Mengetuk jemari di meja, menghela nafas lega sejurus selepas selesai menguruskan majlis perkahwinan antara rakan paling rapat dalam hidup, saya terfikir bahawa perkahwinan dan persahabatan antara insan sebenarnya berdenyut dalam nadi yang digelar amanah dan kepercayaan. Apabila bulan madu telah bersisa manisnya, romantisme jadi hambar dalam acara mengurus rumah tangga dan menjaga anak-anak, apa yang tinggal hanya kasih sayang dan kepercayaan.

Dalam pekerjaan seharian saya juga, perkataan amanah – atau dalam konteks bahasa Inggerisnya disebut trust – jadi lumrah. Dari bank akaun yang dibuka sehinggalah apa yang didebat di mahkamah, kesemuanya disemai dalam semangat saling percaya dan amanah yang terpikul di bahu antara peguam dan anak guam.

Namun melunaskan amanah itu payah sekali; sementara kepercayaan pula mesti diraih dengan masa dan bukti – tiada cara lain, tidak boleh dijual-beli atau ditukar ganti sesuka hati. Lewat ini, melunaskan amanah dan menggembleng rasa percaya rakyat bukan sasaran utama arena politik negara. Dan skandal projek fidlot kebangsaan (NFC), menurut ramalan saya seorang rakyat picisan, bakal jadi kusut seperti skandal PKFZ.

Sedikit latar belakang mengenai NFC. Projek yang bertapak di Gemas, Negeri Sembilan ini, telah dilancarkan untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengurangkan import daging dalam negara, dan menjadikan Malaysia sebagai salah satu pusat pengeluar daging terkemuka dunia. Sementara di laman web NFC pula telah tertulis visi korporat mereka untuk menjadi a premier world class halal beef producer. Itu mimpi.

Namun kenyataan laporan audit yang telah dikeluarkan oleh Juruaudit Negara baru-baru ini, telah menyangkal mimpi, visi dan misi NFC. Dalam kata-kata yang lebih tepat, laporan audit tersebut telah menggambarkan NFC sebagai satu projek yang bercelaru dan kucar-kacir. Laporan tersebut turut mencadangkan agar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menentukan hala tuju projek NFC.

Bila keluar saja laporan audit tersebut, bukan setakat projek sahaja yang kelam-kabut, ahli-ahli politik negara turut kelam-kabut mengeluarkan kenyataan dan sangkal-balas masing-masing. Teringat pendekatan yang diambil ketika negara dalam era kolonial dulu: mengelirukan rakyat. Makin lama, makin dalam lumpur jerlus yang mereka gali.

Tapi sebenarnya, jika diperhalusi dengan baik, diasingkan antara beras dan antah, kenyataan dan sangkal-balas yang telah dikeluarkan oleh pembangkang dan kerajaan tersasar jauh dari pundak masalah: kenapa projek itu kelam kabut lagi lambat?

Kata menteri yang telah diamanahkan untuk melaksanakan projek, serangan pembangkang dalam skandal NFC berniat jahat untuk menghancurkan salah satu sayap Umno di bawah pimpinan beliau. Maaf cakap, projek tersebut tiada kena mengena dengan sayap politik pimpinan si menteri. Tanggungjawab melaksanakan projek tersebut telah diberi kepada syarikat milik ahli keluarga menteri tersebut, bukan sayap politik beliau.

Setakat ruangan ini ditulis, ada tiga fakta yang belum disangkal secara sahih oleh mana-mana pihak. Pertama, kenapa projek itu mengalami kelewatan dan gagal mencapai sasar utama yang telah ditetapkan, ataupun memetik laporan audit, kenapa projek tersebut in a mess. Kedua, kenapa projek itu diberi kepada syarikat persendirian yang dimiliki oleh ahli keluarga menteri tersebut? Itu satu conflict of interest yang tegar. Ketiga, kenapa sebahagian dari soft loan atau grant yang dianugerahkan oleh kerajaan kepada syarikat tulang belakang NFC itu, telah digunakan untuk ‘melabur’ dalam kancah kondominium mewah di Bangsar?

Setahu saya yang langsung tidak arif dalam isu mentadbir kewangan negara ini, apa-apa grant atau soft loan kerajaan yang telah ditetapkan untuk mencapai satu objektif tertentu, tidak boleh digunakan untuk hal-hal yang tidak bersangkut-paut dengan objektif tersebut. Bukan kah kita sedang bercakap tentang isu amanah sekarang ini?

Aduhai politikus budiman, anda telah kami berikan amanah dan kepercayaan untuk mentadbir, jika skandal kewangan seperti NFC dan PKFZ jadi amalan, bikin tawar hati rakyat.

Walaupun polar politik masing-masing berbeza, matlamat tidak pernah menghalalkan apa-apa cara yang salah. Garis yang membezakan antara yang hak dan batil tidak pernah samar.

Apabila ahli politik mendagangkan amanah dan kepercayaan yang diberi melalui proses demokrasi, akibat jadi tanggungan pelopor-pelopor masa akan datang.

• Elviza juga seorang peguam. Temui beliau di http://twitter.com/elviza