KUALA Lumpur, sungguh saya cinta. Walau mungkin tidak sehebat cinta Carrie Bradshaw terhadap New York; tak setara perasaan Hemingway terhadap kota Paris tatkala menulis A Moveable Feast.

Tapi fitrah perasaan cinta itu tetap sama walau di mana, ia mengajar insani perihal dua polar perasaan paling ekstrem dalam hidup: bahagia dan derita.

Metropolis Kuala Lumpur juga begitu. Tak kira betapa cela di mata orang lain, untuk saya kota ini tetap suatu yang familiar, tempat yang saya tahu hujung pangkalnya.

Sama seperti tanah kelahiran di Kuala Krai, tanah persekolahan di Kuala Terengganu dan tanah kembara di utara Inggeris. Cuma satu, Kuala Lumpur ini letih, saban hari perlu menelan jumlah kenderaan yang makin lama menyesakkan dada, menumpulkan minda.

Walaupun kesesakan trafik KL tidak seteruk Jakarta atau Bangkok, namun bila tiba awal penggal persekolahan, musim hujan dan ditambah pula dengan faktor pembinaan MRT sekarang – ya ampun, boleh jadi gila dibuatnya bila terperangkap dalam kereta berjam-jam lama. Urbanisasi ini sungguh boleh membunuh jiwa.

Tak tercongak kerugian dalam bentuk masa dan wang ringgit, ketagihan kita berkereta turut meracun udara dan ekosistem dunia. Badan lemau tanpa senaman. Nak bersenam apanya kalau jam 7 malam masih dalam kereta? Jadi bagaimana kita boleh mengekang kebergantungan dengan kenderaan di dalam kota?

Saya harap bila MRT beroperasi sepenuhnya dan perluasan rangkaian LRT selesai, ia dapat melegakan sedikit esofagus kota ini. Tapi sejauh mana MRT & LRT dapat menyelesaikan kebergantungan warga KL untuk berkereta ke sana ke mari?

Lewat tahun 2013, penulis The Guardian, Charles Montgomery, menulis kisah Enrique Peñalosa, mayor Bogotá, Columbia, Amerika Selatan. Peñalosa mengisytiharkan perang terhadap kereta dalam Bogotá. Beliau mengetepikan projek pembesaran lebuh raya dan mengkhususkan sebahagian besar belanjawan untuk membina beratus batu lorong basikal, rangkaian taman hijau dan plaza pejalan kaki. Pemandu kereta dilarang guna kereta lebih dari tiga kali seminggu untuk keluar masuk kota Bogotá.

Genap tiga tahun sebagai mayor, Peñalosa telah mencabar warga Bogotá untuk  menyertai sebuah eksperimen. Pada 24 Februari 2000, kereta diharamkan sama sekali berada di atas jalan kota raya itu.

Tanggal yang sama juga telah merekod sejarah apabila dalam tempoh empat tahun tiada sesiapa mati dalam kemalangan jalan raya.

Kadar admisi hospital jatuh satu pertiga dari hari biasa, bacaan jerebu juga turun mendadak.

Apa lebih manis untuk Peñalosa bila warga Bogotá berkata mereka lebih optimistik tentang hidup berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Saya mengaku pernah menjual idea untuk warga KL berbasikal, sama seperti mereka di Tokyo, Copenhagen dan Paris. Tapi idea itu telah ditembak awal-awal lagi, mula-mula oleh suami sendiri, kemudian kawan-kawan pun turut ketawa. Kata mereka: “Orang kurang siuman saja akan naik basikal di Kuala Lumpur ini. Rata-rata alasan yang diberi: berpeluh, busuk, hujan, panas, bahaya, boleh mati tercekik karbon dioksida.

Sebenarnya kita telah memulakan perang terhadap kereta ini dengan cemerlang apabila Kuala Lumpur menyahut seruan Hari Tanpa Kenderaan sedunia September lalu. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga melancarkan KL’s Nite Ride untuk menggalakkan warga kota berbasikal waktu malam. Langkah begini bagus di peringkat awal cuma tidak cukup.

Perancangan lebih komprehensif perlu digarap untuk jangka panjang. Kota Hamburg di Jerman, misalnya, telah merancang untuk mengharamkan kenderaan bermotor secara total menjelang 2034 melalui pelan Greeen Network yang menggalakkan penduduk berbasikal dan berjalan kaki.

Walau saya akui mustahil untuk Kuala Lumpur bebas kenderaan sepenuhnya, kita wajib menyokong semua kempen dan inisiatif ke arah mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

Ingatlah, kita ini hanya meminjam. Bila meminjam harus menurut adab orang meminjam, hormat kepada perasaan tuan punya. Dalam kes ini, tuan punya dunia yang sudah tua ini bukan orang lain, anak cucu kita juga.

•  Elviza masih percaya. Dia tinggal di http://twitter.com/elviza