Setiap kali mengunjungi keluarga besar Karangkraf di Shah Alam, bilik Encik Abdul Jalil Ali adalah destinasi pertama saya tuju. Tanpa temu janji, tanpa panggilan telefon terlebih dahulu, saya akan redah melulu mencari beliau. Sungguh kurang sopan. Bukan apa, jika bersembang dengan orang lama dalam dunia kewartawanan, banyak sekali ilmu percuma dapat saya curi. Pengalaman kata pepatah, guru paling berkesan dalam kehidupan.

Sembang kami Rabu lepas berkisar media secara umum; perang antara media baru dan lama secara khusus. Walaupun usia kami agak ketara jaraknya, Encik Jalil mempunyai genggaman pendapat di luar kotak fikiran biasa bila berbicara perihal meda baru. Kata orang putih, amat ‘refreshing’ sekali.

Berbicara peranan media, saya teringat kata-kata penyanyi rock lagenda Amerika, mendiang Jim Morrison, yang berbunyi: Whoever controls the media, controls the mind, dan benak fikiran seseorang merupakan aspek kemanusiaan yang paling sukar untuk dijajah.

Peranan media, lama atau baru – persis serampang dua mata. Selain menyampaikan berita mutakhir, juga medium untuk menjana dan mengukuhkan ideologi-ideologi yang relevan dengan masyarakat hari ini. Selagi media berpegang teguh di paksi kieterbukaan, nescaya kredibiliti mereka sebagai penyampai maklumat dan penjana minda akan utuh di hati rakyat.

Bagi saya secara peribadi, peranan media sebenarnya amat eksotif kerana bukan senang untuk meyakinkan pembaca atau pengamal media sosial tentang wadah pendapat kita. Mungkin pendapat saya sedikit idealistik (macam bagus sebenarnya), namun dengan menerapkan elemen ekspresionis, kejujuran melampau dan menonjolkan anda itu insan biasa sahaja, sesiapapun boleh memenangi fikiran dan persepsi pembaca.

Amat dangkal sekali jika kita hanya mengeluh tentang hebatnya kesan dan pengaruh media baru jika hendak dibandingkan media konvensional. Dakap kedua medium itu dekat di hati, jangan tiris apabila menjawab soalan diajukan, biar semua telus tanpa sempadan. Rakyat sudah lama matang. Mereka jauhari media lama dan baru, lantaran segala manikam dan batu permata tidak lepas daripada pandangan mata mereka.

Maaf cakap, tetapi sesebuah media itu bakal kalah dalam perang persepsi apabila hanya berkiblatkan tuan politik masing-masing sahaja. Bagaimana anda ingin menggembleng keterbukaan, menjana fikiran dinamik anak watan hanya dengan mengkritik pihak lawan setiap masa? Apa yang rakyat dahagakan dari media tanah air adalah idea dan keterbukaan. Kalau terkhilaf dalam sesuatu polisi atau bila bercakap, tidak mengapa, bukankah kita semua insan?

Sebenarnya media baru nampak gah bila duduk sebelah-menyebelah dengan media lama hanya disebabkan oleh faktor komunikasi interaktif dan kepantasan – itu sahaja. Kita tidak boleh salahkan generasi muda yang lebih cenderung percaya kepada media baru, kerana cara sesetengah media lama mengendali berita dan pendapat juga menjadi faktor kenapa mereka dipulaukan lewat ini.

Terus terang saya katakan, kalau dari kem Barisan Nasional, cuma Ahli Parlimen Rembau dan Kota Belud sahaja amat proaktif menjawab segala soalan – termasuk tohmahan di media baru. Seperti saya katakan sebelum ini, perkara media ini perkara persepsi. Kalau kalah perang persepsi, apa yang dibuat semua tak menjadi. Bukan begitu pembaca budiman?

Tidak semua yang dipropagandakan di media baru itu tepat fakta, tetapi media konvensional masih boleh diberi nafas baru dengan lebih menonjolkan diri di dunia maya. Menurut kajian Hewlett-Packard’s Social Computing Research Group, media sosial sekarang sedang mengalami percambahan secara eksponen dengan menjana partisipasi pengguna secara masif dalam mengemas kini, menyuarakan pendapat, menyebar dan berkongsi secara rawak setiap berita yang dimuat naik di laman internet. Jadi sekiranya media lama menggunakan pendekatan ini, nescaya mereka tidak luput daripada senarai media kegemaran.

Akhir kalam, saya sangat teruja apabila Perdana Menteri turut menyokong pendapat bahawa penapisan artikel dalam majalah The Economist baru-baru ini kurang bijak. Kata beliau lagi “tindakan menapis dan melakukan sekatan terhadap media meskipun laporan yang disiar bertujuan memburukkan kerajaan, bukan lagi tindakan efektif dan relevan dengan landskap politik serta kecanggihan teknologi pada hari ini.” Seingat saya, sejak mula menulis dengan Sinar Harian, inilah kali pertama ulasan saya dan beliau berada di landasan yang sama. Ah, dunia...
 

  • Semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Sinar Harian. Pihak kami telah menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca.