim Ringelnatz.

Sumbangan apakah mereka ada apabila catatan minda dan pendapat dibakar?

Betul. Buku, internet, dan perpustakaan hanya sekadar medium. Jambatan yang mengantara minda dan ilmu. Tapi tanpa institusi yang teduh, pengetahuan kita tak mungkin ampuh.