SUDAH minum kopi, pembaca budiman? Jom sembang. Harus saya titipkan di sini sedikit latar belakang agar jalan cerita tidak jadi seperti kapal sesat di tengah laut. Dalam mengejar salah satu cabang mimpi yang beratus itu, yakni untuk membuka sebuah kedai buku online, ia memberi pengajaran tidak rasmi untuk saya.

Pertama, selepas menulis surat terbuka kepada Ketua Pengarah Imigresen tahun lepas, saya berat hati untuk berurusan dengan pejabat kerajaan. Minda terkatup saya sentiasa skeptikal dengan mereka yang berhadapan dengan umum di agensi kerajaan, melainkan dengan kakitangan mahkamah. Mungkin kerana sudah biasa dengan mereka di mahkamah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor – dari berumur pertengahan 20-an sehingga kini masih ada di tempat yang sama.

Namun, Khamis lepas telah mengubah perasaan skeptikal awalan saya kepada rasa kagum yang tinggi. Setelah baca laman web dan menelefon Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), saya pergi ke pejabat SSM di KL Sentral. Ikrar mereka di laman web untuk menyelesaikan urusan pendaftaran syarikat kedai buku saya di bawah satu jam, saya sambut acuh tak acuh. Bukan apa, beikrar itu mudah, melaksanakan suatu perkara yang berbeza.

Tapi kali ini saya terkhilaf. Dari saat pengambilan angka giliran elektronik sehingga ke titik selesai, urusan saya mengambil masa setengah jam sahaja. Bukan itu sahaja, kakitangan kaunter sangat profesional dan cekap. Mereka nampak seperti mesin berjiwa! Setiap pertanyaan dijawab dengan sopan walau ruang legar penuh dengan mereka yang menunggu untuk mendaftar perniagaan. Sungguh flamboyan kakitangan SSM di KL Sentral, inilah yang dikatakan transformasi sebenar.

Cerita kedua, ini kurang enak didengar, tapi kita mesti berkongsi maklumat sebelum buat keputusan masing-masing. Dalam proses membina laman web kedai buku, saya berkomunikasi dengan beberapa pengedar buku di sekitar Kuala Lumpur. Si pengedar beri khabar ada sebuah buku lagi yang diharamkan penjualannya di Malaysia.

Lewat tahun lepas, dunia buku bergegar apabila novel grafik Craig Thompson, Habibi, diterbitkan. Tidak sampai beberapa bulan di pasaran, Habibi berada di tangga paling tinggi dalam carta buku antarabangsa. Tapi si Thompson senasib dengan isu tatu, Erykah Badu, Karen Armstrong dan John Esposito di negara ini.

Saya cukup pantang perkara menyenaraihitamkan apa-apa bahan bacaan. Paling ralat, dalam dunia tanpa sempadan ini, walau kita menyekat pengedaran, kita tetap akan nampak macam Pak Pandir. Mana tidaknya, pembaca yang selalu ke luar negara atau ketagih membeli buku secara online masih boleh beli Habibi dengan enteng. Kedai-kedai buku lapangan terbang Amerika dan Eropah semuanya menayangkan Habibi di tingkap depan. Itu belum terkena penangan e-book yang boleh dibeli lalu dimuat naik di Kindle atau iPad di tangan.

Statistik The Nut Graph menunjukkan dari tahun 1971 hingga pertengahan 2007, negara ini telah mengharamkan 1,446 buah buku. Dari angka tersebut, 279 diharamkan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Secara pukul rata, dari tahun 1971-2007 sebanyak 39 buku diharamkan setiap tahun. Selepas itu, angka meningkat kepada 56 buah.

Bercerita buku diharamkan, saya teringat kepada buku fiksyen terbaik sepanjang zaman karangan Harper Lee, To Kill a Mockingbird, yang pernah diharamkan kerajaan Amerika. Kisah Scout Finch dan bapanya, Atticus, lantang menyokong kaum kulit hitam yang selalu ditindas ketika itu. Diskusi jujur berkisar tentang jenayah rogol dan rasisme itu, hari ini bangkit menjadi novel terhebat Amerika.

Kenapa harus ulang sejarah? Pembaca dewasa ini sudah matang lagi terbuka minda. Mereka dahagakan ketulusan, kejujuran dan kematangan apabila pengkarya. Kita ini jangan jadi seperti aur ditarik songsang, kelak penyelesaian jadi rumit kerana tersalah jalan.

• Elviza juga seorang peguam dan penulis. Pohon bertemu minda di http://twitter.com/elviza