Setiap kali saya membaca tentang perkembangan atau mendengar wawancara yang dihadiri ahli-ahli persatuan Obedient Wives Club (OWC), hati akan terdetak, tiadakah ilmuwan dan bijak pandai wanita lain yang ingin mengambil pendekatan berbeza?

Saya tidak memperkecilkan OWC, tetapi sepanjang mengikuti lontaran pendapat dan wadah perjuangan mereka, minda saya tercabar sungguh. Itu belum lagi saya telaah buku berjudul, Seks Islam (terbitan OWC), kerana buku tersebut diharamkan penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri. Sepanjang OWC mendominasi media dengan cadangan-cadangan radikal (selalunya langsung tak masuk akal) mereka, saya rasa amat perlu kita mempunyai pendekatan alternatif, dari kumpulan wanita yang berlainan, tetapi tetap membawa wadah sama: memperkasa wanita.

Jujur kata, pendekatan yang memanggil wanita untuk menjadi submissive atau docile kepada suami dalam segenap aspek kehidupan – termasuk seks dalam kes OWC ini – amat memualkan kerongkong saya. Perkahwinan atau hubungan fizikal dan rohani sesama insan perlu bernafas dalam rasa hormat seimbang dan sikap saling mempercayai.

Maaf cakap pembaca budiman, walau apa pun bahas OWC tentang poligami – untuk saya secara peribadi – poligami itu mudah di mulut, senak di perut. Sekiranya OWC memerlukan reality check, ramai wanita yang mempunyai toleransi sifar apabila bercakap tentang poligami atau perlu menjadi submissive tanpa punca terhadap suami.

Berbalik kepada isu pendekatan berbeza dalam memartabatkan wanita, pagi Ahad lepas, saya bertemu apa yang saya cari. Sebuah akhbar tempatan telah menerbitkan feature artikel mengenai sebuah group di laman, media sosial Facebook: Wibawa Women (WW). Khabarnya, grup tertutup ini hanya dianggotai pengamal laman Facebook yang diluluskan penatausaha WW. Setiap pengamal laman Facebook yang ingin menyertai grup tertutup ini, perlu melalui proses saringan yang ketat.

Ah, amat mementingkan eksklusiviti grup ini, apa yang mereka perjuangkan?

Merentasi beberapa panggilan telefon dan pertukaran mesej di antara saya dan kenalan atas kenalan, saya berjaya meloloskan diri ke dalam grup Facebook WW. Setelah menelaah setiap wall post dan artikel tulisan Hariati Azizan, saya ditindas mimpi-mimpi getir milik pengasas grup WW: Nik Elin Nik Rashid dan Dina Zaman. Terasa diri sangat kerdil berbanding dengan gergasi-gergasi pejuang hak wanita seperti mereka.

Menelusuri benang objektif dan harapan penubuhan WW, grup ini berhasrat memperkasakan wanita melalui pengetahuan lebih mantap dan kesedaran hakiki mengenai hak-hak orang perempuan. WW dibuka khusus untuk wanita-wanita yang telah bercerai, sedang melalui proses perceraian atau sedang berfikir, sama ada untuk bercerai atau tidak. Perempuan-perempuan bujang juga dialu-alukan untuk menyertai.

Memetik kata-kata Nik Elin, beliau enggan melihat wanita menjadi seperti lembu dicucuk hidung, taat membabi-buta kepada suami. Jadi, grup ini dikhususkan untuk wanita sedang mengalami waktu-waktu mencabar dalam hubungan dengan pasangan masing-masing.

Sementara Dina Zaman pula bersetuju, grup WW ini boleh dijadikan platform kepada wanita untuk bertukar pendapat dan pengalaman masing-masing. Beliau percaya ramai wanita berjaya dan tidak bergantung kepada sesiapa, memilih untuk terus berada dalam hubungan tidak sihat kerana tersungkur dalam tekanan untuk berjaya dalam segenap aspek kehidupan. Masyarakat yang kerap melekatkan stigma kepada perempuan bercerai dan ibu tunggal juga tidak banyak membantu dalam kes-kes seperti ini.

Pada saya, WW tidak ditubuhkan bagi menggalakkan wanita berkahwin yang bermasalah untuk bercerai, tetapi mengasaskan bahawa kadang-kadang perceraian adalah pilihan terbaik apabila segala usaha menyelamatkan perkahwinan menemui jalan buntu.

Hidup ini, walau sering sarat dengan cubaan, sentiasa menghidangkan pilihan hanya apabila kita benar-benar inginkan perubahan.

Menulis secara realistik, saya bangga kerana WW memartabatkan wanita dan pilihan yang ada dalam agama dan undang-undang, juga untuk wanita. Apabila seseorang perempuan berada dalam kemelut emosi dan kesihatan mental yang negatif dalam sebuah institusi perkahwinan, beliau harus dibantu untuk membezakan antara yang hak dan batil.

Tiada guna mendambakan cinta jika ia jadi dalang dalam kesihatan mental, rohani dan fizikal orang perempuan. Ralat: Ini bicara saya si pesimis tegar bila sampai soal cinta. Untuk perempuan-perempuan yang sedang membaca ruangan ini, tepuk dada tanya minda.

Mungkin saya berat sebelah, malah kenyataan susulan ini juga berbentuk pedantik, tapi pembaca budiman, tangan yang mengayun buaian itu kuasanya boleh menggoncang dunia. Sekiranya tangan kamu perempuan, sedang bergetar dalam hubungan yang tidak normal, tekan papan kekunci dan tetikus di tangan, grup Facebook WW mungkin boleh membantu.
* Elviza Michele Kamal juga seorang peguam, temui beliau di http://twitter.com/elviza